Alangkah bahagianya mereka
tiada memiliki apa yang perlu dihormati
segalanya yang dimiliki sederhana
sesungguhnya jiwa orang awam
adalah separuh jiwa para Aulia…
Alangkah bahagianya
kemana pergi tiada yang memandang
segala perilaku tiada yang memerhati
segala perkataan tiada yang mendengar
jika terjatuh tiada yang mengangkat
jika berjalan hanya bersendirian…
Mereka yang ikhlas
tiada bersendirian berjalan
syaitan dan dunia sentiasa mengejar
agar kesucian dapat dicabut
agar tersimpan perjalanan kebenaran…
Keikhlasan mudah terpelihara
pada jiwa yang awam
berjalan dibumi dengan tawadhu
kerana tiada memiliki apa jua kelebihan…
Ramai sang fakir dunia
menjadi raja di akhirat
ramai sang raja dunia
menjadi sang fakir di akhirat
ramai yang bodoh di dunia
menjadi cerdik di akhirat
ramai yang cerdik di dunia
menjadi bodoh di akhirat…