Isnin, 7 Oktober 2013

Kehidupan Yang Sukar Dimengerti


Orang seperti kami sukar dimengerti
Malah kami sendiri tidak mengerti
Fitrah kami mahu kehidupan  biasa
Namun Bisikan Sirr tidak membenarkan

Dikala orang mengejar agar mereka dikenali
Namun kami berlari sembunyikan diri 
Dikala orang suka pada majlis yang ramai
Namun kami mencintai kehidupan yang sunyi

Kami bagaikan tunggul yang mati
Kerana keasyikan dalam alunan ombak Ilahi
Tidak  mahu banyak berfikir tentang esok
Tidak mahu mengenang yang lepas
Hanya mahu melihat apa jua dari DIA
Hanya mahu bersama dan hidup untukNya..

Maafkanlah diri kami ini
Kehidupan kami akan melukai sesiapa yang menghampiri
Kehidupan kami akan banyak membawa persoalan yang melihat
Kehidupan kami akan jadi fitnah jika kami zahirkan
Padahal dalam jiwa kami amat menyintai segala insan
Tiada sedikit mahu melukai sesiapa
Hingga kami menangis jika ada yang terluka

Namun kami tiada  menyalahkan sesiapa
Kerana mereka berhak membuat penilaian 
Berdasarkan tahap ilmu, rasa dan fikiran mereka
Kerana kehidupan kami sukar untuk dimengerti
Hingga Syeikh Ibrahim Adham berpindah setiap masa
Hingga  Rabiah al-Adawiyah dilontar batu dan dihalau keluar
Malah membunuh kami dianggap kemuliaan

Ramai yang memilih berada dalam hutan yang jauh
Ada  yang memilih menzahirkan watak orang gila
Lantaran tiada mahu siapa yang terluka
Lantaran tiada mahu hidup dalam sistem manusia yang normal
Yang membawa kesakitan pada kami..

Semoga kami dimengerti... 
Semoga kami dimaafkan...

Isnin, 30 September 2013

KeCintaan Allah


Duhai insan...
Allah tidak menciptamu untuk menghukum
Tetapi Allah mencipta untuk berkasih sayang denganmu
Maka segala kesalahan yang dilakukanmu
RahmatNya akan mendahului murkaNya...

Duhai insan...
Sifat lemah lembut Allah sentiasa membelaimu setiap saat
Sifat kerasnya hanya tika engkau bersikap melampau batas
Maka janganlah engkau melihat kepada sifat kerasnya
Hingga engkau lupa bagaiamana engkau bisa bernafas tanpa sifat Ar-RahmanNya...

Duhai insan...
Janganlah engkau berpaling dan berjauhan denganNya
Walaupun engkau adalah seorang pendosa
Kerana melakukan kesalahan dengan terus lupa padaNya
Akan menambah akan dosa dan kegelapan jiwamu...

Duhai insan...
Jangan sedikit dihatimu bersangka buruk
Dengan merasa dosamu tidak diampuni
Dirimu tidak diCintaiNya
Kerana bersangka buruk itulah adalah lebih lagi berdosa
Daripada segala lautan dosa yang engkau lakukan...

Duhai insan...
Bisikkan Nurani istigfar bersulam airmatamu
Lebih dicintai daripada 1000 rakaat ibadahmu yang tiada keinsafan
Begitulah Allah jadikan segalanya penuh hikmah
Hingga ada hambaNya yang memanjat pintu CintaNya
Dengan hanya bergilir antara Dosa dan Taubat setiap saat...

Duhai insan...
Sesunggunya Allah menciptamu adalah untuk berkasih sayang denganmu
Bukan untuk menghukummu
Maka jalanilah kehidupan sebagai Kekasih memburu CintaNya
Bukan sebagai banduan yang takut pada hukumanNya...


