Selasa, 29 Mei 2012

Biar ku menyepi


Biar ku gubah segala bungaan
Dengan lipatan ranting yang memegang
Walaupun kepedihan jari  jemari
Namun akanku patahkan demi rindu keharumannya

Bulan Rejab kini menjelma
Jiwa ku kembali dalam kegusaran
Entah mengapa tiada ku mengerti
Namun akan ku cuba untuk menyelami

Betapa indah panggilan Rejab
Pintu bagi bulan Ramadhan
Bulan Isra dan Mikraj
Pengembaraan Kekasih pada KekasihNya

Bulan ini bulan Kerinduan
Bulan ini bulan Pengembaraan
Para Pencinta sudah kemabukan
Dengan bisikan Cinta yang menerjah dijiwa

Biarkan aku menyepi
Dengan seribu bahasa yang  bergelora
Biarkan aku mengubati
Dalam persembunyian pengembaraan kerinduan....


Jumaat, 25 Mei 2012

Sinarkan ia





Memiliki kekurangan adalah baik untuk melahirkan sifat kerendahan diri. Namun jangan biarkan kekurangan itu menyebabkan diri direndahkan oleh orang lain. Sinarkan kelebihan-kelebihan yang dikurniakan Allah sehingga benar-benar terpancar. Nescaya kekurangan dirimu terlindung indah bagaikan bulan yang disinari cahaya matahari. Lihatlah mereka yang memiliki kelebihan jiwa yang halus. Mereka sinarkan sehingga menjadi penyair yang hebat. Mereka yang pandai bercakap disinar menjadi ahli pidato yang hebat. Mereka yang kuat fikiran disinar menjadi seorang ahli ilmu yang hebat. Mereka yang cintakan tasbih disinarkan sehingga menjadi ahli Rohani yang dihormati. Justeru itu jangan merugikan masa merintih kekurangan diri, tapi merintihlah pada Allah agar segala kelebihan yang ada dapat bersinar, memberi manfaat pada manusia yang lain..



Isnin, 21 Mei 2012

Peperangan budaya


Runtuh hati yang mempunyai Iman
Negara yang dicintai kini bagaikan tercemar
Dengan syaitan-syaitan yang bertopeng manusia
Membawa budaya songsang yang amat celaka

Gay, lesbian, kahwin sejenis dan hidup bebas
Adalah kehidupan bodoh lagi menyesatkan
Ditaja oleh negara yang dianggap maju
Yang menjadikan haiwan lebih cerdik daripada mereka

Kecerdikan akal adalah fakta dan kreatif
Kecerdikan jiwa adalah dapat membezakan haq dan batil
Kecerdikan Ruh dapat Makrifat kepada Allah

Kecerdikan penaja hidup songsang hanya pada akal
Tetapi pada jiwa, haiwan lebih cerdik daripada mereka
Pada ruh, syaitan lebih cerdik pada mereka
Apa yang hendak dibanggakan dengan mengikuti mereka

Bagaikan bumi ini tiada Ulama
Bagaikan bumi ini tiada pendekar
Bagaikan bumi ini tiada Pemimpin Islam
Bagaikan bumi ini tiada Islam berdaulat
Hingga berani mereka secara terang-terangan
Mempromosikan budaya yang dilaknat Allah

Sebenarnya mereka kini mahu mencabar
Di atas nama undang-undang dunia yang mereka cipta
Hak asasi manusia menjadi raja
Dalam memusnahkan Agama dan tamaddun manusia

Mereka kini sedang mencabar
Sejauh mana kita perlu bersabar
Sebelum negara ini dihancurkan
Bukan dengan peperangan senjata
Tetapi dengan peperangan budaya


Jumaat, 18 Mei 2012

Gilapkan Qalbimu



Duhai anakku yang tercinta...

Jika benar engkau Cinta pada Allah, jagalah Qalbimu kerana ia dicipta Allah sebagai wadah untuk dicampakkan RahsiaNya dan merasai nikmat berCinta denganNya. Gilapkan ia dengan istigfar, selawat dan zikir samada pada lidah dan qalbi. 

Penuhkan wadah Qalbi dengan Cinta pada Allah, Rasul dan para KekasihNya. Tanda Cintamu diterima Allah, nescaya Allah akan persalinkan nafsu kejahatanmu dengan kebaikan. Namun jangan mudah merungut jika belum merasai kesan perubahan nafsu. Belajarlah bersyukur kerana Allah sudah memilih jiwamu mahu kembali padaNya. Jika tiada CintaNYa, nescaya engkau tiada boleh berwirid padaNya. Tetaplah berzikir walaupun kejahatan masih tebal dalam dirimu, bergopoh-gapah mahukan hasil adalah syaitan dan bersabar adalah kemuliaan.

