Rabu, 23 November 2011

Cinta Zulaikha


Apabila Zulaikha mengejar cinta Nabi Yusuf a.s
bayangan Nabi Yusuf a.s. semakin menjauhinya
sehingga dia menderita dalam cintanya
memamah kehidupannya sehingga tua…

Akhirnya Zulaikha menyedari
keindahan Nabi Yusuf a.s. adalah bayang  bagi penciptaNya
Maka dia mengatakan
kenapa dia perlu membuang masa dalam kehidupan
mengejar hanya bayang- bayang
kenapa aku tiada mengejar yang empunya bayang-bayang...

Maka Zulaikha mengambil keputusan
memalingkan jiwa, akal dan tubuhnya
mencari cinta empunya bayang-bayang
sehingga dia mencapai keasyikan yang tiada nilainya
fana segala bayang-bayang
maka nyatalah keindahan empunnya bayang-bayang...

Ketika itu keindahan Dzat Jamal yang dicintai
dengan kebesaran dan keagunganNya
menyalin jiwanya
dengan persalinan cinta dariNya
jiwanya disaluti cahaya emas makrifat
jiwanya penuh dengan tajalli Jamal  Allah
namun Dia tersembunyi dari dilihat
pada kehidupan alam ini…


Ketika Nabi Yusuf a.s. diperintah Allah
agar berkahwin dengan Zulaikha
lalu baginda berkata:

" bagaimana aku berkahwin dengannya usianya yang lanjut
rupa dan tubuhnya bagaikan mayat yang berjalan"

Maka Allah berfirman:

" Kecantikan disisi Allah adalah hati.."

lalu keindahan hati Zulaikha dizahirkan Allah
sehingga bersinar kecantikkannya
maka tersilau Nabi Yusuf a.s. dengan keindahan itu
lalu dia menjadi pemuja Zulaikha
ditarik bajunya sehingga koyak ketika Zulaikha sedang asyik dengan TuhanNya...

Maka Baginda menyedari
bahwa diri Zulaikha tidak lagi memandang akan keindahan dirinya
tetapi memandang hanya pada Dzat Ahadiah
Raja bagi segala keindahan…

Karamah yang berlaku pada Zulaikha
dizahirkan  Allah ketika di alam ini
itulah hakikatnya di akhirat nanti
keindahan seseorang berubah berdasarkan keindahan hati
segala keindahan tubuh akan hilang
yang akan zahir adalah keindahan jiwa
yang bertali makrifat dengan Allah…

Indahkan jiwamu wahai para pencinta
kerana Allah cintai keindahan
namun Allah tiada melihat keindahan tubuhmu
tetapi mencintai keindahan jiwamu…

Isnin, 21 November 2011

Isteriku



Isteriku
tangisan kelahiranmu
adalah menyampaikan suaramu  padaku
engkau telah hadir ke dunia ini
untuk menemaniku
membantu memegang kemudi
dalam pelayaran kehidupan ini…

Isteriku
engkau adalah hadiah dari Tuhan
maka wajib ku jaga dirimu
dengan penuh kecintaan dan kesabaran
semampu yang mungkin walaupun penuh kedaifan
namun aku tetap sentiasa lemah dalam menghargaimu…

Isteriku
engkau adalah permata yang indah
engkau adalah irama yg mengasyikkan
engkau meletakkan kegembiraan suamimu di hadapan
dalam setiap detik nafasmu
kerana itulah kegembiraan dirimu
sebagai ibadah dalam mencapai cinta yang suci…

Aku sentiasa bimbang dengan kemurkaan Tuhan
di atas nikmatnya yang tiada ku syukuri
memiliki isteri solehah kasturi mewangi
yang menyejukkan daku tika ku marah
yang menenangkan daku tika ku rungsing
yang mengenyangkan aku tika ku lapar
yang membangunkan daku tika ku lena
yang memegangku tika aku lemah
yang menongkatkan aku tika ku berjalan
yang menghiburkan daku tika ku kerungsingan…

Dunia ini menjadi indah
apabila disisinya isteri yang solehah
benar sabda Nabi
tiga kegembiraan anak adam
rumah yang baik,kenderaan yang baik dan isteri yang solehah
dan aku memiliki kegembiraan itu
disampingkan dikurniakan isteri yang solehah
walaupun penuh kekurangan yang lain
walaupun  tiada sepenuhnya dapat menunaikan hasratku
namun engkau tetap permata yang mengindahkan jiwa ku
walaupun cahayamu tiada siapa dapat melihat
tapi aku tetap dapat melihat
kan ku bawa ke hadapan Tuhanku
segala kegembiraan yang kau berikan padaku
agar diredhai Tuhan
dicintai Rasul
sehingga engkau menghuni alam para kekasihNya
syurga yang indah kekal abadi…

