Khamis, 27 Oktober 2011

Gelisah Jiwa sang Pengemis Cinta


Aku sering kegelisahan
Adakah benar aku ya Allah
Dalam perjalanan ini
Berada pada jalan Mu

Langkah zahirku mara untuk cinta
Tetapi adakah jiwaku
Berada pada jalan cinta Mu?
Atau berada dalam cinta nafsu yang tersembunyi?
Gementar hatiku
Apabila membaca firman Mu
Pada hari yang akan dibongkar rahsia hatiku

Ya Allah, aku bersimpuh pada Mu
Dengan penuh longlai kelemahan
Tiada bahasa yang dapat ku ungkapkan
Hanya aku perlu istighfar dan terus istighfar
Dalam setiap langkah, kerlipan mata dan degupan jantung
Kerana aku tiada mengetahui
Apakah pandangan Mu ya Rabbi
Kerana aku tiada mengerti
Bahasa dan isyarat Mu
Kerana aku tiada mengerti
Aku dalam murka Mu atau dalam cinta Mu

Aku tiada dapat melelapkan mataku dengan lena
Kegelisahan mengejutkan aku
Untuk istighfar di malam hari
Bersama alunan alam yang sunyi
Mengharapkan setitis kerahmatan Mu
Sebelum aku dipisahkan
Dari lembaga adam ini
Kembali menuju Rabbil ‘Alamin.

Ya Allah
Jika engkau tanya akan diriku
Apakah amalanku
Nescaya aku nyatakan
Amalanku tiada layak aku persembahkan
Ia bagaikan pakaian sang pengemis
Aku hanya
Membawa sekeping hati
Yang didalam adanya cinta pada Mu
Di dalamnya adanya cinta pada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
Semoga ia ya Allah
Menjadi penebus akan diriku
Dari pukulan Al-Qahhar Mu...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...