Isnin, 14 Januari 2013

Wanita Solehah...


Disebalik kelemahan wanita, mereka ada kekuatan yang dikurnia kerana Allah dan Rasul amat CINTA pada mereka. Doa mereka lebih dimakbulkan oleh Allah. Doa ibu lebih mujarab dari bapa, doa isteri lebih mujarab dari suami. Mereka lebih mudah ke Syurga berbanding lelaki. 

Hati-hati duhai anak lelaki, duhai suami. Dengan kemarahan wanita jika engkau membuat kejahatan pada mereka, keluhan dan tangisan mereka amat didengari oleh Allah.


Keresahan Jiwa...


Punca keresahan dan kebimbangan kehidupan apabila jiwa tiada benar dalam penyerahan diri kepada Allah. Punca tiada penyerahan kerana ragu pada sifat Kasih Sayang dan Pemeliharaan Allah. Punca keraguan kerana bisikan iblis. Punca bisikan kerana kekotoran jiwa dan punca kekotoran jiwa kerana sifat mazmumah. 

Hanya dengan Cahaya Allah yang berkekalan dalam jiwa akan menanggalkan kekotoran jiwa sedikit demi sedikit. Bisikan ibils akan menjadi lemah. Maka akan memancarlah Tauhid Hakiki dalam jiwa memadamkan keresahan, kehidupan akan mencapai ketenangan yang hakiki...


Jika engkau ingin kebahagiaan...

Carilah dalam diri sendiri 

Hapuskan segala belukar pada jiwamu 

Hulurkan tanganmu untuk sebuah Cinta 

Luaskan jiwamu dengan Lautan Kemaafan 

Tanamkan sedalamnya nafsu kesombongan di Bumi Kerendahan 

Telanlah kepahitan dengan Kesabaran 

Hilangkan kebimbangan dengan Tawakal 

Pecahkan dengkimu dengan Syukur 

Padamkan kekecewaan dengan KeRahmatan 

Tutuplah sejarah hitam, melangkahlah ke arah ar-Rahman 

Ubatilah kegagalan dengan Hikmah 

Ketakutan hendaklah dihapuskan dengan Keberanian 

Cinta mu serahkan pada Allah dan Rasul 

Hidupkan keikhlasan dalam jiwamu 

Pasti mengalir dalam jiwa, air kebahagiaan dari Tuhanmu! 



Kekayaan dan pangkat bukan membawa ketenangan abadi, malah keresahan yang membimbangkan. 

Kekayaan jiwa dan maqam yang mulia disisi Allah saja yang akan membawa kebahgiaan dan ketenangan. Sedangkan harta hanya sebagai perlengkap sahaja bukan asas utama.


Khamis, 10 Januari 2013

Dia yang disayangi..


Mereka yang disayangi boleh menjadi penawar dan racun, penguat dan pelemah, memberi kegembiraan dan kesedihan. Berbeza pandangan dalam satu perkara kadangkala boleh membawa kebaikan dan ada membawa prasangka, jika tiada ditanggani dengan baik, syaitan akan memainkan peranannya dan boleh membawa pergaduhan. Sebaiknya didiklah diri agar tiada mudah membuat andaian yang negatif terhadap suatu perkara yang didengar atau dilihat. Jika benar orang disayangi membuat satu andaian yang salah pada kita sehingga benar-benar menyedihkan kita, kita perlu kembali kepada Allah dan mengintai pelajaran apakah yang mahu disampaikan Allah pada kita? 

Sesungguhnya apa yang ditetapkan Allah memiliki hikmah yang tersembunyi. 
Maha suci Allah menjadikan sesuatu itu tiada pengajaran disisiNya.


Sabtu, 15 Disember 2012

Cinta..


Kepedihan cinta adalah kerinduan, ketakutannya adalah perpisahan. Maka berhati-hatilah dalam bercinta agar tidak tersalah dalam memberi cinta. Ada cinta yang menguntungkan dan ada cinta yang merugikan. Jika CINTA diberi pada jalan Allah, maka kepedihan RINDU itu adalah pahala yang melimpah, ketakutan perpisahan menyebabkan bertambah erat CINTA ALLAH padanya, namun cinta yang berlandaskan nafsu, kepedihan rindu mengelapkan hati, ketakutan perpisahan adalah keazaban.


Khamis, 6 Disember 2012

Rasa & Pandang


Jangan mengenal Allah & Rasulullah SAW hanya pada akal, tapi belajar mengenal dengan rasa dan pandangan hati, apabila hati sudah mengenal, maka akan datangnya CINTA, CINTA membawa pada kerinduan, kerinduan membawa kemabukan, kemabukan membawa kelupaan yang lain sehingga melihat DIA saja yang WUJUD. 

Jika sudah benar CINTA, sudah tentu mengingati Kekasih adalah suatu kelazatan bukannya satu kemalasan. Namun untuk mencapai jiwa yang berkasih sayang, cucikan iblis di dalam hati dengan zikrullah walaupun pahit. Mereka yang cepat mahu perubahan tanpa ada kesabaran adalah tiada adab dgn Allah, berkata Syeikh Junaid Al-Baghdadi:

" Aku membaiki hati 20 tahun, membaiki lisan 20 tahun.." 

Dengan kejahatan jiwa yang kita milki, masa yang panjang adalah rawatannya...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...