Selasa, 13 Disember 2011

Bisikan sang Faqir


Kerdilnya diri ini…
apabila diri sudah mengenal
setiap detik
dalam kekuasaanNya…

Malunya diri ini…
apabila diri sudah mengetahui
setiap detik
dalam Ar-RahmanNya…

Fakirnya diri ini…
apabila diri sudah merasai
setiap apa yang ada
adalah semua milikiNya…

Apalagi dosa yang besar…
dari diri yang terdinding
dengan syirik ananiah
sehingga tak merasai diri dalam kekuasaanNya…

Apalagi kejahilan yang besar…
dari diri yang tertutup
dengan kegelapan jiwa
sehingga tiada dapat merasai setiap detik cinta Allah pada dirinya…

Apalagi kesombongan yang besar…
dari diri yang terpedaya
dengan segala bayangan
sehingga tiada dapat merasai diri dan alam adalah milik Allah…

Apakah hidupmu tiada terasa kotor…
dibelenggu najis kejahilan dan kesombongan
sehingga engkau buta dengan Tuhan Mu
lalu engkau pertuhankan dirimu dan alam

Bangunlah wahai diri dan tanggalkan…
kekotoran kejahilan dan kesombongan
agar setiap detik dirimu
fana dalam kebesaranNya
lantaran tersingkap pada setiap pandangan
Hu Allah Hu Alllah Hu Allah…


Jumaat, 9 Disember 2011

Aku hanya Sang Burung


Aku hanyalah seekor burung
yang memilki dua sayap
yang memiliki dua kaki
yang mahu terbang bebas
tiada mahu menguasai apa jua
tiada mahu dikuasai apa jua…

Aku hanyalah sang burung
memilki dua sayap
mahu terbang bebas ke mana pergi
hinggap bebas di mana dahan
aku tiada mahu melukai mereka yang dicintai
aku tiada mahu lagi dilukai oleh mereka yang  dicintai…

Aku ingin terbang bebas
walau aku tiada tahu ke mana pergi
namun…
aku tiada mahu keterikatan
tiada mahu lagi menjaga jiwa
aku mahu menjaga ummah
walaupun penuh bebanan
aku mahu hidup dengan kegembiraan
dengan apa yang ditakdirkan Allah
kerana ia adalah yang terbaik buat diriku
walaupun penuh dengan kebingungan...

Namun...
kini ku mengerti
kehidupan yang penuh gelombang
ku wajib lalui dengan sayap cinta dan syukur
bukan sahaja syukur pada kenikmatan
tetapi syukur dengan kepedihan, kesakitan dan kesempitan
kerana di sebalik itu ada kenikmatan
kerana di sebalik itu ada pelbagai hikmah
yang hakikatnya adalah yang  terbaik
kerana ia adalah keputusan Ar-Rahman…

Aku hanyalah sang burung
yang memiliki dua sayap
ingin bebas terbang ke alam Qurbah
bebas hinggap di dahan kecintaan
tiada mahu menguasai sesiapa
tiada mahu dikuasai sesiapa…

Hanya pada Mu Ya Allah...
hanya pada mu Ya Rasulullah...
Hidup ini ku pasrahkan…
 

Khamis, 8 Disember 2011

Meniti Cinta sebuah Sejarah


Sejarah tidak boleh dipadamkan
sejarah tiada boleh dibelakangkan
sejarah perlu dicintai
lantaran…
peristiwa silam yang berlaku
menyebabkan wujud kehidupan kita pada hari ini…

Pakatan syaitan, iblis dan dajal
sentiasa memerhatikan sejarah
sebagai senjata  mematahkan  kekuatan
sebelum ianya berkembang kuat

Mereka amat menyakini
kegemilangan Cahaya Cinta Allah
akan lahir dari warisan Rasulullah s.a.w dan para ulama
yang memiliki keilmuan, akhlak dan kebijaksanaan
samada dari jalan Sayyidina Husseen r.a  secara cinta dan  keras
atau dari jalan Sayyidina Hasaan r.a secara cinta dan damai

Kita perlu melihat sejarah
kita perlu mencintai sejarah
kita perlu mencintai warisan
kita perlu mengenali keturunan
sebagai titik mengenali diri
sebagai langkah dalam kehidupan
yang baik kita jadikan ikutan
yang salah kita jadikan pedoman

Jangan kita takbur
menganggap segala peristiwa yang wujud kini
tiada kaitan dengan sejarah dan keturunan
sedangkan mana mungkin
kita wujud tanpa sejarah
kita wujud tanpa warisan
kita wujud tanpa doa
kita wujud tanpa cinta...