Berzikrlah dengan penuh syukur dan bersabarlah dengan limpahan kurniaanNya. Insyallah, Allah amat benar janjiNya. Jangan memaksa dirimu secara melampau, mulakan dengan yang sedikit sebelum mengamalkan yang banyak, mulakan yang kecil sebelum mengamalkan yang besar. Apa yang penting ialah istiqomah.


Sabtu, 12 Mei 2012

Begitulah pelayaran dalam kehidupan


Kapal yang belayar menempuh lautan...
Ada tika tenang, 
Ada tika bergelora,
Ada tika datangnya ribut taufan... 

Berada dalam kapal yang kecil akan terasa lantunan ombak dan ribut taufan, malah banyak yang karam, pecah dan tenggelam. 

Berada dalam kapal yang besar tidak terasa pula lantunan ombak dan ribut taufan, sedikit sangat yang karam, pecah dan tenggelam.

Begitulah pelayaran dalam kehidupan... 

Kita akan melalui lantunan dan ribut ujian. Jiwa dan pemikiran yang kecil akan sentiasa tergoncang dengan segala lantunan ujian kehidupan. Adapun jiwa dan pemikiran yang besar sentiasa tenang dalam segala lantunan ujian kehidupan.

Hakikatnya bukan kehidupan yang bermasalah, tetapi jiwa dan pemikiran kita yang bermasalah. Justeru itu jangan menyalahkan ujian yang ditetapkan dalam takdir Allah, tetapi hadapilah ia dengan membesarkan jiwa keTauhidan, mengajar melihat sesuatu dengan pemikiran positif.

Burung tidak boleh terbang tanpa angin. Kita tidak boleh terbang kehadirat Cinta dan Redha Allah tanpa melalui angin ujian. 

Wallahu'alam

Jumaat, 11 Mei 2012

Luka yang tiada terasa


Kegilaan Zulaikha terhadap ketampanan Nabi Yusuf a.s. sudah tersebar. Namun ketampanan itu hanya dalam gambaran pemikiran mereka sahaja.

Mereka dijemput dalam jamuan Zulaikha dan diberi setiap seorang sebilah pisau untuk mengoyak buah ditangan mereka. Apabila Zulaikha memanggil Nabi Yusuf a.s. keluar dihadapan mereka, mereka semua terpaku kerana ketampanan Nabi Yusuf a.s. benar-benar dilihat dihadapan mata, bukan lagi cerita sehingga tidak sedar dan terasa sakit ketika menghiris tangan mereka sendiri. 



Begitulah kehidupan...
 
Ramai yang terasa pedih dalam kehidupan kerana pengenalan mereka pada Allah hanya dalam bentuk pemikiran. Justeru itu, pengenalan ilmu kalam sahaja tidak cukup dalam mengenal Allah, tetapi wajib mencapai Makrifat dalam Qalbi sehingga benar merasai dan menyaksikan dengan matahati akan sifat Keindahan, Kesempurnaan, Kebesaran dan Cinta Allah.

Segala kelukaan tidak terasa lagi. Jiwanya hanya sibuk dengan keasyikan bersama dengan KekasihNya yang telah memperlihatkan keindahanNya. Semuanya kini dipandang indah apabila melihat disebalik segala kejadian kehidupannya, datang dari KekasihNya yang sedang memberi CintaNya. 


Hanya yang sedang bercinta sahaja dapat memahami bahasa Cinta


Selasa, 8 Mei 2012

"Wahai api, sejuk dan sejahteralah Ibrahim"


Apabila Nabi Ibrahim a.s mahu dihumban kedalam api, datang Jibril a.s bertanya:

"Apakah hajat engkau wahai Nabi Allah" 

Maka jawab Baginda a.s:

"Pada mu aku tidak berhajat, pada Allah aku berhajat" 

Ditanya Jibril a.s:

"Apakah hajatmu pada Allah, nanti aku sampaikan" 

Jawab Baginda yang tinggi makrifatnya:

"Allah sudah mengetahui apa hajat ku"

Lalu Allah berfirman:

"Wahai api, sejuk dan sejahteralah Ibrahim" 


Maka Nabi Ibrahim ketika berada dalam api yang amat besar dan tinggi menjulang, tiada merasai kepanasan malah diberi rasa kenikmatan. Apabila api padam, para musuh terkejut melihat Baginda sedikit pun tidak cedera. Ia menambah keyaqinan mereka yang beriman kepada Allah.

