Isnin, 7 Oktober 2013

Kehidupan Yang Sukar Dimengerti


Orang seperti kami sukar dimengerti
Malah kami sendiri tidak mengerti
Fitrah kami mahu kehidupan  biasa
Namun Bisikan Sirr tidak membenarkan

Dikala orang mengejar agar mereka dikenali
Namun kami berlari sembunyikan diri 
Dikala orang suka pada majlis yang ramai
Namun kami mencintai kehidupan yang sunyi

Kami bagaikan tunggul yang mati
Kerana keasyikan dalam alunan ombak Ilahi
Tidak  mahu banyak berfikir tentang esok
Tidak mahu mengenang yang lepas
Hanya mahu melihat apa jua dari DIA
Hanya mahu bersama dan hidup untukNya..

Maafkanlah diri kami ini
Kehidupan kami akan melukai sesiapa yang menghampiri
Kehidupan kami akan banyak membawa persoalan yang melihat
Kehidupan kami akan jadi fitnah jika kami zahirkan
Padahal dalam jiwa kami amat menyintai segala insan
Tiada sedikit mahu melukai sesiapa
Hingga kami menangis jika ada yang terluka

Namun kami tiada  menyalahkan sesiapa
Kerana mereka berhak membuat penilaian 
Berdasarkan tahap ilmu, rasa dan fikiran mereka
Kerana kehidupan kami sukar untuk dimengerti
Hingga Syeikh Ibrahim Adham berpindah setiap masa
Hingga  Rabiah al-Adawiyah dilontar batu dan dihalau keluar
Malah membunuh kami dianggap kemuliaan

Ramai yang memilih berada dalam hutan yang jauh
Ada  yang memilih menzahirkan watak orang gila
Lantaran tiada mahu siapa yang terluka
Lantaran tiada mahu hidup dalam sistem manusia yang normal
Yang membawa kesakitan pada kami..

Semoga kami dimengerti... 
Semoga kami dimaafkan...

Isnin, 30 September 2013

KeCintaan Allah


Duhai insan...
Allah tidak menciptamu untuk menghukum
Tetapi Allah mencipta untuk berkasih sayang denganmu
Maka segala kesalahan yang dilakukanmu
RahmatNya akan mendahului murkaNya...

Duhai insan...
Sifat lemah lembut Allah sentiasa membelaimu setiap saat
Sifat kerasnya hanya tika engkau bersikap melampau batas
Maka janganlah engkau melihat kepada sifat kerasnya
Hingga engkau lupa bagaiamana engkau bisa bernafas tanpa sifat Ar-RahmanNya...

Duhai insan...
Janganlah engkau berpaling dan berjauhan denganNya
Walaupun engkau adalah seorang pendosa
Kerana melakukan kesalahan dengan terus lupa padaNya
Akan menambah akan dosa dan kegelapan jiwamu...

Duhai insan...
Jangan sedikit dihatimu bersangka buruk
Dengan merasa dosamu tidak diampuni
Dirimu tidak diCintaiNya
Kerana bersangka buruk itulah adalah lebih lagi berdosa
Daripada segala lautan dosa yang engkau lakukan...

Duhai insan...
Bisikkan Nurani istigfar bersulam airmatamu
Lebih dicintai daripada 1000 rakaat ibadahmu yang tiada keinsafan
Begitulah Allah jadikan segalanya penuh hikmah
Hingga ada hambaNya yang memanjat pintu CintaNya
Dengan hanya bergilir antara Dosa dan Taubat setiap saat...

Duhai insan...
Sesunggunya Allah menciptamu adalah untuk berkasih sayang denganmu
Bukan untuk menghukummu
Maka jalanilah kehidupan sebagai Kekasih memburu CintaNya
Bukan sebagai banduan yang takut pada hukumanNya...


