Rabu, 25 Januari 2012

Ku selusuri Jalan Cinta


Ku selusuri setiap langkah Cinta
gerakan Wali Songo di Nusantara ini
mereka ulama bertaraf Aulia
berakhlak mulia penuh kebijaksanaan
bersulam  firasat  berselendang karamah

Ku selusuri sejarah Wali Songo
pencetus kegemilangan Islam Nusantara
mereka mempunyai prinsip perjuangan
kuat tanpa pengikut
kaya tanpa harta
bertempur tanpa senjata
menang tanpa megah
melangkah tanpa sayap
Iman, Islam dan Ihsan adalah kekuatan
kasih sayang sebagai senjata

Perjalanan Wali Songo memiliki keberkatan
pertolongan serta  kecintaan Allah dan Rasul
berdakwah kerana Cinta pada umat Rasulullah
tanpa mengira bangsa dan agama
membawa manusia kepada makrifat
tanpa meruntuh adat dan budaya
hanya menukar kepada  kebenaran
mengeratkan kekeluargaan Ummah Nusantara

Para sarjana barat terpaku
dengan kebijaksanaan dakwah mereka
tiada kekerasan, paksaan dan pertumpahan darah
penuh kelembutan, Cinta dan kedamaian
Islam dibangun dengan hebat dan berakhlak
tersungkur yang batil tanpa terkata

Akan ku selusuri jalan ini
dalam mewujudkan kekuatan Ummah
Nusantara yang dicerai beraikan kuffar
akan diikat kembali dengan kasih sayang kekeluargaan
di atas pertalian keturunan nasab dan ilmu mereka
penuh berakhlak, Cinta, Makrifat dan Keamanan
menghormati segala perbezaan pandangan, keilmuan, kaedah, budaya dan adat
mengerat tangan atas satu rasa dan jiwa
demi satu kalimah Cinta
yang tertinggi pada segala yang tertinggi
terlihat Nabi Adam ketika ruh bersatu dengan badannya
Laillahailallah, MuhammaduRasulullah

Semoga impian menjadi kebenaran
semoga ramai yang menghulurkan tangan
untuk bersama dalam satu perjuangan
walaupun jalan penuh berliku
hanya Allah tempat sandaran
Sunah Rasul sebagai kenderaan
mati pada jalannya sebagai kerinduan
diCintai Allah dan Rasul adalah kemenangan…


Selasa, 24 Januari 2012

Kerinduan sang Faqir


Rindu...
oh betapa rindu…
hanya airmata yang mengalir
dari nurani yang terpendam
tiada dapat ku ungkapkan…

Rindu…
 oh betapa rindu…
ku berlari di tepian pantai
mengejar pelangi nan indah
mendamaikan jiwa yang meronta…

Setiap detik ku hitung…
bilakah aku dapat kembali
bermuwajahah dengan diri Mu…
bilakah aku dapat kembali
mendengar bisikan kalam Mu…

Segala bayangan Mu di alam ini
menjadi penawar jiwa yang  memburu
walaupun Engkau tiada dapat dicapai
namun tajalli Mu menyelebungi diriku

Oh rindu betapa rindu…
setiap masa perasaan ini terhiris
untuk kembali pada Mu
mendakap Cinta yang membara
bersatu dalam lautan lahut
yang tiada hijab dalam memandang wajahMu…

Oh betapa rindunya…


Ahad, 22 Januari 2012

Bicara sang Faqir


Dengarlah bicara sang fakir ini
imbangilah ilmu akal dan qalbumu
jangan terlalu pada akal sehingga meninggalkan ilmu qalbu
jangan terlalu pada qalbu sehingga meninggalkan ilmu akal

Keduanya adalah ciptaan Allah
agar dapat mengenal DiriNya
akal mengenal dengan ilmu dan dalil
qalbu mengenal dengan rasa dan syuhud

Akal boleh berfikir sejauh lautan
qalbu boleh memancar ke Sidratul Muntaha
namun keduanya wajib dipandu
Al-quran, Hadis, Ijima dan Qias
kerana hanya wahyu yang terjamin
kalam kebenaran

Bagaimana aku melihat
dari pelbagai jemaah yang berterasakan tarekah
bicara mistik kerohanian yang dilebihkan
dari bicara tauhid, makrifat, akhlak dan amal
menceritakan pelbagai kelebihan aliran mereka
untuk mencari pengikut
tidak ubah bagaikan suatu produk
yang dipromosi dengan pelbagai kelebihan
semata mencari pelanggan

Hati-hatilah wahai temanku
dengan fitnah akhir zaman
yang datang dari golongan pendusta
yang bicaranya sufi pakaiannya alim
tetapi hati mereka bagaikan serigala

Jangan kamu terfana dengan bicara mereka yang ghaib
mungkin mereka ditipu syaitan tanpa mereka sedar
lihatlah aqidah, syariat, akhlak dan displin ilmu mereka
kerena ia adalah kenyataan kebenaran
kerana zahir adalah cemin hati
hati adalah cermin bagi sirr
sesungguhnya syaitan boleh mengaku Allah 
tapi syaitan tiada boleh mengaku Muhammad s.a.w


Jumaat, 20 Januari 2012

Alangkah bahagianya


Alangkah bahagianya mereka
tiada memiliki apa yang perlu dihormati
segalanya yang dimiliki sederhana
sesungguhnya jiwa orang awam
adalah separuh jiwa para Aulia…

Alangkah bahagianya
kemana  pergi tiada yang memandang
segala perilaku  tiada yang memerhati
segala perkataan tiada yang mendengar
jika terjatuh tiada yang mengangkat
jika berjalan hanya bersendirian…

Mereka yang ikhlas
tiada bersendirian berjalan
syaitan dan dunia sentiasa mengejar
agar kesucian dapat dicabut
agar tersimpan perjalanan kebenaran…

Keikhlasan mudah terpelihara
pada jiwa yang  awam
berjalan dibumi dengan tawadhu
kerana tiada memiliki apa jua kelebihan…

Ramai sang fakir dunia
menjadi raja di akhirat
ramai sang raja dunia
menjadi sang fakir di akhirat
ramai yang bodoh di dunia
menjadi cerdik di akhirat
ramai yang cerdik di dunia
menjadi bodoh di akhirat…


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...