"Bermula sang ayah membangunkan perusahaannya seorang diri. Penuh cabaran, keperitan dan airmata, namun akhirnya perusahaannya menjadi maju dan berjaya. Banyak perut yang dapat dikenyangkan kerana mendapat pekerjaan di syarikat perusahaannya. Maka anak-anaknya sang pencinta ayah berazam akan terus mewarisi perjuangan sang ayah dan tiada sekali-kali akan membiarkan perusahaan itu hancur. Jika dilihat perusahaan tersebut berjaya, maka mereka tenang tersenyum, jika dilihat ianya lemah, maka sedih dan remuk hati dan merasa bersalah pada sang ayah mereka. Justeru wasiat dan pengorbanan sang ayah tiada akan mereka abaikan sama sekali kerana jiwa mereka mempunyai cinta pada ayah dan perusahaan tersebut."
Itulah yang dapat ku kiaskan pada dakwah Rasul sang Pencinta bagi sekelian umatnya. Bermula seorang diri bertafakur merenung kehidupan, maka datanglah wahyu dari Yang Maha Agung dalam percintaannya pada sekelian hambaNya dan memerintah sang Rasul صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia membawa hamba-hamba yang dicipta dari tangan Ar-RahmanNya kembali padaNya. Maka bahteranya ialah Islam. Lalu bangun sang Rasul صلى الله عليه وآله وسلم seorang diri gigih membangunkan agama kerahmatan. Segalanya penuh dengan rintangan, kepahitan, kesukaran, kesakitan, air mata dan darah sehingga akhirnya Islam berkembang ke seluruh alam.
Maka jika benar cinta Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ada dalam jiwa, ia akan menjadi seperti sang anak seperti kisah diatas dengan ayah mereka. Mereka juga tiada akan membiarkan Islam yang dibangunkan Baginda itu hancur, mereka tiada akan biarkan kecintaan pada keluarga, harta, perniagaan, sanak saudara mengatasi cinta mereka pada perjuangan menegakkan agama, mereka tiada akan mensia-siakan pengorbanan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan para sahabat r.a.
Para musuh yang zahir dan batin sehingga kini bertungkus lumus menghancurkan cahaya cinta sang Rasul pada umat yakni Islam. Maka para pencinta Rasul pula ramai yang mengungkapkan cinta hanya pada lafaz, namun sedikit yang sanggup membayar cinta dengan bangun meninggalkan segala keseronokan nafsu, berkorban apa jua demi membangunkan Islam yang kian runtuh ini kerana fitnah yang hebat dari Sang Azazil dan Dajal al-Masih.
Wahai diri, bangunkan cinta dalam dirimu, keluarlah dirimu pada jalan Allah, sebarkan dakwah dan bangunkan kembali agama ini demi sebuah cinta dari sang Faqir!