Selasa, 25 Oktober 2011

Airmata Cinta

Airmata cinta mengerti
dunia adalah lakonan
semua memegang watak tersendiri
namun semua watak itu tiada akan berfungsi
jika tiada akan Ar-RahmanNya
air memegang watak menghilangkan dahaga
makanan memegang  watak mengenyangkan
ubat memegang watak menyembuhkan
segalanya memiliki watak yang ditentukan
dalam lakonan kehidupan

Airmata cinta mengerti
amat malang kehidupan insan
jika tiada cahaya cinta pada hati
pandangan terpesona dengan segala watak
lalu terhijablah ia dengan hakikat
sehingga hidup tertipu dengan lakonan

Airmata cinta
akan memancarkan cahaya hati pada sinaran mata
maka pandangannya tembus melihat alam
sehingga segala lakonan akan terhapus
matanya menyaksikan kebenaran
Ar-Rahman menampakkan wajahNya
di sebalik segala watak lakonan

Wahai diri
engkau tiada boleh meninggalkan lakonan
tetapi jangan terperangkap dengan lakonan
banyakkan tangisan dalam kehidupan
agar hatimu mengerti dan mengerti
akan makna sebuah kehidupan
agar hati, akal dan pancainderamu mengerti
makna kalimah yang agung

لا إله إلا الله , محمد رسول الله


Isnin, 24 Oktober 2011

Kerana Tuhanmu Maha Adil


Kenapa engkau akan dibangkitkan
dalam kehidupan akhirat?
kerana Tuhanmu adalah ar-Rahman
Ia mahu memberi keadilan padamu
membalas segala kebaikanmu walau sebesar zarah
membalas kejahatan musuhmu yang engkau menderita kerana mereka
maka bahagialah engkau dengan kerahmatanNya
Kenapa engkau akan dibangkitkan lagi
dalam kehidupan yang kedua?
kerana Tuhanmu memiliki sifat al-Qahhar
akan dibicarakan segala kejahatanmu walau sebesar zarah
maka takutlah engkau akan keadilanNya..

Ahad, 23 Oktober 2011

Warkah Cinta buat Pengantin


Wahai para pengantin,
Dengarlah nasihat ini jika memberi manfaat...
Jadikan TAQWA sebagai tapak dalam pembinaan rumahtanggamu. Tanpa tapak yang kukuh, seindah manapun bangunan walau disaluti permata sekalipun akan runtuh berkecai jua. Dengan takwa, nafsumu diikat, fikiranmu terjaga, segala tindakan dan keputusan penuh hati-hati. 
Wahai sang suami,
Ingatlah isterimu bukan milikmu yang mutlak, ia hanya amanah yang dititipkan Allah padamu. Ia dicipta sebagai teman kebahagiaanmu, maka jangan engkau sewenang-wenangnya melakukan apa yang kamu mahu terhadapnya. ‘Tuan’ bagi isterimu sentiasa memerhati akan tindakanmu, di akhirat Dia akan bersoal jawab denganmu.
Wanita adalah kecintaan dan penyejuk jiwa Rasulullah  صلى الله عليه وآله وسلم ketika hidupnya. Kecintaan dan kebimbangan terhadap wanita terserlah sehingga dijadikan isi khutbah Baginda pada Haji Wida’, mengingatkan tentang kepentingan memelihara hak wanita. 
Isterimu dicipta mempunyai keindahan dan kehalusan pada fizikal dan jiwanya. Jiwa mereka penuh dengan emosi sehingga layak memikul tanggungjawab sebagai ibu serta pendampingmu yang paling setia. Mereka suka melayani, cinta disayangi, mahukan pelindung, pembimbing, penolong dan kekuatanmu. Himpunkan dua sifat dalam membimbing mereka iaitu tegas dan lembut. Jangan ketegasanmu menghilangkan kelembutan, kasih sayang dan belas kasihan dalam hatimu. Namun jangan pula kelembutanmu menghilangkan ketegasanmu.
Kesabaran adalah buah takwa dan ia menjadi penawar bagi jiwa yang rindukan maqam cinta di sisi Allah. Kamu jangan terlalu harapkan kesempurnaan isterimu, maka kesabaran adalah pakaian bagi lelaki yang sejati disebalik keberanian dan ketegasan. Terimalah kelemahannya dan hadapi dengan sabar, redha dan bijaksana. Setiap kesabaranmu adalah pembuka pintu tangga kewalian. Jangan kamu hebohkan  permasalahanmu, nanti  akan jatuh maruah isterimu sedangkan maruah bagaikan aurat yang perlu ditutup oleh para suami yang sejati dan bertanggungjawab.
Duhai sang isteri, 
Tetaplah dirimu dengan sifat cinta dan lemah lembut. Sifat peka dan sensitif adalah anugerah Allah padamu, justeru hadapi suamimu dengan cinta dan kesabaran. Jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan, nanti dirimu akan kecewa. Hadapi suamimu dengan lemah lembut, nanti meraka akan jatuh dan mendengar nasihatmu.
Jangan kemarahannya engkau hadapi dengan kemarahan, jangan engkau menjawab  malah diam adalah lebih mulia dan bijaksana. Beri nasihat dan perbetulkan suamimu pada masa yang sesuai. Ego lelaki perlu dipelihara kerana ia adalah senjata dalam memelihara maruah diri dan keluarganya. Namun perlu dijaga agar egonya jangan sampai dimurka Allah.
Jangan engkau mendesak sesuatu hal yang akan membebankan suami. Jangan rendahkan  suamimu dihadapanmu, dikalangan ahli keluargamu apatah lagi di luar rumahmu. Kekurangan dirinya adalah hadiah Allah untuk kamu mujahadah dalam mencapai cinta Allah. 
Allah mencintai wanita yang sabar, lembut dan bijaksana. Himpunkan tiga sifat ini, nescaya suamimu akan bahagia denganmu. Satu ciri wanita solehah ialah suaminya tenang apabila meninggalkan rumah kerana keyakinan pada isterinya. 
Jadikan dirimu sebagai pembantu bukan pembeban, kekasih bukan musuh, penasihat  bukan ketua, penawar bukan racun. Tutuplah keaiban mereka, jika terlalu melampau, maka minta nasihat mereka yang layak, bukan mengadu ke sana sini. Ramai wanita yang menangis apabila kehilangan suami kerana rasa menyesal tiada melakukan sepenuh kebaikan pada suami ketika bersama. 
Rumahtangga adalah berlian untuk akhiratmu, maka hargailah berlian jangan sampai kamu tiada pandai menilainya, nanti kamu menyesal apabila ia tiada lagi ditanganmu.  
Semoga rumahtangga kalian diberkati dan dirahmati Allah.

