Ahad, 8 Januari 2012

Siti Fatimah, Puteri sepanjang zaman


Fatimah...
Ketika ayahanda Rasulullah dicemari bajunya oleh musuh
engkau datang dengan tangan yang suci dan lembut
menyapu segala kotoran yang ada
dengan penuh Cinta dan kental jiwa
walaupun usiamu masih muda
kerana...
engkau Puteri Rasulullah…

Fatimah...
ketika engkau mahu dikahwini
ramai yang datang meminang
pelbagai golongan yang memujamu
lantaran kecantikan, keimanan , keilmuan dan kehalusan budimu
namun segalanya tiada pada hatimu
Saidina Ali pilihan ayahanda dan pilihanmu
walaupun hidupnya penuh kemiskinan
namun bukan harta dan pangkat yang engkau cari
engkau mencari Cinta Illahi di sebalik diri Saidina Ali
kerana Saidina Ali adalah kecintaan ayahanda Rasulullah
maka kecintaan ayahanda menjadi kecintaan dirimu
kerana disitulah Cinta Allah mekar tersembunyi…

Fatimah...
ketika engkau berdiri di sisi ayahanda Rasulullah
untuk meminta seorang pembantu
lantaran tanganmu yang lembut telah kasar
tubuhmu yang cantik berkerja keras
namun segalanya ditolak oleh ayahanda dengan lembut
hanya diberinya zikir untuk membantu
seraya bersabda,  
“tetaplah engkau begitu duhai puteriku..”
engkau adalah penghulu bagi wanita di syurga…
Fatimah menerima dengan penuh kegembiraan
kepayahan harian  sudah tiada terasa baginya…

Fatimah...
ketika datang lelaki tua kepadamu
merayu dalam kesusahan
engkau tiada berfikir lagi
menanggalkan kalung pusaka bonda Siti Khadjah dilehermu
lalu diberi pada lelaki tua itu
agar dapat dijual dan membeli keperluan
namun barakahmu hebat
kalungmu dibeli oleh sahabat
dikembalikan kalung itu kepadamu
dan diberinya kambing pada lelaki tua itu
lantaran para Sahabat r.a. jatuh teruja
melihat indahnya budimu
sopannya bicaramu
walaupun hidupmu dalam kesusahan
namun tetap membantu walaupun hilang kalung kesayanganmu…

Fatimah...
engkau adalah puteri Rasulullah
engkau adalah puteri seorang raja
engkau  adalah seorang bangsawan
engkau adalah seorang rupawan
engkau adalah seorang ilmuan
namun…
engkau hidup sebagai seorang faqir
sehingga dunia menangis melihatmu
namun itulah kecintaan jiwamu
sebagai contoh puteri permata
bersinar dengan penuh kilauan
melambai-lambai sang jiwa cinta
yang benar merindui pada Allah dan Rasul
inilah langkah dan jalan
bagi para pencinta…

Fatimah...
Puteri sepanjang zaman
kecintaaan Allah dan Rasul
seluruh pintu syurga terbuka untuknya
beruntunglah mereka yang mencintainya
beruntunglah mereka yang mengikutinya…


Sabtu, 7 Januari 2012

Jangan


Jangan biarkan
matamu menjadi hakim
kerana pandangan
sering tertipu…

Jangan biarkan
telingamu menjadi hakim
kerana pendengaran
sering tertipu…

Jangan biarkan
sangkaan hati menjadi hakim
kerana hatimu
belum benar bersih…

Pejamkan mata
pekakkan telinga
perbaiki hati
pandanglah dengan Nur Allah
agar Cinta yang mewangi tiada terpadam
dalam kehidupan yang penuh dugaan…


Rabu, 4 Januari 2012

Cahaya Jamal


Duhai saudaraku…
Allah telah datangkan padamu
Cahaya Cinta yang indah
dicipta dari Nur JamalNya
untuk meRahmati sekelian alam…

Rasulullah adalah Cahaya dari Tuhan
untuk membawa Cahaya kebahagiaan
Azazil bertempik kemarahan
kerana segala tipu dayanya akan dibongkar
dan anak cucu adam akan selamat
dari neraka kesyirikan dan kejahilan…

Rasulullah tiada hidup untuk dirinya
Baginda dilahirkan untuk seluruh umat  manusia dan jin
segala perbuatannya adalah tauladan
segala gerak geri dan bicaranya adalah Cahaya
Baginda adalah kebenaran pada mereka yang mahu berada dalam dunia kebenaran
Baginda adalah penghapus kepalsuan bagi mereka yang membenci dunia kepalsuan…

Jangan engkau tukar wahai saudaraku
Rasulullah dengan sesiapa pun di dunia ini...
jangan engkau tukar wahai para wanitaku
Isteri Rasulullah dengan sesiapa pun wanita yang ada...
Jangan engkau tukar wahai para puteriku
Fatimah, Zainab dan puteri Rasulullah dengan mana-mana puteri yang lain….

Selamilah peribadi agung mereka
selamilah dan cintailah Khadijah r.a.,  Asiyah r.a dan segala Ummu Mukminin
selamilah indahnya budi dan jiwa Fatimah puteri kecintaan Baginda Nabi s.a.w
engkau akan dapat menghidu semerbak haruman suci yang tiada terperi…

Di situlah Cahaya Jamal Allah
di situlah Cinta Allah
di situlah syurga yang indah
di situlah terhimpun segala nama-nama Allah yang indah
jangan berpaling lagi pada yang lain
tetaplah kakimu dan matamu pada keindahan Rasulullah s.a.w dan Ahlu Baitnya
tetaplah jiwamu hanya Cinta pada Baginda dan Ahlu Baitnya tanpa dusta…


Selasa, 3 Januari 2012

Tahun Baru ini


Bagaimana ku mahu nyatakan
derita jiwa yang  bersenandung
dalam hari-hari yang meniti
bagaikan lusuh tanpa cahaya…

Hanya ku bicarakan pada sang bulan
dalam sinar yang mewangi
hanya ku bicarakan pada deruan ombak
yang mengalun bisikan cinta…

Alam memilki jiwa
merasai keAgungan Tuhan
dalam setiap masa yang berdetik
namun perasaan itu hampir tiada
dalam jiwa insan zaman kini
sedangkan mereka adalah seindah ciptaan Tuhan...

Kemanakah hilangnya
kemanakah hancurnya
sehingga  bahasa dan rasa tiada lagi berfungsi
dalam memahami getaran Illahi
dalam menyelami denyut Cinta Rasul...

Kita adalah warisan
dalam perjungan para ulama dan Aulia
dalam mendukung obor yang suci
meniti sebuah perjuangan
membangunkan jiwa setiap insan
kembali pada dakapan Cinta Allah dan Rasul…

Setiap langkah kebenaran dihadapan
segala kebatilan jatuh kebelakang
setiap langkah Cahaya Islam menyinar
segala  cahaya kufffar akan terpadam
apabila jiwa hidupnya Cinta
syaitan akan merintih terbakar…

Semoga pusingan tahun ini nanti
aku tiada lagi merintih
lantaran Cahaya keRahmatan sudah bergemerlapan
bersinar seluruh alam
bersama keindahan kemenangan…


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...