Dalam kehidupan kita, kadangkala datang kepada kita musibah yang hebat bagaikan api yang menyala, namun jika kita mengambil tauladan Nabi Allah Ibrahim yang teguh keTauhidan, tenang dan senyum dengan takdir Allah, nescaya Allah akan berfirman juga:
"Wahai api fitnah dan musibah,sejuklah engkau dan sejahteralah akan hamba Ku ini"

Segalanya datag dari Allah, maka Allah jua yang berkuasa menjadikan musibah itu panas atau musibah itu sejuk, tiada yang memberi kesan padanya malah ada merasa nikmat dan bertambah hebat. Walau hebat sekali kejahatan manusia yang mahu melakukan kejahatan, namun mereka hanya mampu melakukan kejahatan, adapun berkesan atau tiada kejahatan tersebut, Allah jua yang menentukan. Api tetap api, tetapi tiada sama Allah mengkehendaki seseorang itu merasainya, ada yang merasa panas, ada yang merasa sejuk dan ada yang merasa nikmat. Bergantung pada keTauhidan, Makrifat dan sangkaan dirinya pada Allah.

KeTauhidan, Cinta dan Makrifat akan menjadikan hidup ini indah walaupun berada dalam api sekalipun. Tiada penawar yang besar dalam kehidpan ini melainkan banyakkan diri tenggelam dalam keasyikan ibadah. Ia membawa kesejukan jiwa walaupun berada dalam ujian kepanasan. Firman Allah:

"Hanya dengan berzikir, jiwamu menjadi tenang" 


Wallahu'alam

Isnin, 7 Mei 2012

Siti Mariam yang suci

 

Siti Mariam yang suci... 
Hidup penuh dengan ibadah
Apabila Allah mengujinya untuk mengandungkan bayi tanpa kahwin
Dia menerima dengan redha walaupun dia tahu dirinya akan menerima fitnah yang dahsyat... 

Siapa percaya...
Jika diberitahu anak itu pemberian Allah tanpa melalui perhubungan dengan lelaki
Dia akan dituduh berzina 
dan...
Pasti tidak akan dibenar lagi berada dalam mihrab tempat dia beribadah sejak kecil lagi...

Namun... 
Siti Mariam menerima dengan tabah, redha dan syukur
Dia tidak bertanya  
"Wahai Tuhanku, apakah salahku sehingga Engkau menghukum aku begini, sedangkan aku sentiasa hidup beribadah pada Mu?" 
Makrifat pada Allah menyebabkan dirinya sentiasa bersangka baik dengan Allah walaupun dia tak mengerti...

Maka...
Layaklah engkau duhai Siti Mariam
Menjadi wanita Kekasih Allah dan menghuni syurga yang tinggi darjatnya
Jiwamu bagaikan gunung yang kukuh tanpa peduli dengan segala cemuhan dan hinaan
Tidak sedikit pun memberi kesan padamu 
Kerana kuatnya Cinta dan Makrifat yang engkau milki...


Ahad, 6 Mei 2012

Lihatlah Sang Burung


Duhai anakku...

Lihatlah Sang burung yang dapat terbang dengan bebas,

Ia tidak menjadikan angin sebagai musuhnya, 

Walaupun boleh membahayakannya, 

Tapi sebagai sahabatnya untuk terbangkan dia lebih tinggi,

Dengan pandai mengimbangkan tubuh dan sayapnya dalam menghadapi kemaraan angin...


Sabtu, 5 Mei 2012

Jika hatimu


Jika hatimu merasai tiada kelazatan dalam berzikir dan beribadah, selidiki dan carilah kesalahanmu. Jika ada maka segera bertaubat. 

Jika tiada maka teruskan berzikir dengan istiqomah, bersabar dan bersangka baik dengan Allah, berzikir bukan mencari kelazatan, tapi berzikir untuk memantapkan tauhid dan mendalamkan perasaan kehambaan. 

Sebaiknya zikir Laillahailallah atau Allah, satukan lisan dan qalbu sehingga akal hilang khayalan. Natijah zikir yang utama akan memantapkan aqidah dan bentuk jiwa mudah cenderung pada kebaikan. 

Hatimu bagaikan binatang liar, teruskan berzikir dengan gigih dan sabar seperti gigih dan sabarnya para penjinak binatang yang liar. Jangan gopoh mengharapkan hasil, dapatkan murabbi yang dapat memimpin jalan zikir dengan kaifiat yang benar.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...