Selasa, 27 Mac 2012

Kapitalis terus ketawa


Saudara seagama dan sebangsa ku kini
mengemis di negara milik mereka sendiri
kerana ibu sibuk menyusu kera di hutan
anak di rumah sendiri kelaparan
namun apa ibu peduli pada anaknya
kerana memberi susu pada kera upahnya lumayan

Kedai peruncit milik bangsaku
hampir peratusnya akan ditutup
kerana tak mampu lagi bersaing
dengan wujud pasaraya yang besar
di kawasan penduduknya amat kecil

alangkah sedihnya nurani ini
mereka yang sepatutnya melindungi
tetapi merekalah yang mengkhianati
mencari keuntungan dari kuasa yang dimiliki
biarpun periuk nasi rakyat bawahan hanya tinggal kerak saja
namun perut yang membuncit tiada peduli

Golongan kapitalis peniaga dan pemimpin
kini terus menerus membolot kekayaan
di atas airmata bangkrap peniaga kecil
yang hanya mahu mencari sesuap nasi
tanpa ada pembelaan yang benar dari jiwa
yang ada hanya laungan dan penipuan…


Sabtu, 24 Mac 2012

Kecintaan Mukmin yang benar


Mukmin yang baik
bukan pada lambakan kitab
bukan pada banyak sujudnya
bukan pada basah bibirnya
bukan pada lapar perutnya
tapi pada  hati yang mulia
lisan yang aman dari menyakiti sesiapa…

Mukmin yang benar
tiada boleh dilihat pada bicaranya
tiada boleh dilihat pada wataknya
jika dia seorang lelaki
tanya pada isteri dan ibunya
jika dia perempuan
tanya pada suami dan anaknya
jika mereka mengatakan baik
maka benarlah mereka baik
lantaran sifat sebenar hanya  yang rapat mengetahui…

Berhati-hatilahlah dengan dunia hari ini
sebagaimana yang disebut oleh Saidina Ali
zaman yang tiada boleh kamu berbaik sangka
kerana dunia penuh dengan kefasikan dan kemunafikan
sehingga atasa nama Allah dan Rasul pun mereka sanggup menipu…

Jadikan khalwah sebagai kekasihmu
jadikan bersama majlis yang soleh kecintaanmu
lantaran dua perkara ini
adalah penghidup jiwa yang mati
penolong dirimu dalam mencapai Cinta Illahi…
 

Ahad, 18 Mac 2012

Bicara Hujan


Hujan yang turun dari langit nan indah
membasahi bumi yang gersang
menyuci debu yang membalut jiwa
subur indah  Illahiah memancar...

Titisan air hujan yang jernih
mengamit perasaan indah bersemi
ia membawa jiwa berterbangan
kelangit rahsia yang  berselubung mutiara...

Dentuman guruh dan tepukan petir
mengugah  kehormanian bayu alam
namun ia menghancurkan kesombongan
sehingga jiwa sujud pada Tuhan...

Angin dan taufan yang menderu
mengoncangkan keindahan alam
ia membisikkan satu seruan
Insan wajib kembali pada Tuhan...


Rabu, 14 Mac 2012

Di atas sejadah


Sejadah dihamparkan
aku berdiri di alam Nur
alam asal diriku
alam perjanjian dengan TuhanKu…

Setiap kali aku berdiri diatas sejadah
Cintaku pada Baginda menusuk sayu
lantran aku amat mengerti
berdiriku disini kerana aku memiliki Cahaya Cinta Rasulullah
tanpa Rasulullah, aku menjadi haiwan yang paling hina atas muka bumi ini...

Setiap kali aku berdiri di sejadah
Cintaku pada para Guru , Ulama dan Sahabat r.a.
mekar semerbak mengoncangkan jiwa
lantaran pengorbanan airmata dan darah mereka
dalam menyambung Cahaya Rasulullah
kepada hati  setiap insan penghuni bumi
sehingga aku dpt berdiri diatas sejadah ini…

Takbir ku membuka tirai
dunia ditinggalkan, aku terbang ke alam Nur
bermusyahadah dan bermunajat dengan Kekasih Rabbi
yang menciptaku semata untuk memujiNya
yang menciptaku semata untuk menCintaiNya…

Aku yang bersimpuh dan bersujud
diatas sejadah hamparan Nur
meninggalkan sejenak kehidupan ini
tenggelam dalam kenikmatan dakapan kekasih
berbisik dan merayu agar diri tetap diCintaiNya…



Sabtu, 10 Mac 2012

Jejaki Cinta


Di kaki Jabal Nur,
aku jejaki tapak Rasulullah s.a.w,
ku merasai langkah penuh kerinduan,
lantaran Cinta yang mendalam pada kekasihNYA…

Di Gua Hira',
Baginda  menyatukan Cinta dengan Rabb,
kegelapan yang menggerunkan,
ketinggian yang melemahkan,
tiada sedikit tergugah pada jiwanya…

Gua Hira',
engkau memiliki rahsia yang hebat,
engkau menjadi saksi sebuah penyatuan,
antara langit dan bumi…


Khamis, 8 Mac 2012

Keindahan Cinta


Indah Cinta yang ditajallikan,
pada Kaabah yang tersergam indah,
ku berpusing menyucikan debu diri,
untuk memiliki secebis Cinta Illahi…

Oh...betapa aku terfana,
lantaran tarikan jazbah yang hebat,
dari tangan Adam a.s,
dipancarkan rahsia oleh Ibrahim a.s,
menyelinap pada Qalbi yang merindui…

Oh, betapa hebat nya rahsia yang dizahirkan…


Sabtu, 3 Mac 2012

Ku dalam perjalanan


Ku dalam perjalanan,
mencari setitis Cinta,
dari Tuhan yang Maha penCinta,
dibumi kelahiran Rasul terCinta…

Ku dalam perjalanan,
dalam menagih keampunan,
dalam putaran kaabah yang menyucikan,
 ku menyahut panggilan dari Rabbi Alamin,
 untuk berada dalam dakapan ar-RahimNya…

Ku berlari tanpa menoleh,
dalam larian saie,
mengejar Cinta sejati…


Khamis, 1 Mac 2012

Madinah Munawwarah


Madinah Munawarrah,
engkau tetap dalam kemuliaaan,
engkau akan terpelihara dari dimasuki dajjal,
kerana dalam bumimu ada bersemadi tenang  jasad yang paling di Cintai Allah,
Muhammad kekasih Allah..

Bumi Madinah
engkau tetap memancarkan Cahaya,
tiada yang mampu memadamkan,
sehingga bumi dihancurkan,
lantaran dalam bumimu,
ada jasad Rasulullah ,
Cahaya yang datang dari Allah,
Cahaya atas segala Cahaya..

Bumi Madinah,
engkau telah menyaksikan Cahaya Islam,
mekar indah harum mewangi,
lantaran bumi mu telah mendapat kemuliaan,
dipijak  kaki oleh Insan yang amat sempurna jiwanya..  




-Madinah, 5.58 p.m.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...