Ahad, 26 Februari 2012

Lagu untuk anak muda (2)


Bangunlah wahai saudaraku
dari selimut kelenaan
agar bumimu ini
tidak terus dikuasai
golongan yang menyeleweng
khazanah kurniaan Tuhan

Bangunlah wahai saudaraku
dari dunia keasyikan
sehingga kau tiada menyedari
agamamu semakin hilang
bahasa mu tiada bahasa
bangsamu tiada berdaya

Bukalah matamu seluasnya
lihatlah sistem negaramu kini
rasuah adalah budaya
kroni adalah budaya
yang kaya bertambah kaya
yang miskin bertambah miskin

Pandanglah dengan akalmu
lihat sistem yang bercelaru
mereka berlumba mengejar jawatan
atas alasan mahu berkhidmat
sedangkan mereka mahu merompak
segala kekayaan yang terbentang
untuk diri dan kroni
tingallah rakyat dalam kebodohan



Jumaat, 24 Februari 2012

Lagu untuk anak muda (1)


Aku melihat anak muda kini
mereka cintakan keadilan
mereka cintakan kebebasan
bertali dengan keTauhidan
dari kepimpinan yang beriman
yang mendengar kalam Tuhan

Aku melihat anak muda
cintakan negara anugerah Tuhan
mereka mahukan kekayaan yang dikurniakan
sampai ketangan rakyat bawahan
bukan hanya berputar dikalangan atasan

Aku melihat dimana-mana
anak muda mengimpikan  perubahan
anak muda berani menyatakan pendirian
mereka amat benci dengan keangkuhan
menjadikan negara ini bagaikan milik warisan

Aku melihat anak muda
cintakan negara yang aman damai
menghormati pelbagai bangsa dan agama
memilki satu rasa dan bahasa
diatas satu ikatan yang kukuh
kami semua warga Malaysia



Khamis, 23 Februari 2012

Betapa Cinta Tuhan pada Insan


Betapa Cinta Tuhan pada insan,
Di dalam dirinya diciptakan  qalbu,
Alat untuk berhubung dengan diriNya,
Yang sentiasa dapat merasai dan memandang padaNya…

Betapa Cinta Tuhan pada insan,
Tubuhnya adalah tajalli af’al,
Hatinya adalah tajalli asma’,
Ruhnya adalah tajalli sifat,
Sirrnya adalah tajalli rahsia…

Betapa Cinta Tuhan pada insan,
Didatangkan syariat untuk menjaga qalbu,
Agar tiada rosak fungsinya,
Lalu qalbu  di Cahayakan,
Untuk makrifat padaNya…

Apabila kamu melakukan maksiat,
Kamu telah menzalimi diri,
Lantaran menghitamkan qalbu,
Sehingga ia terhijab dengan TuhanNya…



Khamis, 16 Februari 2012

Aku hanya mampu membayangkan


Ya Rasulullah Ya Mubin
aku hanya mampu membayangkan
wajahmu ketika kesakitan berdarah
wajahmu ketika berduka menimpa
wajahmu ketika kemarahan melanda
wajahmu ketika kegembiraan  menjelma

Namun ku sedari
apa yang terbayang padaku
amat jauh dari hakikat dirimu yang mulia

Ya Rasulullah Ya Mahi
aku hanya mampu membayangkan
keadaan dirimu dihina dan dihalau kaummu sendiri
kesengsaraan difitnah, diperangi hingga berdarah wajahmu yang mulia

Apakah dosa mu pada mereka yang sehingga diperlakukan begitu
engkau hanya menyeru menyembah Allah yang satu
cinta pada faqir miskin dan anak yatim
tiada perbezaan darjat sesama insan
keadilan dan kejujuran

namun engkau lelaki perkasa
segala rintangan sedikit tiada menggugatmu
pada Allah engkau merintih
“..ampunkanlah kaum ku, sesungguhnya mereka tiada mengerti..”

Ya Rasulullah Ya Toha
aku hanya mampu membayangkan hebat langkah perjuanganmu
matahari dan ombak tiada mampu menahan kemaraanmu
sedangkan engkau amat lemah lembut dalam akhlak dan bicara

Ya Rasulullah, Duhai Yasin
aku hanya mampu membayangkannya…



Selasa, 14 Februari 2012

Zahirkan Cinta kepada Rasulullah s.a.w


Ramai masih kebingungan
memahami bahasa Cinta
keluar kalimah yang canggung
mengelikan jiwa pencinta

Cinta adalah sesuatu yang hidup
membara meronta dalam jiwa
maka ia perlu dizahirkan
dengan pelbagai cara

Menyambut Maulidur Rasul
adalah bahasa Cinta
untuk menzahirkan Cinta
pada kekasihnya yang amat dicintai

Para Sahabat r.a. menzahirkan Cinta
dengan mata yang tiada berpaling dari wajah Baginda
Ahlu Bait menzahirkan Cinta
dengan tangisan yang penuh kerinduan
para ulama menzahirkan Cinta
dengan tulisan yang mengali sunnahnya
para ahli sufi menzahirkan Cinta
dengan syair yang penuh mengasyikan

Mengadakan majlis Maulidur Rasul
adalah menifistasi para pencinta
lantaran tiada lagi dapat menatap wajah Baginda
melepaskan rindu dengan alunan syair
yang penuh pujian buat Baginda

Namun semua mengerti
Cinta yang benar suci
menghidupkan sunnahnya dalam segala aspek kehidupan
meletakkan kecintaan pada Baginda melebihi diri dan keluarga
sanggup berkorban harta atau nyawa
dalam mempertahankan Baginda

Teruskan sebar kalimah Cinta yang Agung
pada Baginda sebagai hamba Kekasih Allah
hanya jangan sampai melampau
menganggap Baginda adalah Tuhan atau anak Tuhan
seperti kaum nasrani yang diselewengkan dajal
dalam menzahirkan Cinta pada Nabi Isa a.s.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...