Rabu, 30 November 2011

Cinta itu membingungkan


Cinta membutakan
Cinta membingungkan
lantaran kerana cinta
para Sahabat r.a. berhijrah meninggalkan segalanya
para syuhada mengorbankan nyawa
para pendakwah sanggup dimaki, difitnah dan dipenjara
para ulama mempunyai masa sedikit untuk diri dan keluarga
para sufi mengambil jalan penderitaan, kepayahan daripada jalan kenikmatan dan kemudahan

Cinta
hanya dapat difahami oleh mereka yang bercinta
mereka yang tiada cinta
tiada akan memahami bahasa Cinta
Abu Sufian hairan dan takjub dengan Cinta sahabat pada Rasulullah s.a.w
tiada pernah air liur Baginda sampai ke bumi melainkan ditadah dengan tangan
tiada pernah peluh Baginda jatuh ke bumi melainkan di ambil untuk dijadikan wangian
tiada pernah rambut Baginda jauh ke bumi melainkan disimpan dengan penuh Cinta
mereka sanggup menahan belakang mereka untuk dipanah demi menjaga Rasulullah s.a.w
mereka sanggup dibunuh, diseksa dan dibakar daripada secucuk duri ditikam pada 
Rasulullah s.a.w
para wanita bertanya hal Rasulullah s.a.w dahulu daripada bertanya hal suami dan anak mereka dimedan perang
Saidatina Khadijah sanggup meminangnya, berkorban apa saja malah sanggup dijual tulang-tulangnya demi Cinta
Siti Aisyah mengunakan sepenuhnya kelebihan yang ada pada dirinya untuk membantu Baginda walaupun usianya amat muda
Saidinatul Ramlah, anak Abu Sufian sendiri tidak membenarkan ayahnya duduk atas hamparan Rasulullah s.aw demi Cinta dan memuliakan Baginda
Saidatina Safiyah tidak menggunakkan kakinya memijak peha Baginda untuk menaiki kuda melainkan menggunakan pehanya juga

Cinta itu buta dan membingungkan
para pencinta Baginda kini menghidupkan Majlis Cinta pada Baginda dimana saja
mengadakan Maulud setiap hari tanpa batasan di bulan Rabiul Awal
ia amat memeningkan bagi ahli zahir
lantaran mereka tiada memahami bahasa Cinta
mereka mengetahui Bahawa Allah cintakan  Baginda dengan sentiasa berselawat kepada Baginda
mereka mengetahui bahwa para malaikat cintakan Baginda dengan sentiasa berselawat kepada Baginda...
Tetapi...
mereka mungkin tiada mengetahui bahwa alam kini sentiasa juga berselawat dan mengucap salam kepada Baginda
mereka tiada mengetahui langit merintih untuk dipijak oleh kaki Baginda sehingga terjadinya Isra’ dan Mikraj
mereka tiada mengetahui bahawa Cinta menyebabkan mereka bersama dengan orang yang dicintai

Cinta adalah jiwa
Cinta adalah kegilaan
Cinta adalah kemabukan
para pencinta kemabukan dalam kerinduan pada Baginda
mereka mengalunkan pelbagai qasidah walaupun dituduh dengan pelbagai tuduhan
ahli zahir tetap tidak memahami bahasa Cinta
para pencinta bebas untuk menzahirkan Cinta
menari, menyanyi, bersyair,memberi makan atau berpuasa
semuanya adalah Cinta yang jernih bagaikan embun pagi

Teruskan wahai para pencinta dengan kemabukan
biarkan ahli zahir bertempik dan menuduh
hanya orang yang bercinta memahami bahasa Cinta
Cinta tanpa kemabukan belum mencapai Cinta
justeru itu
hormatilah para pencinta menzahirkan Cinta
selagi ia berada dalam landasan syarak yang dibenarkan

Cinta adalah membingungkan
hanya yang bercinta memahami bahasa Cinta
diam jika tiada mengerti lebih selamat
agar kebodohan kita dalam bercinta tiada diketahui orang…


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...