Ahad, 13 November 2011

Hati-hati mengungkap Cinta


Ketika ku membaca
sajak-sajak cinta seseorang
lalu ku menghantar pesanan
menyatakan kebimbangan diriku
berhati-hatilah wahai diri
dalam mengungkap kalimah cinta
perkataanmu akan diuji
bagaikan air sungai yang mengalir
nanti engkau tiada akan tertahan
ramai para pemuja cinta kulihat
tersungkur separuh jalan…

Kata-kata  bagaikan anak panah
yang akan berpusing kembali
pada tuan yang melepaskannya…

Dia menjawab
segala kalimah cintanya
dari jiwa yang remuk
hanya pada Allah keyakinannya
tempat ia bergantung dan  mencurahkan segalanya…

Jika itulah kata diri
engkau sudah dalam perjalanan cinta
keremukan jiwa pada makhluk
adalah dari kehendakNya
agar terpelanting segala cinta
 yang lain daripadanya
jiwa akan menjadi keras bagaikan waja
lantaran tarbiyah terus dari kekasih
berbahagialah diri
yang mengalami penderitaan
lantaran dirimu dalam kebenaran
menuju ke dalam pelukan Tuhanmu…

Jangan sekadar menjadi penyair cinta
tetapi jadikan diri  sanggup berkorban demi memiliki cinta…


Sabtu, 12 November 2011

Engkau dan Jiwa


Dalam jiwamu
ada rahsia yang perlu dibongkar
dalam jiwamu ada cinta
yang perlu disemarakkan…

Jiwamu adalah latifah
berasal dari alam rabbaniyah
keilmuannya penuh kejernihan
bersumber dari pancaran Tuhan…

Jiwa berasal alam ghaib
menyatu dengan badan alam kasar
lantaran untuk menerima amanah
untuk makrifat di alam ini…

Mereka yang beruntung
golongan yang membersihkan jiwanya
dari segala ikatan dan tawanan
bayangan dan kepalsuan…

Dunia jambatan kepada makrifat
dunia jambatan kepada kegelapan
maka pilihan atas diri
bagaimana mahu mencipta
dunia di hadapanmu…


Jumaat, 11 November 2011

Cahaya Cinta



Firman Allah “adakah aku Tuhanmu?”
jiwa yang suci memjawab “bahkan,engkaulah Tuhan ku”
jiwa berhimpun dalam satu kalimah
pada alam asal rohani
menyaksikan Al-Haq yang ditajallikan…

Jiwa memiliki makrifat
lantaran Cahaya Cinta Rasulullah dimiliki
jiwa menjadi sesat
apabila Cahaya Cinta Rasulullah tiada dimiliki…

Jiwa wajib dikembalikan pada hakikat
menyaksikan akan Al-Haq
maka jiwa wajib disuci
dengan petunjuk Rasulullah…

Segala perintah dan sunnah baginda adalah cahaya
segala larangan dan kesesatan adalah kegelapan
jiwa yang tiada Cahaya Cinta Rasul
tiada akan dapat menyaksikan Haq Allah
walaupun dirinya dan segala disekelilngnya adalah milik Allah…

Kegelapan jiwa akan membawa mereka ke lembah iblis
takbur,ujub, dengki, engkar menjadi pakaiannya
dunia adalah syurga baginya
Cahaya Cinta Rasul tiada pada jiwanya…

Maka sesatlah ia dalam lembaga adam
yang dicipta daripada lumpur yang hitam
maka segala akan membawa ia
menyembah ketuhanan "keakuan diri"
mereka pencinta diri sendiri
yang akan membunuh fitrah cinta yang suci
yang berada dalam jiwanya…

Hubungkan jiwa dengan Cahaya Cinta Rasulullah
dengan berkhadam dan cinta dengan pewaris Rasulullah
cinta dan kerendahan jiwamu pada mereka
akan melimpahkan cahaya cinta itu pada jiwamu
ia akan membawa jiwamu
kembali terbang ke alam cinta yang mengasyikkan
itulah perhentian pencarian
bagi semua para  perindu dan pencintaNya.
Firman Allah “pada hari itu mereka benar-benar melihat akan TuhanNya”


Khamis, 10 November 2011

Jiwa Pencinta


Apabila Nabi musa as memandang bukit
Maka Baginda pengsan
lantaran melihat akan tajjali Allah..

Para perindu Allah
sentiasa pengsan jiwanya
apabila melihat alam
lantaran melihat akan sifat Jalal Allah..

Para perindu Allah
sentiasa pengsan jiwanya
apabila melihat diri
lantaran melihat sifat kamalat Allah..

Alam dan diri
adalah sebuah lukisan
adalah sebuah syair
daripada yang Maha Agung..

Alam yang luas ini
segalanya menceritakan tentang Dia
diri yang indah ini
menyatakan akan rahsiaNya..

Jangan penglihatan hanya pada mata
himpunkan ia dengan cahaya hati
mata melihat matahari
hatimu melihat kebesaran Allah..

Demi Tuhan
hanya mereka yang pengsan sahaja
memahami bahasa Tuhan
dalam setiap detik
membisikkan akan dirinya
melalui wajah alam dan kehidupan..

Rabu, 9 November 2011

Cinta


Cinta
jangan sampai dikuasai
sehingga kehilangan hak diri dalam kehidupan…

Cinta
jangan sampai tiada dalam dirimu
sehingga tiada menghargai orang-orang  di sekelilingmu…

Abu Talib amat cinta pada Nabi
namun cinta Abu Talib tiada dapat menguasai Nabi
Nabi tetap bertegas lantaran ia cahaya Allah
Nabi bersabda 
“wahai pamanku,jika mereka meletakkan matahari di kananku
bulan di kiriku, agar aku tinggalkan perjuangan ini,nescya tiada sekali- kali..”
ungkapan yang melemahkan pamannya
sehingga  terpaksa mengalah
namun antara cinta keduanya tiada pernah pudar
namun berjalan di atas landasan yang hak
tiada dapat menguasai dan tiada dapat dijauhi…

Nabi mencintai para isterinya
isterinya amat mencintai Nabi
namun apabila para isteri Baginda berhimpun berbincang tuntutan dunia
Nabi memanggil semua isterinya
selepas sebulan berkhalwah
dengan sabdanya 
“aku adalah seorang Rasul,jika engkau mahukan harta,aku ceraikan kamu dengan baik..”
maka semua para ummu mukminin memilih Baginda dari harta tanpa ragu…

Cinta tiada dapat menguasai Baginda
cinta tiada dapat menjauhkan diri dengan Baginda
cinta Baginda pada Tuhannya
tiada dapat mengugah apa di sekelilingnya
malah segalanya tunduk dalam pancaran cinta Baginda pada Allah…

Cinta akan menyebabkan seorang itu menjadi hamba kepada yang dicintainya
justeru itu
berhati-hati dalam menyerahkan cinta
cinta boleh membawa kamu kepada makrifat
cinta boleh membawa kamu kepada syurga
cinta boleh membawa kepada kemuliaan
tapi
cinta juga boleh membawa kamu kepada alam yang rendah
cinta boleh membawa kamu kepada neraka
cinta boleh membawa kamu kepada kehinaan...

Berhati-hatilah wahai saudaraku
dalam menyerahkan sebuah  cinta
berhati-hatilah wahai saudaraku
dalam membina cinta untuk  kehidupanmu…



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...