Ahad, 30 Oktober 2011

Bingkisan Cinta buat Anak-Anakku


Duhai anakku,
Jangan kemarahan pada ibu bapamu menyebabkan engkau derhaka pada Tuhanmu
Terimalah… ibu bapamu adalah manusia yang bukan sempurna
Maka perbetulkan mereka dengan hikmah dan kesabaran
Jangan engkau marah sehingga engkau berdendam
Jiwamu nanti akan dikuasai iblis
Ia akan mengajak kamu menjauhi agama dan tiada yakin pada Tuhan

Kemarahanmu akan binasakanmu nanti
Engkau akan menyesal yang tiada kesudahan
Ia bukan membawa kamu kepada kebahagiaan
Tetapi menuju jurang penderitaan
Mereka tetap ibu bapamu walaupun matahari bertukar warna biru sekalipun

Duhai anakku
Jika ibu bapamu tiada sayang padamu, tiada berlaku adil padamu
Janganlah kamu menunggu-nunggu di situ
Berpalinglah mencari kasih sayang TuhanMu yang amat menyayangimu
Berpalinglah engkau mencari kasih sayang para Guru waris Nabi
Mereka adalah bayangan Nabi untuk menyayangimu
Berpalinglah mencari teman-teman yang soleh

Kasih sayang ibu bapamu belum tentu membawa bahagia padamu
Malah boleh merosakkan jiwa dan kehidupanmu
Tapi kasih sayang para Guru akan membawa kamu kepada cinta Allah
Cinta Allah padamu akan membawa kamu kepada kebahagiaan
Pada ibu bapamu sentiasa engkau doakan agar diampuni dan mendapat petunjuk dari Tuhan

Duhai anakku
Ini adalah zaman yang amat dahsyat menguji
Ada ibu bapa yang menangis merayu kasih sayang anaknya
Ada anak-anak yang menangis menagih kasih sayang ibu bapanya
Zaman ini adalah kebencian, kemusnahan, kemarahan dan dendam
Hanya mereka yang menuju pada agama yang akan selamat
Mereka tiada peduli kasih sayang manusia
Mereka hanya mencari kasih sayang Tuhannya dan RasulNya
Mencari cinta para kekasih Tuhan dan Rasulnya

Duhai anakku
Jika engkau memiliki kasih sayang ibu bapa, kasih sayang sang Guru, teman yang soleh
Engkau dalam kenikmatan Tuhanmu yang tiada terhingga
Maka apakah lagi nikmat Allah yang mahu engkau syukuri?
Sujudkan dahimu ke tanah...
Dan ucaplah ‘Alhamdulillah’ dari lubuk hatimu yang suci!


Jumaat, 28 Oktober 2011

Elton John - Mencabut Barakah, Menebuk Pintu Bala


Elton John
akan datang ke negara ini
bukan sahaja melagukan kemerduan suaranya
tetapi juga melagukan kehidupan songsangnya
budaya kaum Lut yang dilaknat
dipersembah dalam wajah yang segar
berlindung disebalik kebebasan hak asasi manusia
sehingga tanpa disedari
keasyikan pada lagu-lagunya
menjadikan dunia redha terhadap tabiat sonsang
kemurkaan Allah dipandang sepi

Ada yang mengatakan
kami minat hanya suaranya
bukan budaya kehidupannya
tetapi aku tetap mengatakan
engkau akan terjerumus dalam subahat
tanpa disedari engkau tiada marah kemungkarannya
malah engkau menganggap ia adalah hak individu
engkau terperangkap dengan fahaman sesat
hak asasi manusia mengatasi hak Allah dan Rasul
maka dimanakah lagi letaknya cahaya Allah
jika engkau tutup dengan kain kebatilan
maka gelaplah alam
musnahlah insan
hidup bagaikan haiwan
malah lebih sesat daripada haiwan

Wahai para pemimpin
dimanakah janjimu ketika mengangkat sumpah
di atas kalimah Allah
dengan jawatan yang engkau diamanahkan
engkau akan pelihara negara ini
daripada apa jua yang merosakkan
yang bertentangan dengan perintah Allah
engkau bukannya terlepas daripada sifat hamba
walaupun tubuhmu bersalut kain sinar bersilau
engkau tetap setitis mani yang hina
engkau tetap keluar daripada saluran najis
maka jangan engkau sombong diatas darjatmu
kesempitan kubur tiada mengenal sesiapa
ulat-ulat tiada mengenal daging dan darah jenis apa
Munkar Nakir tiada peduli apa jua gelaranmu
walaupun atas kuburanmu dihiasi binaan indah

