Rabu, 30 November 2011

Cinta itu membingungkan


Cinta membutakan
Cinta membingungkan
lantaran kerana cinta
para Sahabat r.a. berhijrah meninggalkan segalanya
para syuhada mengorbankan nyawa
para pendakwah sanggup dimaki, difitnah dan dipenjara
para ulama mempunyai masa sedikit untuk diri dan keluarga
para sufi mengambil jalan penderitaan, kepayahan daripada jalan kenikmatan dan kemudahan

Cinta
hanya dapat difahami oleh mereka yang bercinta
mereka yang tiada cinta
tiada akan memahami bahasa Cinta
Abu Sufian hairan dan takjub dengan Cinta sahabat pada Rasulullah s.a.w
tiada pernah air liur Baginda sampai ke bumi melainkan ditadah dengan tangan
tiada pernah peluh Baginda jatuh ke bumi melainkan di ambil untuk dijadikan wangian
tiada pernah rambut Baginda jauh ke bumi melainkan disimpan dengan penuh Cinta
mereka sanggup menahan belakang mereka untuk dipanah demi menjaga Rasulullah s.a.w
mereka sanggup dibunuh, diseksa dan dibakar daripada secucuk duri ditikam pada 
Rasulullah s.a.w
para wanita bertanya hal Rasulullah s.a.w dahulu daripada bertanya hal suami dan anak mereka dimedan perang
Saidatina Khadijah sanggup meminangnya, berkorban apa saja malah sanggup dijual tulang-tulangnya demi Cinta
Siti Aisyah mengunakan sepenuhnya kelebihan yang ada pada dirinya untuk membantu Baginda walaupun usianya amat muda
Saidinatul Ramlah, anak Abu Sufian sendiri tidak membenarkan ayahnya duduk atas hamparan Rasulullah s.aw demi Cinta dan memuliakan Baginda
Saidatina Safiyah tidak menggunakkan kakinya memijak peha Baginda untuk menaiki kuda melainkan menggunakan pehanya juga

Cinta itu buta dan membingungkan
para pencinta Baginda kini menghidupkan Majlis Cinta pada Baginda dimana saja
mengadakan Maulud setiap hari tanpa batasan di bulan Rabiul Awal
ia amat memeningkan bagi ahli zahir
lantaran mereka tiada memahami bahasa Cinta
mereka mengetahui Bahawa Allah cintakan  Baginda dengan sentiasa berselawat kepada Baginda
mereka mengetahui bahwa para malaikat cintakan Baginda dengan sentiasa berselawat kepada Baginda...
Tetapi...
mereka mungkin tiada mengetahui bahwa alam kini sentiasa juga berselawat dan mengucap salam kepada Baginda
mereka tiada mengetahui langit merintih untuk dipijak oleh kaki Baginda sehingga terjadinya Isra’ dan Mikraj
mereka tiada mengetahui bahawa Cinta menyebabkan mereka bersama dengan orang yang dicintai

Cinta adalah jiwa
Cinta adalah kegilaan
Cinta adalah kemabukan
para pencinta kemabukan dalam kerinduan pada Baginda
mereka mengalunkan pelbagai qasidah walaupun dituduh dengan pelbagai tuduhan
ahli zahir tetap tidak memahami bahasa Cinta
para pencinta bebas untuk menzahirkan Cinta
menari, menyanyi, bersyair,memberi makan atau berpuasa
semuanya adalah Cinta yang jernih bagaikan embun pagi

Teruskan wahai para pencinta dengan kemabukan
biarkan ahli zahir bertempik dan menuduh
hanya orang yang bercinta memahami bahasa Cinta
Cinta tanpa kemabukan belum mencapai Cinta
justeru itu
hormatilah para pencinta menzahirkan Cinta
selagi ia berada dalam landasan syarak yang dibenarkan

Cinta adalah membingungkan
hanya yang bercinta memahami bahasa Cinta
diam jika tiada mengerti lebih selamat
agar kebodohan kita dalam bercinta tiada diketahui orang…


Sabtu, 26 November 2011

Cinta memadamkan api


Ketika Nabi Ibrahim a.s. dihumban ke dalam api
Allah berfirman:

" Wahai api,sejuklah engkau dan selamatkan Ibrahim.."