Ahad, 22 September 2013

Imam Jaafari




Imam Jaafari
Engkaulah pemilik Irfan
Dua lautan ilmu yang bertemu
Syariat dan Hakikat
Menyatu dalam dirimu

Imam yang mulia
Tiada mereka yang mempunyai mata hati
Akan memuji dan memuliakanmu
Baik kalangan para Aulia dan Ulama
Baik kalangan mereka yang awam di zamanmu
 
Engkau pemilik bayang yang sempurna
Daripada nenda moyangmu Rasulullah saw
Engkau memilki akhlak yang mulia
Penuh tawadhuk, lemah lembut dan kasih sayang

Wajahmu nan indah
Memiliki Cahaya yang gemerlapan
Hingga sang bulan redup di hadapanmu
Engkau menutup wajahmu di hadapan umum
Hingga ramai yang menangis meminta memandangmu
Namun setiap kali engkau membuka selubung wajah mu
Akan ada yang pengsan malah ada yang kedatangan ajal
Kerana pancaran Nur Nubuwwah yang menyilau

Di bulan Syaaban, engkau sering mendatangiku dalam tafakur
Hingga aku kebingungan kehairanan melihat kesedihanmu
Apakah gerangan musibah wahai Imam yang mulia
Maka ia menjawab tanpa suara dan bahasa
Diriku terfitnah oleh para pecinta dan para pembenci
Mereka semua kaum munafik yang membawa kerosakan
hingga bumi yang indah dilimpahi darah dendam dan kemarahan

Aku mula mendalami dirimu, membuat kajian akan segala manhaj ilmumu
Baik pada pada Fekah, Tauhid dan Tarekah Tasawwuf mu
Maka ku dapati engkau adalah Imam bagi seluruh Ilmu dan Ulama
Dalam apa jua bidang ilmu samada Syariat dan Hakikat
Engkau bukan milik golongan yang mendakwa sebagai syiah
Engkau adalah milik dan Imam umat Islam yang mencintai kebenaran

Kini aku amat mencintaimu
Menjadikan mazhabmu adalah mazhabku
Pada keTuhanan aku berpegang wujud Allah adalah Laisakamislihi dalam apa jua
Tiada baginya tempat, ruang dan masa
Saidinan Abu Bakar adalah semulia sahabat,
kemudian Saidina Umar, Saidina Ali dan Saidina Usman
Isteri-isteri Rasulullah adalah para ibu yangg amat dicintai
Golongan ASWJ dan ahlul bait adalah satu keluarga yang dirahmati

Apakah layak para pemaki hamun,
Pembawa kebencian dan pembunuhan
Mengaku akan para pencintamu
Sedangkan bagaikan langit dan bumi
Akhlakmu dengan akhlak mereka
Ajaranmu dengan perbuatan mereka
Engkau penyebar kasih sayang
Mereka penyebar kebencian

Sesungguhnya para syiah rafidah yang jahat
Adalah musuhku, musuhmu dan musuh Allah dan Rasul
Mereka pemusnah Islam dari kalangan umat ini
Mereka pengejar nafsu dan kekuasaan
Kejahatan mereka adalah kerana para ulama mereka yang jahat
Memberi fatwa atas nama pencinta ahlul bait

Ulama jahat inilah punca kepada kejahatan yang wujud
Samada dari golongan syiah atau ASWJ
Mereka inilah yang wajib dijauhi oleh insan
Lebih daripada para penyakit kusta
Malah lebih selamat bersama sang singa daripada mereka
Merekalah pembawa fitnah yang menyala
Hingga umat ini bagaikan berada dalam jurang neraka...


Rabu, 4 September 2013

Agama Nan Indah


Ulama yang Haq wajib dimuliakan 
kerana dengan mereka kita dapat mengamalkan agama 
berdasarkan ijitihad hasil kajian mereka 
lantaran susuk Rasulullah tiada dihadapan kita

Namun duhai saudara ku
jangan engkau jadikan agama itu hanya milik mereka seorang
atau hanya dari satu mazhab atau kumpulan
sehebat mana ilmu ulama itu
mereka tetap hanya dipinggir pantai agama
hanya setitik ilmu dari lautan agama 

Justeru itu jangan engkau berguru dengan mereka yang tak pandai menyebut wallahulam 
jangan kau berlutut dengan mereka yang hanya merasa pendapat mereka sahaja yang betul 
jangan kau menadah dengan mereka yang mengambil ilmu bukan daripda rantaian sanad yang benar 
jangan kau bersama dengan mereka yang hati mereka masih penuh dengan darah ammarah