Kini aku sedari
diriku tak akan mampu mencapai maqammu disisi Tuhan
tapi ku yaqin
engkau akan memegang tanganku
agar tiada terlepas dari tanganmu
agar engkau dapat merayu pada Tuhanku
diampuni walaupun banyak menyakitimu
agar aku juga bersama denganmu
di  alam syurga yang indah kekal abadi
dan aku amat menyakini…

Dunia ini akan indah
apabila adanya cinta yang suci
yang bersulam Allah dan Rasul
dalam jiwa setiap insan
maka
bangunkan cinta kerana dalam jiwamu ada cinta
hargailah mereka yang mencintaimu
memberi kegembiraan adalah ibadah yang mulia
apalagi pada para mereka yang sentiasa berkorban untukmu
demi sebuah cinta…


Sabtu, 19 November 2011

Brunei


Kini aku sang fakir cinta
bertafakur di negara Brunei Darul Salam
sebuah kerajaan di bawah raja berdaulat
memerintah dengan Islam yang berdaulat…

Ku ingin menyelami akan masyarakatnya
budaya dan pemikiran mereka
agar sesuatu yang baru ku temui
untuk dijadikan bekalan bagi sebuah cinta
dalam membangunkan jiwa ummah…

Sabah ku tinggalkan
dengan tetap ku kembali
kerana di sana sudah mula bertapak
mesej cinta yang disemai
dalam membina jiwa makrifat…

Sistem kekeluargaan di Brunei dan Sabah  masih utuh
kepala kaum dihormati
anak muda masih hormati kaum tua
walaupun budaya barat sudah meresap…

Usaha yang bersungguh
munajat yang berterusan
akan mampu membangunkan jiwa ummah ini
dengan cinta yang bersulam makrifat…

Ayuh,mari kta bangunkan sekeliling kita
agar tiada buta ummah ini
dengan Allah yang nyata
Dialah yang Awal  Dia yang Akhir
Dia yang Zahir dan Dia yang Batin
dariNya segala bermula
kepadaNya segala berakhir…


Jumaat, 18 November 2011

Pujian


Berhati-hatilah dalam memuji
Berhati-hatilah dalam menerima puji
Kedua-duanya boleh membawa diri
Ke lembah kegelapan syirik

Jika kamu memuji
Pastikan kamu melihat kepada  hak Allah
Jika kamu dipuji
Pastikan kamu  memulangkan pujian kepada hak Allah

Memuji seorang yang  kaya, bijak, cantik, berjaya
Tanpa melihat di sebaliknya kurniaan hak Allah
Maka pujianmu adalah racun bagi dirimu
Kamu akan menjadi pemuja kepada makhluk seperti mu

Jika kamu dipuji dengan segala kelebihan yang ada padamu
Tanpa melihat kurniaan hak Allah pada dirimu
Maka pujian  itu akan menjadi api bagi dirimu
Nafsu keangkuhan iblismu akan subur

Pujian Allah pada dirnya adalah benar
Pujian Allah pada makhlukNya adalah benar
Tetapi pujian makhluk pada dirimu  kadangkalanya dusta
Memuji dirimu akan dirimu adalah  kebinasaan

Kembalikan segala pujian bagi Allah
Dia yang berhak bagi segala pujian
Yang lain daripadaNya hanya ada pada syariat
Tetapi tiada pada hakikat

Berjalanlah dengan Cahaya Rasulullah
Agar kebenaran sentiasa terpandang…


Rabu, 16 November 2011

Dipinggir gunung kinabalu


Kabus yang tebal
menutup kewujudan gunung yang begitu hebat
namun apabila sang suria datang
kabus menghilang
gunung kelihatan
terpegun diri yang kerdil melihat
kehebatan dan keindahan…

Kabus yang tebal
berada dalam jwa manusia
menutup kewujudan Allah
walaupun nyata di hadapannya
apabila cahaya memasuki jiwanya
hilanglah segala kabus
maka ketika itu wujud Allah kelihatan
terpegun dia sehingga terasa faqir
menyaksikan kehebatan dan keagungan Allah disebalik alam…

Cahaya Rasulullah menghancurkan kabus
sehingga nyata Allah pada kehidupannya
maka merintihlah ia akan kebebalannya
kerana tiada melihat kasih sayang dan pemurah Allah
disebalik pandangan,pendengaran, nafas, rezeki yang dimilkinya
meminum air tanpa melihat cinta Allah
mengunyah  makanan tanpa melihat cinta Allah
ibu bapa yang menyayangi tanpa melihat cinta Allah
isteri menyayangi, suami menyayangi tiada melihat cinta Allah
nikmat dan musibah tiada dilihat hak Allah…

Mereka yang terhenti pandangannya pada alam
mereka berdosa dalam penglihatan
mereka berdosa pada TuhanNya
kerana tiada Allah mewujudkan alam
melainkan untuk melihat akan sifatnya yang Agung…

keluarlah dirimu daripada dosa kesyirikan
dengan membuang kabus dari jiwamu
agar sang suria yang memancar
akan dapat menyaksikan
gunung yang hebat dan indah…


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...