Ahad, 15 Januari 2012

Bangunlah wahai hati


Kehidupan bagaikan mimpi
Apabila bangun dari tidur
segala keindahan yang dimiliki tiada dalam gengaman
hanya tinggal selimut dan bantal
itulah hakikat sebelum mimpi
sedangkan mimpi adalah permainan yang mengasyikan…

Kehidupan adalah perjalanan masa
di dalamnya ada pelbagai peristiwa
ia tiada wujud pada hakikatnya
hanya wujud dalam kehendak Allah
kerana Allah sahaja yang benar wujud
kita hanya menerima walaupun disuruh berusaha
perancangan tiada boleh mengatasi kehendak Allah
karamah tiada boleh memecahkan pintu takdir…

Kehidupan adalah senda dan gurau
sama ada kaya atau miskin
sama ada mulia atau hina
sama ada berpangkat atau biasa
maka tiada apa yang perlu ditakburkan
maka tiada apa yang perlu dikecewakan
kerana ia bukan kebenaran
hanya permainan untuk pengujian…

Akhirat adalah kebenaran
kelazatan dan kenikmatan adalah Haq
kesakitan dan azab adalah Haq
ia bukan senda dan gurau
ia adalah hakikat kepada kepalsuan
ramai yang menangis di dunia, ketawa disana
ramai yang ketawa di dunia, menangis disana...

Bangunlah wahai hati yang tidur…
agar dirimu tiada diulit mimpi
terdinding dengan permainan kehidupan
sehingga engkau tiada menyaksikan hakikat
di sebalik tirai kehidupan…


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...