Ahad, 22 September 2013

Imam Jaafari




Imam Jaafari
Engkaulah pemilik Irfan
Dua lautan ilmu yang bertemu
Syariat dan Hakikat
Menyatu dalam dirimu

Imam yang mulia
Tiada mereka yang mempunyai mata hati
Akan memuji dan memuliakanmu
Baik kalangan para Aulia dan Ulama
Baik kalangan mereka yang awam di zamanmu
 
Engkau pemilik bayang yang sempurna
Daripada nenda moyangmu Rasulullah saw
Engkau memilki akhlak yang mulia
Penuh tawadhuk, lemah lembut dan kasih sayang

Wajahmu nan indah
Memiliki Cahaya yang gemerlapan
Hingga sang bulan redup di hadapanmu
Engkau menutup wajahmu di hadapan umum
Hingga ramai yang menangis meminta memandangmu
Namun setiap kali engkau membuka selubung wajah mu
Akan ada yang pengsan malah ada yang kedatangan ajal
Kerana pancaran Nur Nubuwwah yang menyilau

Di bulan Syaaban, engkau sering mendatangiku dalam tafakur
Hingga aku kebingungan kehairanan melihat kesedihanmu
Apakah gerangan musibah wahai Imam yang mulia
Maka ia menjawab tanpa suara dan bahasa
Diriku terfitnah oleh para pecinta dan para pembenci
Mereka semua kaum munafik yang membawa kerosakan
hingga bumi yang indah dilimpahi darah dendam dan kemarahan

Aku mula mendalami dirimu, membuat kajian akan segala manhaj ilmumu
Baik pada pada Fekah, Tauhid dan Tarekah Tasawwuf mu
Maka ku dapati engkau adalah Imam bagi seluruh Ilmu dan Ulama
Dalam apa jua bidang ilmu samada Syariat dan Hakikat
Engkau bukan milik golongan yang mendakwa sebagai syiah
Engkau adalah milik dan Imam umat Islam yang mencintai kebenaran

Kini aku amat mencintaimu
Menjadikan mazhabmu adalah mazhabku
Pada keTuhanan aku berpegang wujud Allah adalah Laisakamislihi dalam apa jua
Tiada baginya tempat, ruang dan masa
Saidinan Abu Bakar adalah semulia sahabat,
kemudian Saidina Umar, Saidina Ali dan Saidina Usman
Isteri-isteri Rasulullah adalah para ibu yangg amat dicintai
Golongan ASWJ dan ahlul bait adalah satu keluarga yang dirahmati

Apakah layak para pemaki hamun,
Pembawa kebencian dan pembunuhan
Mengaku akan para pencintamu
Sedangkan bagaikan langit dan bumi
Akhlakmu dengan akhlak mereka
Ajaranmu dengan perbuatan mereka
Engkau penyebar kasih sayang
Mereka penyebar kebencian

Sesungguhnya para syiah rafidah yang jahat
Adalah musuhku, musuhmu dan musuh Allah dan Rasul
Mereka pemusnah Islam dari kalangan umat ini
Mereka pengejar nafsu dan kekuasaan
Kejahatan mereka adalah kerana para ulama mereka yang jahat
Memberi fatwa atas nama pencinta ahlul bait

Ulama jahat inilah punca kepada kejahatan yang wujud
Samada dari golongan syiah atau ASWJ
Mereka inilah yang wajib dijauhi oleh insan
Lebih daripada para penyakit kusta
Malah lebih selamat bersama sang singa daripada mereka
Merekalah pembawa fitnah yang menyala
Hingga umat ini bagaikan berada dalam jurang neraka...


Rabu, 4 September 2013

Agama Nan Indah


Ulama yang Haq wajib dimuliakan 
kerana dengan mereka kita dapat mengamalkan agama 
berdasarkan ijitihad hasil kajian mereka 
lantaran susuk Rasulullah tiada dihadapan kita

Namun duhai saudara ku
jangan engkau jadikan agama itu hanya milik mereka seorang
atau hanya dari satu mazhab atau kumpulan
sehebat mana ilmu ulama itu
mereka tetap hanya dipinggir pantai agama
hanya setitik ilmu dari lautan agama 

Justeru itu jangan engkau berguru dengan mereka yang tak pandai menyebut wallahulam 
jangan kau berlutut dengan mereka yang hanya merasa pendapat mereka sahaja yang betul 
jangan kau menadah dengan mereka yang mengambil ilmu bukan daripda rantaian sanad yang benar 
jangan kau bersama dengan mereka yang hati mereka masih penuh dengan darah ammarah