Wahai para pencinta negara
kemungkaran bagaikan menebuk pintu bala
apakah makna zikir, solat dan masjid yang indah
sedangkan ia berada dalam negara yang dimurkai Tuhan
negara akan ditarik barakah
tiada lagi rasa keamanan dan kedamaian
ibu bapa merenung kebimbangan melihat anak-anak mereka
di zaman yang penuh kedurjanaan

Berhati-hatilah dengan fitnah akhir zaman
syaitan menukar watak dengan pelbagai wajah
sehingga hancur manusia dari segala sudut
tanpa disedari mereka ditipu
dengan ajaran ‘bebas daripada agama’ adalah kemajuan dan kebebasan
sedangkan mereka menuju lorong kebinasaan dan kesempitan

Ajaran sonsang Dajal al-Masih
akan menjadikan manusia cacat akal dan jiwanya
dunia akan menjadi neraka
tetapi diwajahkan bagaikan syurga
apabila golongan yang cacat ini menguasai pentas dunia

Aku bukan menentang Elton John
dia hanyalah simbol
tapi aku menentang
semua tentera syaitan
yang bertopeng dengan nama dan wajah manusia

Demi sebuah cinta
yang berada dalam jiwamu
bangunkan ia untuk berjuang
menyebarkan cinta Allah
melalui bisikan ajaran Rasul
seluruh dunia akan selamat
daripada gaung neraka yang sedang membakar kini
akan segala jiwa dan akal yang suci

Bangunlah demi sebuah cinta!
agar darahmu mengalir kalimah Cinta yang Agung...

Khamis, 27 Oktober 2011

Siaran Online Majlis Haul Ulama dan Penjernihan Jiwa

Alhamdulillah, malam tadi telah berlangsung Majlis Haul Ulama dan Penjernihan Jiwa di Zawiyah Syaikh Abdul Malik. Bagi yang ketinggalan mengikuti siaran 'live' semalam, boleh mengikuti rakaman majlis tersebut di Majlis Haul Ulama dan Penjernihan Jiwa.


* Maaf atas kelemahan audio visualnya berpunca dari masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. 

Gelisah Jiwa sang Pengemis Cinta


Aku sering kegelisahan
Adakah benar aku ya Allah
Dalam perjalanan ini
Berada pada jalan Mu

Langkah zahirku mara untuk cinta
Tetapi adakah jiwaku
Berada pada jalan cinta Mu?
Atau berada dalam cinta nafsu yang tersembunyi?
Gementar hatiku
Apabila membaca firman Mu
Pada hari yang akan dibongkar rahsia hatiku

Ya Allah, aku bersimpuh pada Mu
Dengan penuh longlai kelemahan
Tiada bahasa yang dapat ku ungkapkan
Hanya aku perlu istighfar dan terus istighfar
Dalam setiap langkah, kerlipan mata dan degupan jantung
Kerana aku tiada mengetahui
Apakah pandangan Mu ya Rabbi
Kerana aku tiada mengerti
Bahasa dan isyarat Mu
Kerana aku tiada mengerti
Aku dalam murka Mu atau dalam cinta Mu

Aku tiada dapat melelapkan mataku dengan lena
Kegelisahan mengejutkan aku
Untuk istighfar di malam hari
Bersama alunan alam yang sunyi
Mengharapkan setitis kerahmatan Mu
Sebelum aku dipisahkan
Dari lembaga adam ini
Kembali menuju Rabbil ‘Alamin.

Ya Allah
Jika engkau tanya akan diriku
Apakah amalanku
Nescaya aku nyatakan
Amalanku tiada layak aku persembahkan
Ia bagaikan pakaian sang pengemis
Aku hanya
Membawa sekeping hati
Yang didalam adanya cinta pada Mu
Di dalamnya adanya cinta pada Rasulullah ØµÙ„Ù‰ الله عليه وآله وسلم
Semoga ia ya Allah
Menjadi penebus akan diriku
Dari pukulan Al-Qahhar Mu...

Rabu, 26 Oktober 2011

Jiwa Jernih Berakar Cinta


Jiwa yang jernih
Akalnya menjadi tenang
bicaranya mendamaikan
akhlaknya menyejukkan

Jiwa yang memancar cinta
penuh bahagia
nafsunya menjadi tenang
mujahadah adalah kenikmatan

Jiwa yang bersulam  cahaya
indah wajahnya dalam musibah
tunduk wajahnya dalam kenikmatan
setiap detik terasa dalam pelukan Tuhan

Jiwa yang makrifat
menjauhi persengketaan
kerana teramat bimbang
kejernihan hilang dalam jiwanya

Jiwa yang berakar cinta
membangunkan kebenaran
tanpa takut dan gentar
walaupun darah menjadi taruhan
walaupun hanya tinggal seorang
walau dihina seluruh alam
kerana itulah pengorbanan
untuk sebuah cinta...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...