Maka…
mari kita melihat sejarah
mari kita melihat warisan
demi sebuah Cinta
untuk sebuah perjuangan…


Isnin, 5 Disember 2011

Hakikat memadamkan kepalsuan


Ramai mereka  yang dilihat biasa
tapi luarbiasa
ramai mereka yang dilihat luarbiasa
tapi mereka adalah biasa…

Uwais Al-Qarni dilihat biasa
sehingga tiada manusia bumi yang menghiraukannya
tetapi hakikatnya dia adalah luarbiasa
dia dicintai Nabi walaupun tiada menemuinya
dia adalah sebaik-baik tabieen di zamannya
tiada pujian, harta, wanita yang dapat mengugah keimanannya
Dia bagaikan sebuah gunung yang kukuh
pintu langit terbuka untuknya ketika berdoa
Allah sentiasa menghadapkan wajahNya kepadanya dengan penuh cinta…

Al-Bal'am dan Al-Basyisor adalah manusia luarbiasa
kealiman, kewarakan dan karamahnya amat disanjung
segala kalamnya dipatuhi, sang raja tunduk padanya
namun dia adalah manusia biasa di sisi Allah
yang tiada tahan dengan  pujian dan kemewahan
yang tiada tahan dengan pujukan wanita
sehingga langit menutup pintu padanya
dan Allah tiada memandang pada wajahnya
melainkan dengan penuh kemurkaan
sehingga ditutup pintu keimanan
akhir kalamnya Dia  dalam kekufuran…

Pandangan syariat berbeza dengan pandangan hakikat
Pandangan Allah berbeza dengan pandangan manusia
Rasulullah s.a.w  pernah ditegur Allah
kerana menganggap pemuka Quraisy mempunyai nilai
sehingga memalingkan wajahnya yang mulia dari Ibnu Makhtum yang buta
sedangkan di sisi Allah
pemuka Quraisy tiada nilai apa-apa di sisiNya
Ibnu Makhtum itu lebih mulia dan dicintai
lantaran sekeping hati yang mencintai Allah dan Rasul
sekeping hati yang bersih meronta mahu mencari hidayah
sehingga akhirnya Rasulullah Habibullah memahaminya
lalu ditinggalkan majlis pemuka-pemuka Quraisy yang tiada nilai
dikejarnya Ibnu Makhtum yang bernilai di sisi Allah…

Syariat dapat dilakonkan, maka Allah tiada memandangnya
ia hanya tempat nilaian manusia yang rendah nilai pandangannya
hakikat adalah kebenaran dalam qalbu
ia tempat pandangan Allah
ia tempat nilaian Allah
ia adalah diri yang akan dibongkarkan di akhirat
ia tempat pandangan para Arifbillah
mereka melihat dengan pandangan Allah
melihat tiada tertipu dengan ilmu, bicara, kitab dan pakaian sang alim
tiada tertipu dengan ketekunan ibadah para ahli abid
tiada tertipu dengan zikir, cinta, dzauk, kasyaf dan tangisan para ahli tarekah
tiada tertipu dengan dermawan para dermawan
tiada tertipu dengan sifat tawadhu, zuhud, khidmat  dan kebaikan
mereka tiada tertipu apa saja yang zahir yang dizahirkan
mereka melihat rupa di sebalik rupa itu
wajah hakikat memadamkan wajah syariat
sang Arif hanya tersenyum
melihat pelakon-pelakon dunia yang hebat lakonannya
bicaranya memuja Allah
sedangkan ia memuja nafsunya
bicaranya mencintai Nabi
sedangkan Dia mencintai dirinya
kelakuannya adalah ibadah
tetapi sebenarnya ia menyembah nafsu ketuhanan dirinya
amalannya  seperti ahli sufi
tetapi batinnya bagaikan seperti serigala yang sentiasa mengintai mangsa untuk dirobek dagingnya…

Orang biasa yang luarbiasa
mereka pemilik jiwa orang dicintai Allah
jika ditanya apakah kelebihan mereka
nescaya mereka tiada mengetahui
jika dipuji, nescaya mereka malu menerimanya
jika dalam majlis, datangnya tiada disedari, pulangnya tiada diketahui
jika ditanya ilmu, nescaya mereka hanya mengatakan kadar untuk ibadahnya
jika ditanya amal, nescaya mereka hanya menjawab sekadar yang wajib dan sedikit yang sunat
jika ditanya harta, nescaya dijawab sekadar untuk melepaskan keperluan kehidupan
namun jika ditanya pada hati
nescaya mereka mengatakan aku hanya insan yang sederhana dan daif disisi Allah
kerana mereka tiada memiliki apa-apa kelebihan yang mahu dibanggakan
namun mereka sudah berada separuh jiwa aulia
jika digilap, nescaya cahayanya memancar ke langit menembusi langit kerahsiaan…

Berhati-hati dalam kehidupan
jangan hanya terpukau pada yang zahir sahaja
indah yang zahir tak semestinya indah yang batinnya
namun…
cahaya kebenaran dan kebatilan hampir sama
disangkanya cahaya tetapi kepalsuan
disangkanya kegelapan tetapi kebenaran
banyakkan selawat pada zaman yang penuh penipuan
agar cahaya Rasul menyelinap dalam jiwamu
dengan cahaya itu engkau dipelihara
dari kepalsuan segala rupa syariat
dari segala penipuan para pelakon-pelakon dunia
sehingga dirimu bertemu
para murabbi yang benar
memimpin tanganmu menanggalkan topeng kepalsuan
menuju kepada kehidupan hakikat
sehingga engkau melihat kebatilan dirimu
banyak bermain-main ditepian pantai
tiada engkau menyelam dalam lautan
jika benar engkau menemuinya
dan engkau akan memakai pakaian hakikat
pakaian para kekasih Allah yang Haq
merekalah pewaris Nabi pembawa kebenaran
bukannya pembawa pada bayang-bayang kepalsuan…

Carilah hakikat
berhentilah bermain bayang-bayang…


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...