Kita wajib tahu membeza antara yang qatie dan yang ijitihad
agar tidak hanyut dalam perbahasan agama yang merugikan 
agar tidak terperangkap dalam satu pemikiran sempit
yang menghancurkan kasih sayang dan saling menghormati
musuh Allah terus menari dalam tarian kemenangan

Agama nan indah dan luas ini bagaikan taman
namun malangnya ada mereka yang menjadikan ia bagaikan penjara
kerana tiada dapat memahami dengan kebenaran
bahawa ijitihad hanya pendapat atau telahan Ulama
mereka juga tidak bersama Rasulullah saw
hanya berdasarkan riwayah dan khabar yang diterima daripada para perawi
maka segala fatwa mereka bukan muktamad kebenarannya

Maka Allah menjadikan ribuan Ulama
agar kita tidak terperengkap dengan satu pandangan Ulama
agar agama tidak menjadi milik sesiapa
agar tiada mereka mendakwa mereka yang paling alim
agar kita dapat memilih pendapat yang benar menempati dengan maqasid agama

Jangan diri mu terus memanjat pada Al-Quran dan Hadis 
kerana bahasanya terlalu tinggi dan indah
berwasilah dengan ulama untuk memahaminya
namun dalam masa yang sama jangan taksub dengan mana-mana pendapat Ulama

Cintailah para alim Ulama yang Haq 
jadikan perbezaaan pendapat mereka sebagai kasihsayang Allah pada kita  
agar ummah tiada dapat diporak perandakan
agar jiwa tiada tersepit dengan agama yang penuh kerahmatan


Ahad, 1 September 2013

KeTauhidan Nabi Ibrahim a.s.



13 tahun Baginda SAW di Mekah
Menyeru kepada keTauhidan dan berbuat baik sesama insan
Meneruskan ajaran Moyangnya Nabi Ibrahim a.s.
Yang telah diseleweng oleh bangsa manusia

Nabi Ibrahim Khalilullah
Nama yang disebut dalam Selawat Ibrahimiah
Yang dibaca tiap kali di dalam solat
Kerana Allah mahu memberi pertunjuk
Bahwa tiada berpisah Ibrahim a.s. dan Muhammad saw
Dalam nafas setiap insan

Perjalanan Nabi Ibrahim a.s.
Suci dalam keTauhidan , tabah dan bijaksana
Namun juga jiwa yang penuh pemberontakan demi kebenaran
Baginda hidup sentiasa berfikir dengan penuh kritis
Mengkaji setiap gerak alam untuk menjawab persoalan jiwa
Menentang dan memecahkan segala berhala
Memohon Allah pertunjuk kepadanya bagaimana jasad jasad yang hancur dapat disatukan

Baginda meninggalkan isteri dan anaknya dipadang pasir yang kontang
Menyembelih anaknya tika diperintah bagaikan mati perasaan
Hidupnya sentiasa dalam pengembaraan dipelusuk mentari berbayang
Menyinari jiwa dengan keTauhidan Nafi dan Isbat

Tika hampir dibakar dalam lautan api yang menggila
Datang Jibril padanya bertanya " Duhai Ibrahim, apakah hajat mu pada ku?"
Maka Baginda menjawab, "Pada mu aku tidak berhajat, tapi pada Allah aku berhajat"
Lalu jibril bertanya, " Apakah hajat mu pada Allah"
Maka berkata Baginda a.s. bersabda, "Allah sudah mengetahui apakah hajat ku"
Lantaran teguhnya Tauhid yang hanya mengesakan Allah dalam kekuasaanNya
Maka api dalam hukum manusia membakar menjadi lemah berdepan dengannya

Hancurkan segala berhala luaran dan dalaman
Baik dalam pengabdian dan kecintaan
Itulah ajaran Tauhid kekasih Allah Nabi Ibrahim a.s.
Agar dirimu benar mencapai maqam kehambaan
Yang tiada dalam dirimu hanya Dia semata-mata


