Sabtu, 7 Januari 2012

Jangan


Jangan biarkan
matamu menjadi hakim
kerana pandangan
sering tertipu…

Jangan biarkan
telingamu menjadi hakim
kerana pendengaran
sering tertipu…

Jangan biarkan
sangkaan hati menjadi hakim
kerana hatimu
belum benar bersih…

Pejamkan mata
pekakkan telinga
perbaiki hati
pandanglah dengan Nur Allah
agar Cinta yang mewangi tiada terpadam
dalam kehidupan yang penuh dugaan…


Rabu, 4 Januari 2012

Cahaya Jamal


Duhai saudaraku…
Allah telah datangkan padamu
Cahaya Cinta yang indah
dicipta dari Nur JamalNya
untuk meRahmati sekelian alam…

Rasulullah adalah Cahaya dari Tuhan
untuk membawa Cahaya kebahagiaan
Azazil bertempik kemarahan
kerana segala tipu dayanya akan dibongkar
dan anak cucu adam akan selamat
dari neraka kesyirikan dan kejahilan…

Rasulullah tiada hidup untuk dirinya
Baginda dilahirkan untuk seluruh umat  manusia dan jin
segala perbuatannya adalah tauladan
segala gerak geri dan bicaranya adalah Cahaya
Baginda adalah kebenaran pada mereka yang mahu berada dalam dunia kebenaran
Baginda adalah penghapus kepalsuan bagi mereka yang membenci dunia kepalsuan…

Jangan engkau tukar wahai saudaraku
Rasulullah dengan sesiapa pun di dunia ini...
jangan engkau tukar wahai para wanitaku
Isteri Rasulullah dengan sesiapa pun wanita yang ada...
Jangan engkau tukar wahai para puteriku
Fatimah, Zainab dan puteri Rasulullah dengan mana-mana puteri yang lain….

Selamilah peribadi agung mereka
selamilah dan cintailah Khadijah r.a.,  Asiyah r.a dan segala Ummu Mukminin
selamilah indahnya budi dan jiwa Fatimah puteri kecintaan Baginda Nabi s.a.w
engkau akan dapat menghidu semerbak haruman suci yang tiada terperi…

Di situlah Cahaya Jamal Allah
di situlah Cinta Allah
di situlah syurga yang indah
di situlah terhimpun segala nama-nama Allah yang indah
jangan berpaling lagi pada yang lain
tetaplah kakimu dan matamu pada keindahan Rasulullah s.a.w dan Ahlu Baitnya
tetaplah jiwamu hanya Cinta pada Baginda dan Ahlu Baitnya tanpa dusta…


Selasa, 3 Januari 2012

Tahun Baru ini


Bagaimana ku mahu nyatakan
derita jiwa yang  bersenandung
dalam hari-hari yang meniti
bagaikan lusuh tanpa cahaya…

Hanya ku bicarakan pada sang bulan
dalam sinar yang mewangi
hanya ku bicarakan pada deruan ombak
yang mengalun bisikan cinta…

Alam memilki jiwa
merasai keAgungan Tuhan
dalam setiap masa yang berdetik
namun perasaan itu hampir tiada
dalam jiwa insan zaman kini
sedangkan mereka adalah seindah ciptaan Tuhan...

Kemanakah hilangnya
kemanakah hancurnya
sehingga  bahasa dan rasa tiada lagi berfungsi
dalam memahami getaran Illahi
dalam menyelami denyut Cinta Rasul...

Kita adalah warisan
dalam perjungan para ulama dan Aulia
dalam mendukung obor yang suci
meniti sebuah perjuangan
membangunkan jiwa setiap insan
kembali pada dakapan Cinta Allah dan Rasul…

Setiap langkah kebenaran dihadapan
segala kebatilan jatuh kebelakang
setiap langkah Cahaya Islam menyinar
segala  cahaya kufffar akan terpadam
apabila jiwa hidupnya Cinta
syaitan akan merintih terbakar…

Semoga pusingan tahun ini nanti
aku tiada lagi merintih
lantaran Cahaya keRahmatan sudah bergemerlapan
bersinar seluruh alam
bersama keindahan kemenangan…


Sabtu, 31 Disember 2011

Dosa menuju Tuhan


Ramai para Aulia
mencapai gunung makrifat
melalui tangga-tangga dosa
dosa yang membawa kerendahan diri
dosa yang membawa taubat yang hakiki
dosa yang membawa dirinya di Cintai Tuhan…

Dosa adalah fitrah kehidupan
dosa adalah takdirnya
dosa dicipta
kerna…
di sana ada namaNya al-Ghaffar
untuk mengampunkan dosa…

Jangan merintih dengan dosa
sehingga syaitan menipu mu
menjauhkan kamu dengan orang yang soleh
lantaran merasa diri hina
tiada layak bersama dengan mereka
atau tiada mahu beribadah
kerana merasakan dosa mu
tiada diampuni Tuhan…

Tiada salah dengan dosa
tapi salah jika sentiasa berulang
salah jika tidak merasa kesal
salah jika berbangga dengannya…

Dosa menjadikan engkau kekasihNya
Apabila sentiasa taubat
Apabila merasa diri hina
Apabila sentiasa merintih padaNya
Apabila sentiasa kerdil dalam perhimpunan manusia
Apabila sentiasa menilik diri dengan sedikit amal
Apabila melihat orang lain lebih baik dari dirimu
Apabila airmata kekesalan sentiasa mengalir
Apabila dahimu banyak bersujud pada  Tuhan
Apabila engkau dalam keadaan rasa berbimbang-bimbang  dengan dirimu
Apabila engkau banyak berselawat lantaran mengharapkan syafaat Nabi mu…

Ikutlah jalan ramai para Kekasih Allah
membangunkan jiwa mereka
terbang menuju Cinta Allah
bermula dengan langkah
akibat terjatuh dalam dosa…


Jumaat, 30 Disember 2011

Mendakap Cinta Ilahy


Ada mereka yang tiada lisan
tetapi memilki hati
mereka jahil di sisi manusia
tetapi mereka alim di sisi  Tuhan…

Ada mereka yang ada lisan
tetapi tiada memilki hati
mereka alim di sisi manusia
tetapi mereka jahil di sisi Tuhan…

Ada mereka yang tiada lisan
mereka juga tiada hati
mereka jahil di sisi manusia
juga jahil di sisi Tuhan…

Ada  mereka yang ada lisan
mereka juga mempunyai hati
mereka adalah para Kekasih Tuhan
penghidup jiwa kepada Cinta Tuhan

Biar sedikit bicara dengan manusia
tetapi banyakkan bicara dengan Tuhan
biarkan sedikit air mata dengan manusia
tetapi banyakkan air mata dengan Tuhan
itulah kehidupan para Kekasih
dalam mendakap Cinta Ilahy…


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...