Rabu, 4 September 2013

Agama Nan Indah


Ulama yang Haq wajib dimuliakan 
kerana dengan mereka kita dapat mengamalkan agama 
berdasarkan ijitihad hasil kajian mereka 
lantaran susuk Rasulullah tiada dihadapan kita

Namun duhai saudara ku
jangan engkau jadikan agama itu hanya milik mereka seorang
atau hanya dari satu mazhab atau kumpulan
sehebat mana ilmu ulama itu
mereka tetap hanya dipinggir pantai agama
hanya setitik ilmu dari lautan agama 

Justeru itu jangan engkau berguru dengan mereka yang tak pandai menyebut wallahulam 
jangan kau berlutut dengan mereka yang hanya merasa pendapat mereka sahaja yang betul 
jangan kau menadah dengan mereka yang mengambil ilmu bukan daripda rantaian sanad yang benar 
jangan kau bersama dengan mereka yang hati mereka masih penuh dengan darah ammarah

Kita wajib tahu membeza antara yang qatie dan yang ijitihad
agar tidak hanyut dalam perbahasan agama yang merugikan 
agar tidak terperangkap dalam satu pemikiran sempit
yang menghancurkan kasih sayang dan saling menghormati
musuh Allah terus menari dalam tarian kemenangan

Agama nan indah dan luas ini bagaikan taman
namun malangnya ada mereka yang menjadikan ia bagaikan penjara
kerana tiada dapat memahami dengan kebenaran
bahawa ijitihad hanya pendapat atau telahan Ulama
mereka juga tidak bersama Rasulullah saw
hanya berdasarkan riwayah dan khabar yang diterima daripada para perawi
maka segala fatwa mereka bukan muktamad kebenarannya

Maka Allah menjadikan ribuan Ulama
agar kita tidak terperengkap dengan satu pandangan Ulama
agar agama tidak menjadi milik sesiapa
agar tiada mereka mendakwa mereka yang paling alim
agar kita dapat memilih pendapat yang benar menempati dengan maqasid agama

Jangan diri mu terus memanjat pada Al-Quran dan Hadis 
kerana bahasanya terlalu tinggi dan indah
berwasilah dengan ulama untuk memahaminya
namun dalam masa yang sama jangan taksub dengan mana-mana pendapat Ulama

Cintailah para alim Ulama yang Haq 
jadikan perbezaaan pendapat mereka sebagai kasihsayang Allah pada kita  
agar ummah tiada dapat diporak perandakan
agar jiwa tiada tersepit dengan agama yang penuh kerahmatan