Maka api yang menjulang hebat
tiada sedikit pun dapat memberi kesan pada Nabi Ibrahim a.s.
lantaran makrifat yang dimilikinya…

Kehidupan ini bagaikan api yang menjulang
neraka yang tiada kelihatan
namun…
jiwa yang memiliki Cinta yang Haq
tiada merasai kepanasan
ia tiada mengeluh dengan musibah
kenikmatan tiada mengubah kehambaannya
api kehidupan tiada dapat membakar jiwanya
malah mereka lena di dalamnya
kerana dirinya memandang hanya DIA
Hu Allah memadamkan segalanya
Hu Allah mengucap salam padanya…

Apabila diri tenggelam dalam Hu Allah
maka jiwanya mati daripada merasai neraka dunia
kepanasan menjadi kenikmatan
kesakitan menjadi  penawar
kebencian makhluk menjadi sayap untuk terbang
menuju lautan yang amat sunyi dan hening
untuk mendengar bisikan Cinta Dzat pada diriNya
untuk mendengar bisikan Cinta Allah pada Muhammad
untuk mendengar bisikan Cinta Muhammad pada Allah...

Carilah hakikat Hu dan diam di dalamnya
nescaya engkau bagaikan Nabi Ibrahim di dalam api
penuh ketenangan dan senyuman
sehingga api akan lemah terpadam
kerana tiada mampu menentang cahaya makrifatmu
kerana Hu Allah mengucapkan salam
dirinya  hanya mampu terbakar
dengan nyalaan api Cinta Ar-Rahman
lantaran makrifat yang dikasyafkan
pada jiwa yang suci sebening pagi…


Khamis, 24 November 2011

Diri yang tertipu


Ramai yang tertipu dengan amal
lalu mereka menghitung amal
bagaikan kanak-kanak yang menghitung
nilai wang dinilai dengan bilangan
sedangkan ia hanya timbunan duit satu sen sahaja…

Ramai yang tertipu
kerana mereka beramal dengan apa yang disukai
bukannya dengan apa yang Allah suka
setiap tahun dia mengerjakan umrah kerana dia menyukainya
sedangkan Allah menyukai dia
membantu golongan yang memerlukan sumbangan kewangan mereka
begitulah kias bagi mereka yang mahu mengerti…

Ramai yang tertipu
dengan amal yang mereka lakukan
mereka menyangka apa yang  mereka lakukan tinggi nilainya
sedangkan disisi Allah adalah amat rendah nilainya
mereka bermuzakarah ilmu sehingga timbul kehebatan diri
sedangkan bersama ahli maksiat yang merendah diri
adalah lebih mulia dari majlis mereka
begitulah kias bagi mereka yang mahu memahami…

Ramai yang tertipu
sehingga mereka merungut dengan musibah
lantaran tiada mereka dapat beribadah
lalu mereka mahu keluar dari musibah itu
sedangkan Allah mahu mereka beribadah dalam musibah itu
dengan redha, sabar dan bersangka baik
tetapi mereka tiada mengerti
lantaran  jiwa yang gelap untuk mengerti…

Ramai yang tertipu
dengan amal mereka
lantaran tiada makrifat pada TuhanNya
jahil memahami apa kecintaan Allah
mereka beramal dengan kecintaan mereka
sehingga mereka menjadi sesat
lantaran hati yang semakin tebal dengan hijab…

Demi sebuah cinta
tinggalkan dirimu
bangunkan dalam jiwamu cinta
cinta hanya pada Allah
cinta hanya pada kehendakNya
cinta hanya pada pandanganNya
cinta hanya pada matlamat padaNya
cinta hanya pada mentauhidkannya
cinta kepada sekelian kekasihNya
agar kamu selamat daripada kebodohanmu
lantaran kamu menyintai nafsumu dalam ibadah padaNya…


Rabu, 23 November 2011

Cinta Zulaikha


Apabila Zulaikha mengejar cinta Nabi Yusuf a.s
bayangan Nabi Yusuf a.s. semakin menjauhinya
sehingga dia menderita dalam cintanya
memamah kehidupannya sehingga tua…

Akhirnya Zulaikha menyedari
keindahan Nabi Yusuf a.s. adalah bayang  bagi penciptaNya
Maka dia mengatakan
kenapa dia perlu membuang masa dalam kehidupan
mengejar hanya bayang- bayang
kenapa aku tiada mengejar yang empunya bayang-bayang...

Maka Zulaikha mengambil keputusan
memalingkan jiwa, akal dan tubuhnya
mencari cinta empunya bayang-bayang
sehingga dia mencapai keasyikan yang tiada nilainya
fana segala bayang-bayang
maka nyatalah keindahan empunnya bayang-bayang...

