Jumaat, 11 Mei 2012

Luka yang tiada terasa


Kegilaan Zulaikha terhadap ketampanan Nabi Yusuf a.s. sudah tersebar. Namun ketampanan itu hanya dalam gambaran pemikiran mereka sahaja.

Mereka dijemput dalam jamuan Zulaikha dan diberi setiap seorang sebilah pisau untuk mengoyak buah ditangan mereka. Apabila Zulaikha memanggil Nabi Yusuf a.s. keluar dihadapan mereka, mereka semua terpaku kerana ketampanan Nabi Yusuf a.s. benar-benar dilihat dihadapan mata, bukan lagi cerita sehingga tidak sedar dan terasa sakit ketika menghiris tangan mereka sendiri. 



Begitulah kehidupan...
 
Ramai yang terasa pedih dalam kehidupan kerana pengenalan mereka pada Allah hanya dalam bentuk pemikiran. Justeru itu, pengenalan ilmu kalam sahaja tidak cukup dalam mengenal Allah, tetapi wajib mencapai Makrifat dalam Qalbi sehingga benar merasai dan menyaksikan dengan matahati akan sifat Keindahan, Kesempurnaan, Kebesaran dan Cinta Allah.

Segala kelukaan tidak terasa lagi. Jiwanya hanya sibuk dengan keasyikan bersama dengan KekasihNya yang telah memperlihatkan keindahanNya. Semuanya kini dipandang indah apabila melihat disebalik segala kejadian kehidupannya, datang dari KekasihNya yang sedang memberi CintaNya. 


Hanya yang sedang bercinta sahaja dapat memahami bahasa Cinta


Selasa, 8 Mei 2012

"Wahai api, sejuk dan sejahteralah Ibrahim"


Apabila Nabi Ibrahim a.s mahu dihumban kedalam api, datang Jibril a.s bertanya:

"Apakah hajat engkau wahai Nabi Allah" 

Maka jawab Baginda a.s:

"Pada mu aku tidak berhajat, pada Allah aku berhajat" 

Ditanya Jibril a.s:

"Apakah hajatmu pada Allah, nanti aku sampaikan" 

Jawab Baginda yang tinggi makrifatnya:

"Allah sudah mengetahui apa hajat ku"

Lalu Allah berfirman:

"Wahai api, sejuk dan sejahteralah Ibrahim" 


Maka Nabi Ibrahim ketika berada dalam api yang amat besar dan tinggi menjulang, tiada merasai kepanasan malah diberi rasa kenikmatan. Apabila api padam, para musuh terkejut melihat Baginda sedikit pun tidak cedera. Ia menambah keyaqinan mereka yang beriman kepada Allah.

Dalam kehidupan kita, kadangkala datang kepada kita musibah yang hebat bagaikan api yang menyala, namun jika kita mengambil tauladan Nabi Allah Ibrahim yang teguh keTauhidan, tenang dan senyum dengan takdir Allah, nescaya Allah akan berfirman juga:
"Wahai api fitnah dan musibah,sejuklah engkau dan sejahteralah akan hamba Ku ini"

Segalanya datag dari Allah, maka Allah jua yang berkuasa menjadikan musibah itu panas atau musibah itu sejuk, tiada yang memberi kesan padanya malah ada merasa nikmat dan bertambah hebat. Walau hebat sekali kejahatan manusia yang mahu melakukan kejahatan, namun mereka hanya mampu melakukan kejahatan, adapun berkesan atau tiada kejahatan tersebut, Allah jua yang menentukan. Api tetap api, tetapi tiada sama Allah mengkehendaki seseorang itu merasainya, ada yang merasa panas, ada yang merasa sejuk dan ada yang merasa nikmat. Bergantung pada keTauhidan, Makrifat dan sangkaan dirinya pada Allah.

KeTauhidan, Cinta dan Makrifat akan menjadikan hidup ini indah walaupun berada dalam api sekalipun. Tiada penawar yang besar dalam kehidpan ini melainkan banyakkan diri tenggelam dalam keasyikan ibadah. Ia membawa kesejukan jiwa walaupun berada dalam ujian kepanasan. Firman Allah:

"Hanya dengan berzikir, jiwamu menjadi tenang" 


Wallahu'alam

Isnin, 7 Mei 2012

Siti Mariam yang suci

 

Siti Mariam yang suci... 
Hidup penuh dengan ibadah
Apabila Allah mengujinya untuk mengandungkan bayi tanpa kahwin
Dia menerima dengan redha walaupun dia tahu dirinya akan menerima fitnah yang dahsyat... 

Siapa percaya...
Jika diberitahu anak itu pemberian Allah tanpa melalui perhubungan dengan lelaki
Dia akan dituduh berzina 
dan...
Pasti tidak akan dibenar lagi berada dalam mihrab tempat dia beribadah sejak kecil lagi...

Namun... 
Siti Mariam menerima dengan tabah, redha dan syukur
Dia tidak bertanya  
"Wahai Tuhanku, apakah salahku sehingga Engkau menghukum aku begini, sedangkan aku sentiasa hidup beribadah pada Mu?" 
Makrifat pada Allah menyebabkan dirinya sentiasa bersangka baik dengan Allah walaupun dia tak mengerti...

Maka...
Layaklah engkau duhai Siti Mariam
Menjadi wanita Kekasih Allah dan menghuni syurga yang tinggi darjatnya
Jiwamu bagaikan gunung yang kukuh tanpa peduli dengan segala cemuhan dan hinaan
Tidak sedikit pun memberi kesan padamu 
Kerana kuatnya Cinta dan Makrifat yang engkau milki...


Ahad, 6 Mei 2012

Lihatlah Sang Burung


Duhai anakku...

Lihatlah Sang burung yang dapat terbang dengan bebas,

Ia tidak menjadikan angin sebagai musuhnya, 

Walaupun boleh membahayakannya, 

Tapi sebagai sahabatnya untuk terbangkan dia lebih tinggi,

Dengan pandai mengimbangkan tubuh dan sayapnya dalam menghadapi kemaraan angin...


Sabtu, 5 Mei 2012

Jika hatimu


Jika hatimu merasai tiada kelazatan dalam berzikir dan beribadah, selidiki dan carilah kesalahanmu. Jika ada maka segera bertaubat. 

Jika tiada maka teruskan berzikir dengan istiqomah, bersabar dan bersangka baik dengan Allah, berzikir bukan mencari kelazatan, tapi berzikir untuk memantapkan tauhid dan mendalamkan perasaan kehambaan. 

Sebaiknya zikir Laillahailallah atau Allah, satukan lisan dan qalbu sehingga akal hilang khayalan. Natijah zikir yang utama akan memantapkan aqidah dan bentuk jiwa mudah cenderung pada kebaikan. 

Hatimu bagaikan binatang liar, teruskan berzikir dengan gigih dan sabar seperti gigih dan sabarnya para penjinak binatang yang liar. Jangan gopoh mengharapkan hasil, dapatkan murabbi yang dapat memimpin jalan zikir dengan kaifiat yang benar.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...