Isnin, 30 April 2012

Begitu lenanya sang bayi


Begitu lenanya sang bayi berada di dalam pangkuan ibunya kerana damai dengan kasih sayangnya. 

Begitulah lenanya jiwa sang hamba dalam pangkuan Allah apabila benar mencapai Makrifat padaNya dan sentiasa melihat sifat Kasih SayangNya. 

Beruntunglah jiwa yang lena, walaupun mereka adalah golongan yang gigih dengan segala usaha dan perancangan, namun jiwanya sentiasa reda akan segala keputusan Allah dalam Qada'Nya, mereka tiada bimbang dengan kehidupan masa depan, tapi bimbang jika Allah melepaskan dirinya dari pangkuan CintaNya. 

Kehidupan akan hancur apabila Allah menyerahkan kehidupan kita kepada diri kita sendiri lantaran jiwa kita yang meragui kasih sayang dan jaminan penjagaan dan keluasan Rahmat dan rezeki pada hamba yang benar takwa padaNya. 

Firman Allah: 

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." [At-Talaq: 2-3]

Mereka yang mencapai hakikat ayat ini dalam jiwanya, mereka adalah orang yang paling kaya dan yang paling lena dalam dakapan Cinta TuhanNya. 

Wallahualam

Ku bicarakan


Ku bicara bukan kerana nama
Ku bicara bukan kerana pangkat
Ku bicara bukan kerana kekayaan
Ku bicara bukan kerana mahu dikerumuni
Ku bicara bukan mencari cinta sesiapa

Bagiku…
Cukuplah namaku bergelar HambaNya
Cukuplah pangkatku  Alfaqir disisiNya
Cukuplah dikayakan ku dengan sifat Qanaah
Cukuplah jika aku dikerumuni para malaikat
Cukuplah jika aku memiliki CintaNya

Namun…
Jika Allah mengkehendaki memberi nikmat padaku
Ia adalah hadiah yang akan ku syukuri dan ku tasbihkan
Walaupun diriku amat malu menerima lantaran kehinaan…


Khamis, 19 April 2012

Tauhid Tasawwuf


Tauhid Tasawwuf
Ramai yang bertanya apakah Pengkajian Tauhid Tasawwuf
dimanakah fekahnya sedangkan fekah adalah penting
ku melihat ramai yang tiada memahami
hatta ulama yang membaca kitab tasawwuf sendiri
apalagi ulama syariat yang tiada mengerti tentang tasawwuf

Ku mendalami dan mempelajari Pengkajian Tauhid Tasawwuf
daripada guruku yang mulia Syeikh Abuya Amran Wally
sehingga yang jahil ini dapat memahami
tentang kewajiban memahami dan memilikinya
agar benar dalam ubudiyahnya
sehingga aku kini juga bangun memperjuangkan
di pelusuk serumpun nusantara
demi Cinta pada ummah yang penuh kecelaruan kini
memiliki permata warisan Nabi dan Aulia ini
yang menjadi sumber pada kekuatan Islam pada generasi sahabat

Tauhid tasawwuf adalah satu istilah tauhid pada mereka yang telah bertasawwuf
ia bukan tauhid orang awam yang berpegang pada tauhid kalami atau iktiqadiah
mereka  yang  mahu bertasawwuf, wajib memiliki ilmu fekah dan tauhid dengan sempurna
tauhid tasawwuf pada hadis Nabi disebut "ihsan"
kamu menyembah Allah seolah-olah  melihat Allah atau Allah melihat kamu
ia adalah satu cahaya yang dikurniakan  Allah ke dalam hati seorang mukmin
Yang benar dalam mengamalkan tasawwuf yakni menyucikan diri
dan menjalankan rohaninya kepada Allah semata-mata kepada Allah
bukan sekadar ahli abid yang mencari pahala dan syurga
tetapi mencari makrifat dengan cara menerima tajalli Allah