Kita wajib tahu membeza antara yang qatie dan yang ijitihad
agar tidak hanyut dalam perbahasan agama yang merugikan 
agar tidak terperangkap dalam satu pemikiran sempit
yang menghancurkan kasih sayang dan saling menghormati
musuh Allah terus menari dalam tarian kemenangan

Agama nan indah dan luas ini bagaikan taman
namun malangnya ada mereka yang menjadikan ia bagaikan penjara
kerana tiada dapat memahami dengan kebenaran
bahawa ijitihad hanya pendapat atau telahan Ulama
mereka juga tidak bersama Rasulullah saw
hanya berdasarkan riwayah dan khabar yang diterima daripada para perawi
maka segala fatwa mereka bukan muktamad kebenarannya

Maka Allah menjadikan ribuan Ulama
agar kita tidak terperengkap dengan satu pandangan Ulama
agar agama tidak menjadi milik sesiapa
agar tiada mereka mendakwa mereka yang paling alim
agar kita dapat memilih pendapat yang benar menempati dengan maqasid agama

Jangan diri mu terus memanjat pada Al-Quran dan Hadis 
kerana bahasanya terlalu tinggi dan indah
berwasilah dengan ulama untuk memahaminya
namun dalam masa yang sama jangan taksub dengan mana-mana pendapat Ulama

Cintailah para alim Ulama yang Haq 
jadikan perbezaaan pendapat mereka sebagai kasihsayang Allah pada kita  
agar ummah tiada dapat diporak perandakan
agar jiwa tiada tersepit dengan agama yang penuh kerahmatan


Ahad, 1 September 2013

KeTauhidan Nabi Ibrahim a.s.



13 tahun Baginda SAW di Mekah
Menyeru kepada keTauhidan dan berbuat baik sesama insan
Meneruskan ajaran Moyangnya Nabi Ibrahim a.s.
Yang telah diseleweng oleh bangsa manusia

Nabi Ibrahim Khalilullah
Nama yang disebut dalam Selawat Ibrahimiah
Yang dibaca tiap kali di dalam solat
Kerana Allah mahu memberi pertunjuk
Bahwa tiada berpisah Ibrahim a.s. dan Muhammad saw
Dalam nafas setiap insan

Perjalanan Nabi Ibrahim a.s.
Suci dalam keTauhidan , tabah dan bijaksana
Namun juga jiwa yang penuh pemberontakan demi kebenaran
Baginda hidup sentiasa berfikir dengan penuh kritis
Mengkaji setiap gerak alam untuk menjawab persoalan jiwa
Menentang dan memecahkan segala berhala
Memohon Allah pertunjuk kepadanya bagaimana jasad jasad yang hancur dapat disatukan

Baginda meninggalkan isteri dan anaknya dipadang pasir yang kontang
Menyembelih anaknya tika diperintah bagaikan mati perasaan
Hidupnya sentiasa dalam pengembaraan dipelusuk mentari berbayang
Menyinari jiwa dengan keTauhidan Nafi dan Isbat

Tika hampir dibakar dalam lautan api yang menggila
Datang Jibril padanya bertanya " Duhai Ibrahim, apakah hajat mu pada ku?"
Maka Baginda menjawab, "Pada mu aku tidak berhajat, tapi pada Allah aku berhajat"
Lalu jibril bertanya, " Apakah hajat mu pada Allah"
Maka berkata Baginda a.s. bersabda, "Allah sudah mengetahui apakah hajat ku"
Lantaran teguhnya Tauhid yang hanya mengesakan Allah dalam kekuasaanNya
Maka api dalam hukum manusia membakar menjadi lemah berdepan dengannya

Hancurkan segala berhala luaran dan dalaman
Baik dalam pengabdian dan kecintaan
Itulah ajaran Tauhid kekasih Allah Nabi Ibrahim a.s.
Agar dirimu benar mencapai maqam kehambaan
Yang tiada dalam dirimu hanya Dia semata-mata


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...