Khamis, 6 Oktober 2011

Wasilah Cinta Penyuci Jiwa

Apabila Nabi Sulaiman a.s berjalan di atas udara dan melihat kebesaran kerajaannya, terasa kagum Baginda akan kerajaannya. Ketika itu angin mengambil pakaian Nabi Allah Sulaiman a.s. Baginda lantas berkata,
“Wahai angin, kembalikan pakaianku!” Maka berkata sang angin, “Wahai Nabi Allah, kembalikan hatimu kepada Allah!”
Kepada para pemimpin, para ulama, para guru, para imam, golongan yang kaya, golongan yang berpangkat, golongan yang miskin, golongan bawahan, ibu bapa, anak-anak dan semua golongan... 
Mari kembalikan jiwa kita kepada Allah dalam perbuatan, dalam kemahuan, dalam pegangan dan pandangan (ihsan). Dari Allah kita datang, dengan Allah kita hidup dan kepada Allah kita kembali. Kehidupan dunia hanya ujian, segala kesenangan dan kesusahan bukannya hakikat tetapi ujian. Kehidupan ini hanya sedetik, sesungguhnya beruntunglah mereka yang membersihkan diri dalam mencari kelazatan dan kebahagiaan yang abadi di sisi Allah.
Sucikan jiwa dengan wasilah cinta yang mendalam pada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Cinta akan menukar tabiat jiwa yang kotor kepada suci dengan terasa mudah tanpa disedari. 
Selawat dan salam pada mu Ya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Engkau dizahirkan untuk menyucikan insan kepada Allah pada jasadnya dengan syariat, pada qalbunya dengan iman, pada ruhnya dengan tauhid dan pada sirnya dengan ihsan. Engkaulah rahmat bagi sekelian alam.
Sesungguhnya umat Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم adalah penyebar kerahmatan bagi seluruh manusia dan alam. 
  • Islam adalah kerahmatan bukan keganasan.
  • Islam adalah keamanan bukan peperangan.
  • Islam adalah kasih sayang bukan kebencian.
  • Islam adalah penyatuan bukan perpecahan.
  • Islam adalah kejayaan bukan kemunduran.
  • Islam adalah pelindung bukan pemusnah.
  • Islam adalah keindahan bukan keburukan.
  • Islam adalah kelembutan bukan kekerasan.
  • Islam adalah keterbukaan bukan kejumudan.
  • Islam adalah kesederhanaan bukan kepayahan.
  • Islam adalah penyeru bukan pemaksa.
  • Islam memberi nasihat bukan menghukum.
  • Islam agama memimpin bukan dipimpin.
  • Islam menyatukan dunia dan akhirat bukan meninggalkan dunia.
  • Islam adalah keadilan bukan kezaliman.
  • Islam menghormati hak bukan merampas hak.
  • Islam menghormati wanita bukan menghinanya.
  • Islam menyeru kepada perhambaan hanya pada Allah bukan perhambaan sesama  manusia.
  • Islam menyeru hidup bantu membantu bukannya hidup mementingkan diri.   

Sesungguhnya Islam adalah fitrah jiwa setiap Insan.
Dari Allah, dengan Allah, kepada Allah.
Firman Allah SWT : 
“Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan  beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” (al-‘Asr: 1-3)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...