Sabtu, 22 Oktober 2011

Antara Dua Cahaya - Oxford dan Gua Hira'

Ku berada di Oxford
dimasyhurkan pusat kebanggaan ilmu
sehingga ramai yang tersilap
meletakkan ia di tempat yang tertinggi

Bukan aku tiada menghormati ilmu mereka
tetapi aku tiada mahu terperangkap dengan tarian Barat
mempamerkan mereka yang teratas
kemajuan ilmu mereka dianggap tuhan
sehingga manusia lari dari kebenaran

Allah Pemilik bagi segala ilmu yang Tunggal dalam KeilmuanNya
maka Allah tempat yang paling tepat untuk mempelajari alam dan kehidupan
Allah telah mewariskan pengetahuan kepada para Nabi dan Rasul
maka pengajaran mereka yang paling benar dan tepat dalam segala fakta
merekalah raja bagi segala cendekiawan yang  wujud di dunia ini
maka mereka wajib menjadi sumber pedoman utama
rujukan bagi segala ilmu
dalam mengukur kebenaran kajian dan fakta
demi kebenaran

Allah Yang Maha Tunggal dalam KeilmuanNya
memilih dikalangan hambaNya yang bukan Rasul dan Nabi
dikurniakan ilmu secara ilham, kasyaf dan laduni
mereka mewarisi ilmu para Rasul pada batinnya

Para Sahabat r.a. ramai memilikinya
para kekasih Allah yang haq memilikinya
fakta mereka menghampiri wahyu
namun bukan bertaraf  wahyu
keilmuan mereka bukan dari bacaan dan kajian
tetapi ilham yang terus dipancar pada jiwa mereka yang suci
mereka mengatasi segala bijakpandai yang ada di dunia ini
tetapi sedikit yang mengetahui
sehingga keilmuan mereka dianggap sepi

Syaikh Mutawalli menyatakan dalam tafsirnya
lelaki yang berjumpa dengan Nabi Musa a.s pada pertemuan dua lautan
disebut Allah dengan lafaz umum yakni ‘hambaKu yang soleh’, bukan lafaz khusus
maka ia mengisyaratkan bahawa ramai manusia yang memiliki ilmu tersebut di sepanjang zaman
sebagaiman lafaz firaun secara umum
ramai manusia yang berperangai seperti firaun di sepanjang zaman

Allah Yang Maha Tunggal dalam KeilmuanNya
mencipta di kalangan hambaNya yang bijak akalnya
segala pemikiran dan kajiannya berpijak pada wahyu
mengikuti mereka bermakna berada dalam cahaya kebenaran
mereka digelar para ulama, yang mewarisi keilmuan para Nabi pada syariatnya
segala hujah mereka dalam ilmu bersandar pada Al-Quran dan Sunnah
mereka berijtihad dan berselisih pendapat dalam hukum dan tafsir
namun tiada mendakwa mereka yang paling benar
maka manusia mendapat kerahmatan dari kajian mereka