Khamis, 20 Jun 2013

Memandang dalam KeEsaanNya





Ya Rabbi
Apabila benar mengenal akan diriMu
Sentiasa kegelisahan dan kesedihan
Kerana sering hamba tergelincir
Dalam dakapan KeesaanMu

Engkau memancarkan WajahMu
walaupun di mana berhadap hamba
namun hanya hamba yang memiliki Nur
daripada pancaran Cinta Rasulullah SAW
akan dapat memandang Wujud Mu 
hingga terFana dalam keCintaanMu

Apakah makna berdiri dalam solat
Apakah makna Ruku dan Sujud
Apakah makna bacaan Al-Fatehah dan tasbih
jika engkau melihat segala darimu
bukannya dari Kudrat dan Kasih Sayang dariNya
Maka tika tu engkau tergelincir
dalam kesyirikan yang amat hina
menduakan sifat kekuasaan
antara mu dengan Tuhan Mu

Hakikat hamba adalah fakir 
tiada memilki apa jua sifat kesempurnaan
hanya sifat yang penuh kelemahan
buta, lemah, tuli, mati, bodoh, bisu, jahat, sakit..
maka jika ada kebaikkan, penglihatan, kekuatan, bernafas, berkalam, berilmu…
segalanya adalah hak miliknya DiriNya Yang Agung

Justeru itu apakah dosa yang paling besar
jika bukan sifat kesyirikan pada SifatNya
merasakan diri memiliki segala sifat tersebut
hingga zahir sifat kesombongan yang amat dibenci
kerana tiada kesedaran dalam mengenal diri...

Mereka yang benar mengenal dirinya
akan mengenal akan Allah
lantaran pada diri hamba
Allah menzahirkan segala SifatNya 
namun sedikit hamba yang memahaminya
lantaran tiada sinaran Cahaya Rasulullah
memancar dalam jiwanya...

Sesungguhnya
tangisan kegembiraan
tangisan kesedihan
bergilir dalam hati sang hamba Arifbillah...
Dalam tajalli Allah padanya...


Selasa, 18 Jun 2013

Nafi dan Isbat


Nafi dan isbat
hendaklah disandingkan
dalam setiap nafasmu
dalam setiap langkahmu

Nafi dan Isbat
adalah kalimah yang paling utama
adalah kalimah pembuka
rahsia sang hamba dengan TuhanNya

Nafi dan isbat
menafikan wujud yang lain
hanya isbat pada wujud Allah yang hakiki
wujud yang lain hanyalah bayang yang menunjukkan wujudNya
maka wajib bagi dirimu
memandang wujudmu adalah menunjukkan kepada wujudNya
jika kamu memandang wujudmu
tanpa kamu nafikan tiada akan wujudmu
dan tiada mengisbatkan wujud Allah yang mewujudkanmu
maka kufurlah iktikadmu, hancurlah amal Islammu

Nafi dan Isbat
menafikan akan segala sifat ketuhanan yang ada padamu
melihat, mendengar, berkalam, berilmu, berkudrat, beriradah dan hayat
hanya diisbatkan segala sifat itu hak Allah jua
maka padamu segala sifat kehambaan dan kekurangan
buta, tuli, bisu, jahil, lemah, tiada kehendak dan mati
maka jika kamu iktikaqkan segala sifat tersebut
tanpa kamu nafikan milikmu, dan tiada kamu isbatkan adalah hak Allah
maka kufurlah kamu, maka binasalah segala amalmu

Nafi dan Isbat

menafikan akan segala Asma’ yang ada
hanya Allah pemilik segala Asma’ yang indah dan hebat
tiada yang memberi rezeki, tiada yang menyembuhkan, tiada yang hebat,
tiada yang mudharatkan, tiada yang memiliki kemuliaan dan pelbagai namanya
melainkan hanya diisbatkan pada Allah sahaja yang memilkinya
jika engkau tiada mengiktikadkan disebalik kehidupan mu
bahawa nama nama Allah yang mengaturmu untuk mengujimu
dalam pelbagai bentuk dan wajah
maka zindiklah kamu dan tiada manfaat akan segala ibadahmu

