Ahad, 1 September 2013

KeTauhidan Nabi Ibrahim a.s.



13 tahun Baginda SAW di Mekah
Menyeru kepada keTauhidan dan berbuat baik sesama insan
Meneruskan ajaran Moyangnya Nabi Ibrahim a.s.
Yang telah diseleweng oleh bangsa manusia

Nabi Ibrahim Khalilullah
Nama yang disebut dalam Selawat Ibrahimiah
Yang dibaca tiap kali di dalam solat
Kerana Allah mahu memberi pertunjuk
Bahwa tiada berpisah Ibrahim a.s. dan Muhammad saw
Dalam nafas setiap insan

Perjalanan Nabi Ibrahim a.s.
Suci dalam keTauhidan , tabah dan bijaksana
Namun juga jiwa yang penuh pemberontakan demi kebenaran
Baginda hidup sentiasa berfikir dengan penuh kritis
Mengkaji setiap gerak alam untuk menjawab persoalan jiwa
Menentang dan memecahkan segala berhala
Memohon Allah pertunjuk kepadanya bagaimana jasad jasad yang hancur dapat disatukan

Baginda meninggalkan isteri dan anaknya dipadang pasir yang kontang
Menyembelih anaknya tika diperintah bagaikan mati perasaan
Hidupnya sentiasa dalam pengembaraan dipelusuk mentari berbayang
Menyinari jiwa dengan keTauhidan Nafi dan Isbat

Tika hampir dibakar dalam lautan api yang menggila
Datang Jibril padanya bertanya " Duhai Ibrahim, apakah hajat mu pada ku?"
Maka Baginda menjawab, "Pada mu aku tidak berhajat, tapi pada Allah aku berhajat"
Lalu jibril bertanya, " Apakah hajat mu pada Allah"
Maka berkata Baginda a.s. bersabda, "Allah sudah mengetahui apakah hajat ku"
Lantaran teguhnya Tauhid yang hanya mengesakan Allah dalam kekuasaanNya
Maka api dalam hukum manusia membakar menjadi lemah berdepan dengannya

Hancurkan segala berhala luaran dan dalaman
Baik dalam pengabdian dan kecintaan
Itulah ajaran Tauhid kekasih Allah Nabi Ibrahim a.s.
Agar dirimu benar mencapai maqam kehambaan
Yang tiada dalam dirimu hanya Dia semata-mata