Jumaat, 14 Oktober 2011

Nyalakan Obor Cinta - Inilah Jalanku


Aku sudah letih membicarakan tentang perpecahan ummah. Adakah ia zaman yang ditakdirkan atau memang umat Islam menjadikannya sebagai suatu pilihan? Masalah perpecahan ummah ini sudah puluhan tahun dibincang dalam seminar dan penulisan, namun hasilnya belum mekar seperti yang diharapkan.



Bukan aku tiada mahu pedulikannya lagi, hanya letih untuk bermujadalah dan melayan polemik. Aku mahu bergerak dengan caraku, menghidupkan cinta dalam jiwa, dengan cinta sejati akan lahirnya kebenaran. Semoga dengan cinta, segala kekerasan jiwa menjadi lembut, kebencian menjadi kasih sayang, kemarahan menjadi kemaafan, mementingkan diri menjadi prihatin, angkuh menjadi rendah hati, keras pendapat menjadi sederhana.



Akan ku bicarakan cinta sebagai perjuangan, mengajar mencari cinta hakikat, bukan cinta bayangan. Ku mahu manusia menjauhi hidup berpura bahagia dengan topeng kepalsuan. Mereka perlu menanggalkan topeng itu demi kehidupan. Mereka perlu dibuka mata hati, kerana dengan cahaya hati sahaja mereka dapat memandang kebenaran.



Aku sudah letih untuk berdiskusi, sudah letih melayan karenah pemikiran dan ego manusia. Aku mahu berehat dari segala hal itu, namun akan tetap ku hormati semua jalan dan perbezaan pendapat selagi di sana ada kebenaran hujahnya dari para ulama yang diakui kebenarannya.



Aku memilih jalan untuk oborkan jiwa umat ini dengan cinta. Walaupun aku akan diketawakan tetapi inilah jalan yang ku rasa memberi ketenangan pada diriku, jalan yang akan melembutkan jiwaku, jalan yang akan membawa damai pada insan yang cintakan kedamaian.



Aku tiada mahu lagi terheret dalam menilai manusia lain atau memikirkan nilai manusia. Aku hanya berdoa agar tiada termasuk dalam golongan yang menjadi fitnah pada agamaku. Ia seburuk-buruk jenayah pada agama yang suci ini.



Maka dimanakah cinta pada Rasulullah  s.a.w jika aku menjadi golongan yang memusnahkan agamanya? Jika diam lebih baik dalam menjaga agama, maka diam adalah jalan cintaku.


Ya Allah, moga Kau ampuni diriku yang dhaif ini! 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...