Tauhid adalah kepercayaan, fekah adalah hukum hakam, tasawwuf adalah penyucian
pergabungan tiga ini, jika dibimbing oleh Guru Mursyid akan melahirkan tauhid tasawwuf
ia adalah Cahaya yang membawa kepada Ihsan dan Makrifat
sehingga hatimu seolah-olah  melihat Allah ataupun Allah melihat dirimu
dengan Cahaya itu terbuka segala tabir dan asrar
dengan Cahaya itulah akan mendatangkan sifat kehambaan yang hakiki
lantaran batin sudah memiliki Cahaya penyaksian
melihat keTuhanan dan kefakiran diri
maka menjadilah ia hamba yang sejati dalam Cinta
bukannya munafik bicara atas lisan dan riwayah kitab
sebagaimana ramai ulama kini
sombong, ujub, menipu dan mencari kekayaan dengan ilmunya
walaupun miliki walaupun ribuan kitab tasawwuf sekalipun
namun jika hatinya tiada cahaya tauhid anugerah Allah
maka ianya tiada menghancurkan sifat ananiah diri mereka
maka lahirlah bicara ilmunya tiada sama dengan amalnya
disebabkan tiada memahami kepentingan tauhid tasawwuf
dalam membina jiwa yang murni sebagai kekasih Allah

Maka adalah kewajiban memiliki ilmu ini
bagi setiap mukmin yang mahu memiliki kebenaran kehambaan
yang  tiada berdiri dalam ibadah dengan ilmu dan kesombongan
tetapi penuh kefakiran lantaran terfana matahati menyaksikan kebesaran Allah


Isnin, 16 April 2012

Sekeping hati


Sekeping hati, jika memiliki Cahaya
nescaya dia akan melihat Allah pada Alam
sekeping hati, jika tiada Cahaya
nescaya dia buta melihat Allah pada Alam
hati, jika dia memilki Cahaya Allah
nescaya dia akan melihat kebaikan pada segala takdir Allah...

Hati, jika tiada Cahaya Allah
nescaya dia merungut kepada takdir Allah
hati yang suci, akan melihat segalanya baik  walaupun yang buruk
 hati yang kotor, akan melihat segalanya buruk walaupun yang baik...

Hati yang penuh Cinta, akan Cinta semua orang walaupun dengan musuhnya sendiri
hati yang penuh kebencian, akan buruk sangka pada semua orang walaupun dengan orang yang mencintai mereka
hati jika cinta pada dunia, nescaya akhirat dilihat kecil
hati jika cinta pada  akhirat, nescaya dunia dilihat kecil

Pandangan alam dan takdir kehidupan
dilihat melalui cermin hati
jika ia baik, maka baiklah pandangannya
jika ia buruk, maka buruklah pandangannya

Jagalah hati agar hati memilki Cahaya Allah
Jagalah hati kerana ia cermin kepada kehidupan...


Rabu, 11 April 2012

Jika aku diberi pilihan


Ya Allah, jika aku diberi pilihan oleh Mu
Nescaya aku lari daripada kehidupan ini
Namun siapakah diriku ini untuk membuat keputusan
hanya insan kerdil yang tiada memiliki apa-apa kekuatan...

Ya Allah, segala jalan kemasyhuran dan pujian
menuju kelembah riak yang menakutkan
sedangkan jalan persembunyian dan kejian
lebih menuju kelembah keikhlasan yang sempurna...

Namun di sana ada kemasyhuran yang terpuji
lantaran Allah yang mahu memasyhurkan diri mereka
sedangkan diri mereka tetap cinta pada bersendirian
mereka adalah  Cahaya Allah diatas Cahaya yang menyinar...


Sabtu, 7 April 2012

Alangkah peliknya


Aku amat kehairanan
dengan kehidupan dan gelagat  manusia
mereka lebih suka melihat apa yang ada dalam perutnya
daripada melihat apa yang ada dalam akalnya…

Aku juga merasa lucu
dengan kehidupan dan kepelikan manusia
kebimbangan lapar perutnya di masa depan
lebih dibimbangi daripada tubuhnya hangus dibakar neraka…

Alangkah rugi dan sia-sianya
jika hidup bertuhankan perut
sentiasa mengisinya dengan penuh makanan
kemudian membuangnya pula hingga kosong…

Apa makna ilmu yang dipelajari
walaupun memiliki banyak pengetahuan
hanya bermatlamatkan  mengisi perut dengan kelazatan
bukannya cinta pada ilmu yang memuliakan mereka…

Aku melihat Rasulullah
mengajar pada kita suatu kehidupan yang tinggi
jangan utamakan perut  dan biarkan ia kepedihan
nescaya engkau bebas daripada menjadi manusia yang tiada bermaruah…

Mereka  yang mementingkan perut
tidak akan mampu berjihad
tidak akan mampu menjaga agama
tidak akan mampu ikhlas
tidak akan mampu diuji
mereka turunkan kemuliaan insan kepada haiwan
akalnya sama tinggi dengan perut dan punggungnya…



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...