Nafi dan Isbat

menafikan segala apa jua perbuatan yang ada
walaupun satu zarah debu yang berterbangan
dalam segala gerak dan diam
melainkan diisbatkan hanya Allah yang memilkinya
jika engkau tiada nafikan segala perbuatan itu
adalah milik kekuasaan dirimu dan makhluk
maka binasalah tauhidmu dan batal segala agamamu

Maka dalamilah akan pelajaran Nafi dan Isbat
dengan para murabbi tareqah sufiah yang haq
sebagai pintu utama kebenaranmu dengan Tuhan
sebagai pintu utama kebenaranmu dengan Rasul
tanpa pintu kebenaran ini
maka amalmu penuh kerosakkan
kelakuan Islammu penuh kemunafikan…
engkau hanya Islam di sisi manusia…
tapi Islammu belum benar di sisi Allah… 


Selasa, 9 April 2013

Keindahan Cinta...


Duhai anakandaku yang tercinta 
bersemadi lah dengan tenang 
dalam Dunia Kebenaran 
disebalik tanah yang menutup 

Disana engkau akan terbangun 
dari mimpi yang menyakitimu 
hingga engkau tersenyum indah 
melihat betapa Cinta Allah dan Rasul padamu 

Tiada lagi airmata 
Tiada lagi keletihan 
Tiada lagi keterikatan 
Tiada lagi kebimbangan… 

Disana penuh kegembiraan 
Penuh dengan kerehatan 
Penuh dengan kebebasan 
Penuh dengan ketenangan… 

Kematian adalah kenikmatan 
bagi para Kekasih Allah 
ia adalah pintu yang membuka 
melihat kebenaran hadrat Allah.. 

Senyumlah duhai anakandaku 
kesabaran dan ketabahanmu 
kini dibayar Allah walau satu zarah 
segalanya engkau mengerti 
betapa Cintanya Allah padamu 
disebalik kesusahan yang engkau tempuhi selama ini 

Ayahanda di dunia ini yang cemburu 
melihat impian mu ditunaikan Allah 
melihat diri mu kini bersama Rasulullah 
melihat diri mu kini bersama moyang 
melihat dirimu berlari gembira di Taman Nan Indah... 

Bersemadilah dengan tenang duhai permata Ayahanda 
urusan duniamu sudah selesai 
kami yang hidup akan memikulnya 
demi mencapai Cinta Allah dan Rasul 
agar dapat mengikuti jejakmu yang penuh ketabahan... 

Maafkan lah Ayahanda duhai anakanda 
kerana tiada mampu untuk memberi perhatian padamu 
moga anakanda akan mendoakan kebaikan 
pada Ayahanda dan semua keluarga di alam penipuan ini...


Isnin, 8 April 2013

Hakikat Kehidupan...



Kehidupan ini kadangkala sukar untuk dimengertikan
sesuatu yang kita fikir baik, namun hakikatnya ia tidak baik
sesuatu yang kita fikir tidak baik, namun hakikatnya ia amat baik 

Bagaimana akal yang dangkal ini bisa mengerti 
hikmah disebalik sesuatu peristiwa 
hanya yang mempunyai Cahaya Hati 
akan bisa mengerti dengan penuh senyuman 

Tiada ketakutan dan kebimbangan 
itulah jiwa para Kekasih Allah dalam kehidupan 
Tiada gundah Nabi Ibrahim melihat api yang menyala 
kerana jiwanya bertaut melihat Allah disebaliknya...



Ramai yang menjadi Kekasih Allah dengan dosanya
mereka merasa hina dan sentiasa merintih dosanya
ramai yang menjadi musuh Allah dengan amalnya 

mereka merasa mulia dan sentiasa menghitung amal

Ramai yang Kekasih Allah yang dideritakan Allah dalam kehidupan ini 

namun itulah hiburan mereka sehingga mereka merintih jika tiada ujian
ramai para musuh Allah yang dinikmatkan di dalam kehidupan ini
namun itulah penderitaan bagi mereka sehingga sentiasa merintih minta ditambahi.. 

