Khamis, 20 Jun 2013

Memandang dalam KeEsaanNya





Ya Rabbi
Apabila benar mengenal akan diriMu
Sentiasa kegelisahan dan kesedihan
Kerana sering hamba tergelincir
Dalam dakapan KeesaanMu

Engkau memancarkan WajahMu
walaupun di mana berhadap hamba
namun hanya hamba yang memiliki Nur
daripada pancaran Cinta Rasulullah SAW
akan dapat memandang Wujud Mu 
hingga terFana dalam keCintaanMu

Apakah makna berdiri dalam solat
Apakah makna Ruku dan Sujud
Apakah makna bacaan Al-Fatehah dan tasbih
jika engkau melihat segala darimu
bukannya dari Kudrat dan Kasih Sayang dariNya
Maka tika tu engkau tergelincir
dalam kesyirikan yang amat hina
menduakan sifat kekuasaan
antara mu dengan Tuhan Mu

Hakikat hamba adalah fakir 
tiada memilki apa jua sifat kesempurnaan
hanya sifat yang penuh kelemahan
buta, lemah, tuli, mati, bodoh, bisu, jahat, sakit..
maka jika ada kebaikkan, penglihatan, kekuatan, bernafas, berkalam, berilmu…
segalanya adalah hak miliknya DiriNya Yang Agung

Justeru itu apakah dosa yang paling besar
jika bukan sifat kesyirikan pada SifatNya
merasakan diri memiliki segala sifat tersebut
hingga zahir sifat kesombongan yang amat dibenci
kerana tiada kesedaran dalam mengenal diri...

Mereka yang benar mengenal dirinya
akan mengenal akan Allah
lantaran pada diri hamba
Allah menzahirkan segala SifatNya 
namun sedikit hamba yang memahaminya
lantaran tiada sinaran Cahaya Rasulullah
memancar dalam jiwanya...

Sesungguhnya
tangisan kegembiraan
tangisan kesedihan
bergilir dalam hati sang hamba Arifbillah...
Dalam tajalli Allah padanya...


Selasa, 18 Jun 2013

Nafi dan Isbat


Nafi dan isbat
hendaklah disandingkan
dalam setiap nafasmu
dalam setiap langkahmu

Nafi dan Isbat
adalah kalimah yang paling utama
adalah kalimah pembuka
rahsia sang hamba dengan TuhanNya

Nafi dan isbat
menafikan wujud yang lain
hanya isbat pada wujud Allah yang hakiki
wujud yang lain hanyalah bayang yang menunjukkan wujudNya
maka wajib bagi dirimu
memandang wujudmu adalah menunjukkan kepada wujudNya
jika kamu memandang wujudmu
tanpa kamu nafikan tiada akan wujudmu
dan tiada mengisbatkan wujud Allah yang mewujudkanmu
maka kufurlah iktikadmu, hancurlah amal Islammu

Nafi dan Isbat
menafikan akan segala sifat ketuhanan yang ada padamu
melihat, mendengar, berkalam, berilmu, berkudrat, beriradah dan hayat
hanya diisbatkan segala sifat itu hak Allah jua
maka padamu segala sifat kehambaan dan kekurangan
buta, tuli, bisu, jahil, lemah, tiada kehendak dan mati
maka jika kamu iktikaqkan segala sifat tersebut
tanpa kamu nafikan milikmu, dan tiada kamu isbatkan adalah hak Allah
maka kufurlah kamu, maka binasalah segala amalmu

Nafi dan Isbat

menafikan akan segala Asma’ yang ada
hanya Allah pemilik segala Asma’ yang indah dan hebat
tiada yang memberi rezeki, tiada yang menyembuhkan, tiada yang hebat,
tiada yang mudharatkan, tiada yang memiliki kemuliaan dan pelbagai namanya
melainkan hanya diisbatkan pada Allah sahaja yang memilkinya
jika engkau tiada mengiktikadkan disebalik kehidupan mu
bahawa nama nama Allah yang mengaturmu untuk mengujimu
dalam pelbagai bentuk dan wajah
maka zindiklah kamu dan tiada manfaat akan segala ibadahmu

Nafi dan Isbat

menafikan segala apa jua perbuatan yang ada
walaupun satu zarah debu yang berterbangan
dalam segala gerak dan diam
melainkan diisbatkan hanya Allah yang memilkinya
jika engkau tiada nafikan segala perbuatan itu
adalah milik kekuasaan dirimu dan makhluk
maka binasalah tauhidmu dan batal segala agamamu

Maka dalamilah akan pelajaran Nafi dan Isbat
dengan para murabbi tareqah sufiah yang haq
sebagai pintu utama kebenaranmu dengan Tuhan
sebagai pintu utama kebenaranmu dengan Rasul
tanpa pintu kebenaran ini
maka amalmu penuh kerosakkan
kelakuan Islammu penuh kemunafikan…
engkau hanya Islam di sisi manusia…
tapi Islammu belum benar di sisi Allah… 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...