Selasa, 18 Oktober 2011

Bila Pemimpin Tiada Amanah


Duhai pemimpin
engkau bagaikan ayah
menjaga anak-anak dengan tanggungjawab
bukan sekadar memberi makan, tapi memastikan makanan itu halal dan berkhasiat
bukan sekadar menidurkan, tapi menyelimuti agar tiada kesejukan
bukan sekadar memberi kebaikan, tapi menjaga daripada apa yang merosakkan jiwanya
hiburan dan kebendaan adalah keperluan, tetapi jangan biarkan ia menjadi tuhan


Wahai pemimpin
siapakah yang perlu dipersalahkan dengan keruntuhan agama bangsa ini?
jika bukan engkau, pemimpin yang diamanahkan
ku nasihatkan akan dirimu
jangan melihat manusia dalam kacamata Barat
yang hanya ada daging dan akal
tapi lihatlah manusia dari kacamata Islam
yang memiliki fitrah Ketuhanan yang suci


Duhai pemimpin
apakah makna semaian dakwah Ulama
jika engkau tiada membantu membina pagar dari kemusnahan
segalanya akan mudah hancur berkecai
apabila datang haiwan merenggut semaian
Kekuasaan, dakwah dan tarbiyyah
tiga serangkai perlu sepadu
pemimpin mengawal kemungkaran dengan kekuasaan
ulama menyebar ma’ruf dengan dakwah
murabbi memeluk ummah dengan tarbiyyah
barulah sempurna akan ummah


Wahai pemimpin
Jika dalam jiwamu ada cinta
maka wajib engkau bangunkan negara ini
dengan cahaya Rasulullah saw
hanya cahaya Baginda memiliki kerahmatan
yang didalamnya ada pelukan cinta dari Ar-Rahman


Duhai saudaraku
jika ada cinta pada generasi ini
tolaklah pemimpin yang penting diri, kuasa dan harta
kerana mereka tiada cintakan rakyatnya
gantikan mereka dengan pemimpin yang cintakan agamanya
kerana rakyat akan mendapat kebaikan darinya


Demi cinta pada Allah dan Rasul
tunaikan tanggungjawabmu atas cinta
wahai jiwa yang cintakan kebenaran 
agar engkau tiada berdosa di hadapan Tuhan



Kota London, England

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...