Jumaat, 3 Ogos 2012

Sulu


Nun jauh di Ufuk Timur
Tersimpan rahsia di kepulauan nan indah
Dikelilingi lautan bergelora
Jauh dari segala khabar dan berita

Bagaikan tiada wujud
Sehingga ramai yang tiada menyedari
Dalam dunia yang penuh tamaddun
Ada negara yang tiada perundangan
Hidup bebas memikul senjata

Betapa bijaknya musuh bersilat
Mereka yang merampas dilihat pemilik
Mereka yang dirampas dilihat pemberontak
Hiduplah mereka dalam fitnah yang begitu hebat
Sehingga mereka bagaikan tiada nilai wujud di alam ini

Kepulauan sulu negara yang gagah
Penghuninya adalah saudara seagama
Negara dirampas secara muslihat
Lantaran tiada tentera dunia yang dapat mengalahkan mereka
Sehingga kini mereka bagaikan gila
Pejuang yang hebat tewas dengan hanya sebuah pen

Mereka bagaikan lenyap di alam ini
Akibat permainan syaitan laknatullah
Saudara seagama tiada membantu
Malah sekongkol dengan musuh Allah menzalimi mereka
Sehingga mereka hidup bagaikan bukan manusia

Hanya Iman, Tauhid dan Makrifat
Menjadi tunjang jati diri
Daripada terus hancur dalam kejahatan
Permainan politik dajal yang amat licik

Duhai negara Ufuk Timur
Duhai negara Matahari Terbit
Duhai pemilik rahsia Hajar Aswad
Duhai pemilik rahsia Khatam Nubbuwwah
Duhai pemilik rahsia Wali Tujuh
Jangan engkau gusar
Masa sudah hampir tiba
Kebenarah Hadis akan terbukti
Bagi siapa yang mahu mengerti..


Rabu, 4 Julai 2012

Rasulullah s.a.w


Bangunlah wahai insan membuka jiwa
Berselawat pada Rasul nan mulia
Agar mekar Cinta disulam
Agar mewangi  Cinta membara

Baginda kekasih Allah yang mulia
Dijemput menemuiNya tanpa hijab
Jibril terpaku di langit tujuh
Terbakar jika terus menaikinya

Allah menghiburkannya di langit memancar
Bila paman dan isterinya tertanam dibumi
Bagaikan patah dua sayap yang menerbang
Terpilu jiwa menanggung kesedihan

Ya Allah pada siapakah mahu serahkan diriku ini?
Allah mendengar rintihan pilu KekasihNya
Dikirim Jibril, Mikail dan Buraq menjemputnya
MenemuiNya di alam Cinta yang terselebung

Penduduk langit gembira bersyukur
Kaki yang mulia telah memijak lantai Cahaya
Cemburu mereka dengan bumi selama ini
Lantaran kaki Baginda berpijak diatasnya

Batu merintih merayu pada Baginda
Ya Rasulullah bawalah aku mikraj bersama mu
Aku tidak mahu diriku ini
Menjadi batu yang membakar di dalam neraka

Selawat Cinta wahai saudaraku pada Rasulullah
Nabi Musa memohon melihat Allah
Namun Baginda dijemput Allah menemui diriNya
Baginda Habibullah, Bagindalah Yasin dan Bagindalah  Toha..


Khamis, 28 Jun 2012

Jari Jemari Memetik Tasbih


Jari jemari memetik tasbih
Menyatu hati dan akal
Menyaksikan Jalal dan Jamal
Yang ditajalikan pada hati yang merindui...

Asyik oh begitu asyik
Cahaya Jamal menarik melihatNya
Telah kembali diri ini
Ke pangkuan syurga merindu Rohani...

Terus ku petik tasbih ini
Agar Ruh terus berterbangun
Membelah langit yang menghijab
Menembusi Nur yang menyilau...

Tiada merasai lagi tubuh kasarku
Mata tertutup buta, telinga sunyi dari bunyian
Lidah menongkat ke langit
Ruh terpaku dalam bermuwajahah...

Asyik oh begitu asyik
Indah oh begitu indah
Merdu oh begitu merdu
Tasbih dan Tahmid berbunyi tanpa huruf dan suara...

Memandang dan terus memandang
Sehingga  hilang yang memandang
Maka kebingungan dalam pembukaan
Yang memandang itulah yang dipandang
Yang dipandang itulah yang memandang...


Ahad, 17 Jun 2012

Bersama Dia


Bersama Dia…
Tika kerlipan mata memancar…
Tika suara bunyi didengari…
Tika petah kalam berbicara…
Tika menyelesup bau meresap…

Bersama Dia…
Dalam setiap nafas menghela…
Dalam setiap fikiran mendatang…
Dalam setiap rasa tersentuh…
Dalam setiap gerak bergerak…

Bersama Dia…
Segala rezeki yang disuapkan…
Segala  cinta yang dimiliki…
Segala nikmat yang digenggam…
Segala musibah yang mendatang…

Bersama Dia…
Jiwa tiada ketakutan…
Jiwa tiada resah kesakitan…
Jiwa tiada gundah gulana…
Jiwa tenang terlena…

Hu..Hu..Hu..Hu..
Engkau yang bersamaku dengan KetuhananMu..
Akulah yang fakir dalam kehambaanku…


Khamis, 7 Jun 2012

Hamba bersimpuh


Ya Allah hamba bersimpuh
Memohon kasih ampun dariMu
Pada diri yang penuh dosa
Bagai  lautan lumpur membentang

Ya Allah hamba bersimpuh
Memohon kasih bertali denganMu
WujudMu tiada bertempat
Tiada bersentuh tiada berjarak

Ya Allah hamba bersimpuh
Memohon kasih membuka hijab
Kalimah Alif rahsia diriMu
Berdiri sendiri tanpa berhajat

Ya Allah hamba bersimpuh
Memohon kasih asrar dariMu
Engkaulah tunggal dalam WujudMu
Segala lain bayangan tajalli Mu

Ya Allah hamba bersimpuh
Memohon kasih hampir denganMu
Engkaulah hampir yang amat hampir
Berpisah tiada walau sedetik

Ya Allah hamba bersimpuh
Memohon kasih genggam RahmanMu
Engkaulah pemilik segala jiwa
Engkaulah berkuasa segala gerak

Ya Allah hamba bersimpuh
Memohon kasih rintihan kami
Engkaulah pemakbul segala doa
Engkau pemegang segala nyawa

Ya Allah hamba bersimpuh
Memohon kasih Cinta dari Mu
Pada diri yang penuh rindu
Untuk menghirup Makrifat dengan Mu  


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...