Kehidupan sukar untuk dimengerti 
kerana Cinta Allah penuh dengan keRahsiaan 
hanya mereka yang memilki Cinta Yang Benar
akan faham Bahasa Cinta Ilahi... 
hingga kehidupan membahagiakan mereka
walaupun dilihat dengan ribuan penderitaan...



Jumaat, 5 April 2013

Berbahagialah dengan Redha-Nya...


Salam Cinta Duhai Anakku…

Firman Allah : 

"Allah redha pada mereka dan mereka pun redha kepada-Nya" 

Redha adalah pintu Allah yang paling Agung. Ia merupakan Syurga di dunia pada mereka yang benar mencapainya. Redha menjadikan jiwa seseorang itu tenang di bawah segala kehendak Allah. Jiwanya senang dengan keputusan Allah lantaran hati Nuraninya melihat ia adalah pilihan Allah yang sudah terdahulu. Pilihan-Nya adalah yang terbaik. Maka kita harungi dengan Iman dan Makrifat, bukan dengan perasaan dan kedangkalan akal untuk memahaminya.

Ubatilah kegelisan jiwa dengan redha. Cintailah redha Allah pada mu. Sesungguhnya redha Allah pada mu mendahului redha mu pada Allah. Redha adalah satu tingkatan yang tinggi dalam pendakian Rohani ke alam kedekatan dengan Allah. Maka wajib disucikan jiwa dengan IbadahCinta dan Syariah agar jiwa mampu terbang ke Wilayah Redha

Berbahagialah mereka yang mencapainya kerana ia telah memegang salah satu kenikmatan Syurga di dunia ini...


Wallahu’alam

Sabtu, 23 Mac 2013

Bertuhankan Diri


Firaun mengaku Tuhan bukan mengaku dirinya sama rupa dengan Dzat Tuhan, tetapi mengaku di atas mempunyai sifat yang sama dengan Allah. Jika Allah ada kuasa, dia juga ada kuasa. Begitu juga sifat yang lain. Tuhan ialah apabila kita menyakini sesuatu itu ada kekuasaan yang sama dengan Allah dan kita amat bergantung pada kekuasaannya.. 

Apabila tiada ilmu mengenal diri sendiri, ramai manusia mengaku Tuhan di atas sifat tanpa disedari. Apabila seorang itu beribadah dengan melihat datang dari kekuasaan dirinya, maka dia telah mengaku dirinya Tuhan di atas sifat kekuasaan Tuhan. Dia adalah penyembah Allah yang dusta kerana menduakan sifat keTuhanan dengan dirinya sendiri, sebagaimana kaum Quraish tawaf di Ka'abah dengan penuh berhala 

Begitu juga ramai yang beribadah tetapi penuh berhala dalam dirinya sendiri. Mereka memperTuhankan diri mereka sendiri dengan memiliki sifat Allah.

Fahamilah kalimah Ahad bukan Wahiid. Ahad adalah tunggal dalam Dzat, Sifat, Asma dan Afaal-Nya dan tiada sekutu dengan yang lain. 

Pelajarilah ilmu Tauhid dan mengenal diri hingga tiada lagi unsur mengaku Tuhan dalam diri sendiri. Ia adalah sebesar kejahilan dan kesombongan yang amat dimurka Allah. 

Wallahu'alam

Selasa, 12 Mac 2013

Kepada-Mu aku bersimpuh...


Ya Allah...
Kepada-Mu aku bersimpuh..
Memohon keampunan...
Kerana Engkau yang sentiasa menyantuni kelemahan hamba-Mu ni...
Tiada daya upayaku Ya Allah..
Segala gerak dari-Mu Yang Agung...
Kebutaan hati membuat segala pandangan pada segala kehidupan penuh kesilapan..
Kehidupan dalam ujian kekasih menguji Para Kekasih-Nya...
Hati yang telah diberi Cahaya akan berjalan dengan bicara kebenaran..
Segalanya dipandang dengan penuh doa..
Ya Allah,
Jangan Kau biarkan aku terperangkap dengan bayangan ini sehingga aku keletihan di dalam permainan ini...
Singkaplah aku Ya Allah agar aku dapat melihat hakikat dan menjadikan aku memilki keluasan jiwa bagaikan Lautan...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...