Allah Yang Maha Tunggal dalam KeilmuanNya
menganugerahkan hambaNya dengan kecerdikan
namun kajian dan keilmuan mereka
tiada bersandar kepada wahyu
semata-mata keyakinan akal atas fakta yang diperolehi
keilmuan mereka tiada boleh dijadikan aqidah dan pedoman
kerana ada yang benar dan ada yang salah
bahkan di antara mereka menolak teori yang dikemukakan orang terdahulu
apabila fakta yang terkini telah diperolehi

Itulah kedudukan ilmu di Oxford atau ilmu dunia Barat
tiada salah mempelajari tetapi salah kalau terlalu memuliakan
sehingga melihat ia tertinggi dan jawaban bagi segala ilmu
sedangkan Allah telah datangkan pada manusia Nur yang haq
bermula pancaran daripada Gua Hira'
ia adalah ilmu bagi segala ilmu
jawaban bagi segala jawaban
pembongkaran bagi segala misteri
fakta bagi segala kajian
cahaya pembimbing bagi si buta
kebenaran yang agung dan akan muliakan siapa yang memilikinya

Umat Islam wajib mengubah pandangan
dari melihat ilmu wahyu hanya sebagai agama
Al-Quran adalah kitab jawaban bagi segala ilmu yang wujud
manusia akan maju dan hebat apabila berada dalam sistem ilmunya

Sejarah telah membuktikan
sentuhan Al-Quran yang begitu hebat
telah menukar para Badwi di padang pasir
menjadi cendekiawan bagi segala ilmu dunia
sehinggga Baghdad menjadi kebanggaan
bagi segala para pencinta ilmu

renungkan Al-Quran di sisimu

itulah hadiah cinta Rasulullah 
 صلى الله عليه وآله وسلم padamu
kitab ibu segala ilmu
engkau akan menjadi manusia yang berjaya dunia dan akhirat

Hargailah hadiah dari Rasulullah 
 صلى الله عليه وآله وسلم yang mencintaimu
bukan harta dan emas yang ditinggalkan
tetapi Al-Quran, raja bagi segala kitab ilmu
agar umatnya tiada menjadi miskin dan papa
pada kehidupan dunia dan akhirat
kerana  ilmu
adalah harta kekayaan yang hakiki 



Oxford, England


Rabu, 19 Oktober 2011

Musafir Ini...


Musafir ini 
daku melihat
negara Barat ini menuju kehancuran
manusia dalam neraka kekosongan
mereka merintih kepedihan
namun sang iblis mengusap lembut jiwa
mendamaikan jiwa yang resah
dengan janji dan wajah kepalsuan
musafir ini 
daku melihat 
generasi muda sudah tiada percaya pada agama
sudah berjaya matlamat azazil
menjauhi manusia dari ajaran para Nabi dan Rasul
maka serangannya kepada negara Islam pula
menukar agama bukan agenda utama
tetapi menghilangkan agama pada jiwa adalah yang utama
gereja-gereja sudah berjaya dikosongkan
kini surau masjid menjadi sasaran
agar wujudnya juga sebagai hiasan
musafir ini ku melihat
bagaimana dahsyatnya apabila agama dijauhi
tinggal ibu bapa dengan anjing peliharaan
pusat hiburan tumbuh bagaikan cendawan
maka berkembanglah anak zina, pemabuk dan penagih dadah
keamanan kehidupan makin hilang
pembunuhan, rogol, rompak, curi, pembuangan bayi, 
penculikan menjadi lumrah yang menakutkan
kehidupan jahiliah kembali berkembang
kehidupan manusia menuju kehancuran
di sebalik kemajuan tembok-tembok bangunan
musafir ini ku melihat
hanya undang-undang dan budaya sahaja menjadi taruhan
mengawal kehidupan insan agar berperaturan
namun ianya bukan jawapan 
kerana jiwa manusia bukannya haiwan
mereka tetap meronta mencari kebahagiaan
mereka mahu keluar dari tekanan
tetapi mereka tiada tahu dimanakah mahu dicari
akhirnya membunuh diri, dadah, arak, hiburan gila sebagai jalan penyelesaian
Wahai anak Adam
dengarlah kalimah ini
jiwamu tiada akan mendapat kebahagiaan
selagi ia tidak dikembalikan kepada Rabbnya
ia akan terus meronta dan meronta
jika engkau merasa damai
maka engkau telah terkena candu ibllis
Bebaskan dirimu dari selaput kepalsuan
sucikan ia dengan perjalanan para Rasul
sehingga jiwamu kembali sedar
untuk apakah jiwa berada dalam tanah liat yang berbentuk ini
Nyanyian cinta akan kedengaran
pada jiwa yang suci
sehingga tiada lagi mendengar melainkan al-Haq, al-Haq, al-Haq
maka berbahagialah jiwa jannatu qurbah
memandang akan wajah Tuhannya...



Bingkisan dari
Oxford, England


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...