Duhai saudaraku…
Allah telah datangkan padamu
Cahaya Cinta yang indah
dicipta dari Nur JamalNya
untuk meRahmati sekelian alam…
Rasulullah adalah Cahaya dari Tuhan
untuk membawa Cahaya kebahagiaan
Azazil bertempik kemarahan
kerana segala tipu dayanya akan dibongkar
dan anak cucu adam akan selamat
dari neraka kesyirikan dan kejahilan…
Rasulullah tiada hidup untuk dirinya
Baginda dilahirkan untuk seluruh umat manusia dan jin
segala perbuatannya adalah tauladan
segala gerak geri dan bicaranya adalah Cahaya
Baginda adalah kebenaran pada mereka yang mahu berada dalam dunia kebenaran
Baginda adalah penghapus kepalsuan bagi mereka yang membenci dunia kepalsuan…
Jangan engkau tukar wahai saudaraku
Rasulullah dengan sesiapa pun di dunia ini...
jangan engkau tukar wahai para wanitaku
Isteri Rasulullah dengan sesiapa pun wanita yang ada...
Jangan engkau tukar wahai para puteriku
Fatimah, Zainab dan puteri Rasulullah dengan mana-mana puteri yang lain….
Selamilah peribadi agung mereka
selamilah dan cintailah Khadijah r.a., Asiyah r.a dan segala Ummu Mukminin
selamilah indahnya budi dan jiwa Fatimah puteri kecintaan Baginda Nabi s.a.w
engkau akan dapat menghidu semerbak haruman suci yang tiada terperi…
Di situlah Cahaya Jamal Allah
di situlah Cinta Allah
di situlah syurga yang indah
di situlah terhimpun segala nama-nama Allah yang indah
jangan berpaling lagi pada yang lain
tetaplah kakimu dan matamu pada keindahan Rasulullah s.a.w dan Ahlu Baitnya
tetaplah jiwamu hanya Cinta pada Baginda dan Ahlu Baitnya tanpa dusta…