Rabu, 14 Mac 2012

Di atas sejadah


Sejadah dihamparkan
aku berdiri di alam Nur
alam asal diriku
alam perjanjian dengan TuhanKu…

Setiap kali aku berdiri diatas sejadah
Cintaku pada Baginda menusuk sayu
lantran aku amat mengerti
berdiriku disini kerana aku memiliki Cahaya Cinta Rasulullah
tanpa Rasulullah, aku menjadi haiwan yang paling hina atas muka bumi ini...

Setiap kali aku berdiri di sejadah
Cintaku pada para Guru , Ulama dan Sahabat r.a.
mekar semerbak mengoncangkan jiwa
lantaran pengorbanan airmata dan darah mereka
dalam menyambung Cahaya Rasulullah
kepada hati  setiap insan penghuni bumi
sehingga aku dpt berdiri diatas sejadah ini…

Takbir ku membuka tirai
dunia ditinggalkan, aku terbang ke alam Nur
bermusyahadah dan bermunajat dengan Kekasih Rabbi
yang menciptaku semata untuk memujiNya
yang menciptaku semata untuk menCintaiNya…

Aku yang bersimpuh dan bersujud
diatas sejadah hamparan Nur
meninggalkan sejenak kehidupan ini
tenggelam dalam kenikmatan dakapan kekasih
berbisik dan merayu agar diri tetap diCintaiNya…



Sabtu, 10 Mac 2012

Jejaki Cinta


Di kaki Jabal Nur,
aku jejaki tapak Rasulullah s.a.w,
ku merasai langkah penuh kerinduan,
lantaran Cinta yang mendalam pada kekasihNYA…

Di Gua Hira',
Baginda  menyatukan Cinta dengan Rabb,
kegelapan yang menggerunkan,
ketinggian yang melemahkan,
tiada sedikit tergugah pada jiwanya…

Gua Hira',
engkau memiliki rahsia yang hebat,
engkau menjadi saksi sebuah penyatuan,
antara langit dan bumi…


Khamis, 8 Mac 2012

Keindahan Cinta


Indah Cinta yang ditajallikan,
pada Kaabah yang tersergam indah,
ku berpusing menyucikan debu diri,
untuk memiliki secebis Cinta Illahi…

Oh...betapa aku terfana,
lantaran tarikan jazbah yang hebat,
dari tangan Adam a.s,
dipancarkan rahsia oleh Ibrahim a.s,
menyelinap pada Qalbi yang merindui…

Oh, betapa hebat nya rahsia yang dizahirkan…


Sabtu, 3 Mac 2012

Ku dalam perjalanan


Ku dalam perjalanan,
mencari setitis Cinta,
dari Tuhan yang Maha penCinta,
dibumi kelahiran Rasul terCinta…

Ku dalam perjalanan,
dalam menagih keampunan,
dalam putaran kaabah yang menyucikan,
 ku menyahut panggilan dari Rabbi Alamin,
 untuk berada dalam dakapan ar-RahimNya…

Ku berlari tanpa menoleh,
dalam larian saie,
mengejar Cinta sejati…


Khamis, 1 Mac 2012

Madinah Munawwarah


Madinah Munawarrah,
engkau tetap dalam kemuliaaan,
engkau akan terpelihara dari dimasuki dajjal,
kerana dalam bumimu ada bersemadi tenang  jasad yang paling di Cintai Allah,
Muhammad kekasih Allah..

Bumi Madinah
engkau tetap memancarkan Cahaya,
tiada yang mampu memadamkan,
sehingga bumi dihancurkan,
lantaran dalam bumimu,
ada jasad Rasulullah ,
Cahaya yang datang dari Allah,
Cahaya atas segala Cahaya..

Bumi Madinah,
engkau telah menyaksikan Cahaya Islam,
mekar indah harum mewangi,
lantaran bumi mu telah mendapat kemuliaan,
dipijak  kaki oleh Insan yang amat sempurna jiwanya..  




-Madinah, 5.58 p.m.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...