Ketika itu keindahan Dzat Jamal yang dicintai
dengan kebesaran dan keagunganNya
menyalin jiwanya
dengan persalinan cinta dariNya
jiwanya disaluti cahaya emas makrifat
jiwanya penuh dengan tajalli Jamal  Allah
namun Dia tersembunyi dari dilihat
pada kehidupan alam ini…


Ketika Nabi Yusuf a.s. diperintah Allah
agar berkahwin dengan Zulaikha
lalu baginda berkata:

" bagaimana aku berkahwin dengannya usianya yang lanjut
rupa dan tubuhnya bagaikan mayat yang berjalan"

Maka Allah berfirman:

" Kecantikan disisi Allah adalah hati.."

lalu keindahan hati Zulaikha dizahirkan Allah
sehingga bersinar kecantikkannya
maka tersilau Nabi Yusuf a.s. dengan keindahan itu
lalu dia menjadi pemuja Zulaikha
ditarik bajunya sehingga koyak ketika Zulaikha sedang asyik dengan TuhanNya...

Maka Baginda menyedari
bahwa diri Zulaikha tidak lagi memandang akan keindahan dirinya
tetapi memandang hanya pada Dzat Ahadiah
Raja bagi segala keindahan…

Karamah yang berlaku pada Zulaikha
dizahirkan  Allah ketika di alam ini
itulah hakikatnya di akhirat nanti
keindahan seseorang berubah berdasarkan keindahan hati
segala keindahan tubuh akan hilang
yang akan zahir adalah keindahan jiwa
yang bertali makrifat dengan Allah…

Indahkan jiwamu wahai para pencinta
kerana Allah cintai keindahan
namun Allah tiada melihat keindahan tubuhmu
tetapi mencintai keindahan jiwamu…

Isnin, 21 November 2011

Isteriku



Isteriku
tangisan kelahiranmu
adalah menyampaikan suaramu  padaku
engkau telah hadir ke dunia ini
untuk menemaniku
membantu memegang kemudi
dalam pelayaran kehidupan ini…

Isteriku
engkau adalah hadiah dari Tuhan
maka wajib ku jaga dirimu
dengan penuh kecintaan dan kesabaran
semampu yang mungkin walaupun penuh kedaifan
namun aku tetap sentiasa lemah dalam menghargaimu…

Isteriku
engkau adalah permata yang indah
engkau adalah irama yg mengasyikkan
engkau meletakkan kegembiraan suamimu di hadapan
dalam setiap detik nafasmu
kerana itulah kegembiraan dirimu
sebagai ibadah dalam mencapai cinta yang suci…

Aku sentiasa bimbang dengan kemurkaan Tuhan
di atas nikmatnya yang tiada ku syukuri
memiliki isteri solehah kasturi mewangi
yang menyejukkan daku tika ku marah
yang menenangkan daku tika ku rungsing
yang mengenyangkan aku tika ku lapar
yang membangunkan daku tika ku lena
yang memegangku tika aku lemah
yang menongkatkan aku tika ku berjalan
yang menghiburkan daku tika ku kerungsingan…

Dunia ini menjadi indah
apabila disisinya isteri yang solehah
benar sabda Nabi
tiga kegembiraan anak adam
rumah yang baik,kenderaan yang baik dan isteri yang solehah
dan aku memiliki kegembiraan itu
disampingkan dikurniakan isteri yang solehah
walaupun penuh kekurangan yang lain
walaupun  tiada sepenuhnya dapat menunaikan hasratku
namun engkau tetap permata yang mengindahkan jiwa ku
walaupun cahayamu tiada siapa dapat melihat
tapi aku tetap dapat melihat
kan ku bawa ke hadapan Tuhanku
segala kegembiraan yang kau berikan padaku
agar diredhai Tuhan
dicintai Rasul
sehingga engkau menghuni alam para kekasihNya
syurga yang indah kekal abadi…

Kini aku sedari
diriku tak akan mampu mencapai maqammu disisi Tuhan
tapi ku yaqin
engkau akan memegang tanganku
agar tiada terlepas dari tanganmu
agar engkau dapat merayu pada Tuhanku
diampuni walaupun banyak menyakitimu
agar aku juga bersama denganmu
di  alam syurga yang indah kekal abadi
dan aku amat menyakini…

Dunia ini akan indah
apabila adanya cinta yang suci
yang bersulam Allah dan Rasul
dalam jiwa setiap insan
maka
bangunkan cinta kerana dalam jiwamu ada cinta
hargailah mereka yang mencintaimu
memberi kegembiraan adalah ibadah yang mulia
apalagi pada para mereka yang sentiasa berkorban untukmu
demi sebuah cinta…


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...