Aidil Adha kembali lagi dan akan terus kembali
agar dalam kehidupan ini
sentiasa diperingatkan
erti perjuangan dan pengorbanan…
Aidil Adha
memperingatkan kita
kepada insan yang hebat
Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Ismail
dalam membuktikan kebenaran cinta
melalui ujian cinta yang hebat
diperintah sembelih anaknya
sedangkan hakikatnya ia menyembelih
kecintaan pada yang lain selain Allah
dalam jiwanya…
Nabi Allah ibrahim bukan sahaja menghiris leher anaknya
tapi yang lebih berat menghiris perasaan cinta pada anaknya
namun kerana ia bisikan Allah
kekasih yang agung bagi segala kekasih
ia tetap dilakukan dengan penuh cinta,redha ,tenang tanpa bantahan..
Nabi Ismail bukan sahaja menerima hirisan pisau ayahandanya
tapi hirisan perpisahan dengan yang dicintai
tapi ia tetap redha dan tenang
kerana hirisan tersebut walaupun pedih
namun akan membawa rohaninya kepada kekasihNya Yang Agung…
Wahai para pengucap cinta
jadikan dirimu sentiasa
bersedia dalam kehidupanmu
untuk menerima hirisan Tuhanmu
dengan penuh tenang dan redha
setenang Nabi Ismail as.
maka engkaulah hakikatnya
merayakan Aidil Adha
sepanjang kehidupanmu…